Perangai pelik anak-anak
Ibu bapa dengan kanak-kanak kecil yang belum fasih berbahasa mungkin akan menghadapi cabaran untuk memahami kehendak anak mereka.
Sekejap dia buat perangai pelik ini, sekejap dia buat itu. Sebenarnya – apa yang anak ada mahukan? Haa… jom! Kami di theAsianparent telah membongkarkan 5 rahsia perangai pelik kanak-kanak.
Mari kita ketahui 5 rahsia bahasa mereka dan sebab mengapa mereka berkelakuan demikian.
5 Rahsia Tentang Perangai Pelik Anak
#1 Tidak mahu memandang mata
Maksudnya: “Saya malu”
Apabila anak mencecah 2 tahun, perkembangan mereka semakin cepat dan mereka mula rasa malu. Contohnya jika dia tahu dia akan dimarah kerana telah merampas permainan budak lain.
“Apabila seorang kanak-kanak kecil tidak mahu melihat muka ibu bapanya, ini bermaksud dia sedar tindakannya mungkin mengecewakan anda,” kata pakar psikologi Kristin Lagattuta, PhD, pembantu profesor di Center for Mind and Brain di University of California, Davis.
Apa yang ibu bapa patut lakukan: Beritahu anak yang dia telah melakukan kesalahan, tapi gunakan ayat-ayat yang pendek yang senang di faham.
Ajar anak bagaimana untuk memperbaiki kesalahan tersebut. Semua orang akan melakukan kesalahan, yang paling penting adalah untuk mengambil langkah-langkah untuk betulkan kesalahan itu.
#2 Bawa semua soft toy masuk tidur
Maksudnya: “Saya takut”
Untuk anak, semua ini adalah barang-barang kesayangannya.
Menurut Kerstin Potter, pengarah program pendidikan awal kanak-kanak di Harcum College, di Bryn Mawr, Pennsylvania – imaginasi kanak-kanak mula berkembang, dan dia mungkin mula mengalami mimpi buruk
Jadi, sebab itu dia bawa semua barang kesayangannya masuk tidur untuk rasa lebih “selamat”.
Apa yang ibu bapa patut lakukan: Perangai kanak-kanak berumur dua tahun memang sangat lurus. Jika anda beritahu mereka tak ada hantu, mereka akan ingat anda yang tak dapat melihatnya.
Biarkan anak bawa permainan kesayangannya, tapi hadkan jumlah permainan atau soft toy anak boleh bawa.
Baca juga:
‘Bayi Hantu’ Tidur Di Samping Anak Kecil Di Dalam Katilnya Dirakam oleh Monitor CCTV
#3 Sembunyi di belakang ibu bapa ketika bertemu dengan orang baru
Maksudnya: “Saya rasa bimbang”
Orang dewasa pun akan rasa sedikit bimbang dan janggal apabila bertemu orang baru buat pertama kali, kan Sama juga dengan anak.
“Anak anda masih belum dapat mengawal rasa bimbangnya. Ini menyebabkannya bertindak secara sensori dan fizikal,” kata Lisa Nalven, MD, pakar pediatrik pembangunan di Valley Center for Child Development di Ridgewood, New Jersey.
Sesetengah kanak-kanak mungkin akan mengigit baju sendiri, memegang dan sembunyi di belakang kaki ibu bapanya atau menghisap ibu jari.
Apa yang ibu bapa patut lakukan: Pujuk anak dengan perlahan.
“Anak selalu meniru cara ibu bapa bertindak balas apabila menghadapi situasi,” kata Dr Nalven.
Jadi senyum dengan keyakinan apabila bersalam. Kemudian picit sikit tangan kecil yang dalam tanganmu, sebagai tanda memberi sokongan dan juga supaya mereka boleh berasa selamat.
#4 Sembunyi di belakang perabot ketika membuang air besar
Maksudnya: “Saya ingin bersendirian tanpa gangguan orang”
Ini menunjukkan dua perkara:
- anak sudah tahu bila dia perlu membuang air besar
- anak sedar orang dewasa melakukan ini secara peribadi.
Ini 2 tanda positif anak sudah sedia untuk potty training.
“Tapi tanda paling nyata ialah apabila anak minta lampin kotornya untuk ditukar dengan segera,” kata penasihat Ibu Bapa, Ari Brown, MD.
Jika kanak-kanak tak peduli lampin kotornya, maka dia belum bersedia untuk potty training.
Kebanyakan kanak-kanak mula menunjukkan minat menggunakan tandas di antara umur 2 dan 3 tahun.
Apa yang ibu bapa patut lakukan: Galakkan anak untuk membuang air secara peribadi dengan membawanya ke tandas.
“Jika anak sudah pandai masuk ke bilik yang betul untuk membuang air besar, ini sudah kira satu langkah yang positif. Langkah demi langkah. Jangan cepat-cepat paksa anak duduk atas mangkuk tandas jika dia belum sedia lagi,” kata Dr Brown lagi.
#5 Anak menolak kanak-kanak lain apabila mereka mendekati anda
Maksudnya: “Beri perhatian yang lebih kepada saya!”
Anak yang sangat melekat dan rapat mungkin tanda dia tidak mendapat perhatian yang cukup dari anda. Ini perkara biasa untuk ibu bapa yang bekerja berjam-jam atau baru menimang bayi baru.
Sifat tidak mahu berkongsi ini adalah perkara yang normal untuk kanak-kanak berumur 2 tahun.
“Fasa ‘saya punya, semua saya punya’ mungkin sangat menjengkelkan, tetapi ia sebenarnya perkara yang baik. Ini bermakna anak anda sedang belajar tentang dirinya sendiri,” kata Dr. Lagattuta.
Apa yang ibu bapa patut lakukan: Peluk anak anda, dan beritahu dia bahawa sudah tentu anda adalah ibunya dan anda sangat sayang dia. Ini juga peluang yang baik untuk mengajar anak untuk berkongsi.
Sumber: Parents
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.com4-sebab-kenapa-anak-kecil-suka-buat-benda-pelik/