Karies Gigi Anak Boleh Terjadi Biarpun Selalu Gosok Gigi, Ini 7 Langkah Mengatasinya!
Karies gigi anak boleh merosakkan hampir kesemua gigi sehingga menyebabkan ia menjadi rongak. Justeru amalkan langkah-langkah untuk mengatasinya!
Pada usia anak 6 bulan, pasti gigi anak akan tumbuh. Keterujaan anda melihat anak semakin membesar jangan sampai terlupa untuk menekankan aspek penjagaan bagi mengelakkan karies gigi anak.
Hal ini kerana anak-anak masih kecil akan makan apa sahaja yang dihidangkan di hadapan mereka. Jadi, sebagai ibu ayah anda perlu menguatkan lagi ilmu mengenai tips penjagaan gigi sebelum ia tumbuh sehinggalah gigi kekal.
Baca juga: Bahaya Anak Malas Mengunyah Makanan, Terus Telan Makanan, Gigi Rosak & Sukar Bercakap Jelas
Bahaya karies gigi anak
Menurut Juruterapi Pergigian, Sharipah Eyie telah berkongsi mengenai bahayanya karies gigi dan langkah-langah mencegah gigi menjadi rosak atau rongak.
Karies adalah kerosakan gigi yang berlaku pada kanak-kanak di bawah umur 6 tahun. Ia melibatkan satu atau lebih batang gigi. Ia merupakan proses pendemineralan asid terhadap gigi akibat kehadiran plak (tahi gigi) dan air liur.
Karies botol susu hanya pada namanya sahaja, namun jika anak-anak tidak menghisap susu botol atau hanya mendapatkan susu ibu juga turut berpotensi alami kerosakan pada gigi.
Hal ini menyebabkan karies rampan yang terjadi sewaktu anak tertidur dengan botol susu atau puting dada berada di dalam mulut.
Susu yang bertakung di dalam mulut dan gigi atas terendam dalam susu, ia akan menyebabkan berlakunya pengumpulan bakteria di bahagian gigi hadapan yang akan merebak ke seluruh kawasan gigi.
Antara penyebab berlakunya kerosakan gigi anak adalah:
- Kerap mengambil makanan atau minuman yang tinggi gula
- Kurang/tidak memberus gigi
- Teknik memberus gigi yang tidak berkesan menanggalkan plak
- Menyusu botol yang mengandungi sukrosa
- Pertukaran bakteria daripada ibu kepada anak melalui air liur. Contohnya, ibu dan anak berkongsi sudu makanan.
7 cara menangani gigi menjadi rosak
#1. Makanan rendah gula
Menjadi kebiasaan bagi kanak-kanak sekiranya mereka menggemari makanan yang manis dan bergula. Namun, ibu ayah jangan terlalu memanjakan mereka dengan menuruti apa sahaja yang diminta.
Hal ini kerana sikap anda yang mendedahkan mereka dengan makanan manis atau berasid, ia akan memberikan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan gigi.
#2. Menggunakan sapuan fluoride
Sekiranya anda mendapati anak-anak memiliki tanda-tanda karies gigi, jangan tergak-agak untuk terus merujuk klinik gigi bagi mengatasi segera masalah ini.
Bukan itu sahaja, sebagai langkah awal anda boleh meminta untuk mendapatkan sapuan fluoride setiap 6 bulan. Hal ini kerana sapuan ini cukup berkesan untuk mencegah tanda-tanda karies gigi.
Ia turut menghentikan penyebaran karies ke batang gigi yang lain dan sekiranya terdapat tompokan coklat di bahagian gigi, sapuan fluoride dapat berubah menjadi warna yang lebih gelap kerana karies telah dihentikan.
#3. Tabiat memberus gigi
Hal ini memerlukan anda lebih kreatif dalam menjadikan rutin memberus gigi wajib diamalkan sebelum mandi atau selepas bangun dari tidur.
Tarik perhatian anak dan terangkan kesan sekiranya mereka enggan memberus gigi. Anda juga perlu memastikan anak menggosok gigi sekurang-kurangnya 2 kali dalam sehari.
Jangan tunggu anak merengek tidak boleh tidur kerana sakit gigi barulah anda segera melakukan langkah pencegahan!
#4. Pemeriksaan dengan doktor gigi
Pernahkah anda memeriksa sendiri gigi anak, namun tidak melihat langsung tanda-tanda gigi anak sedang rosak. Sebenarnya, bakteria akan menyerang di dalam gigi yang membuatkan gigi makin berwarna coklat dan berlubang.
Dalam hal ini, ibu ayah perlu memastikan anak-anak menjalani pemeriksaan gigi 2 kali setahun agar kesihatan gigi mereka lebih terjamin.
#5. Makanan yang tinggi kalsium
Kalsium adalah sumber mineral yang sangat diperlukan dan paling banyak terdapat dalam tubuh manusia.
Ia amat penting dalam memainkan peranan untuk kesihatan tulang dan gigi serta sebagai perlindungan daripada berlakunya masalah.
Terdapat banyak sumber makanan tinggi kalsium yang boleh anda perolehi antaranya ialah susu, keju, yogurt, telur, bayam dan brokoli.
#6. Keluarkan botol susu dari mulut
Kebiasaan bagi anak menghisap susu botol sehingga mereka tertidur dengan sendirinya. Namun, situasi ini sebenarnya yang menyebabkan karies awal gigi anak-anak terbentuk.
Caranya adalah anda perlu melarang anak membawa botol susu ke tempat tidur dan juga selepas memberus gigi sebelum tidur, hanya dibenarkan untuk mengambil air kosong sahaja.
#7. Kurangkan penggunaan puting
Penggunaan puting secara berterusan adalah tidak digalakkan. Puting perlu dikurangkan apabila anak mencecah umur 3 tahun, dan pastikan ianya tidak digunakan langsung bila anak anda berumur 6 tahun kerana pada waktu ini telah tumbuh gigi kekal.
Ibu ayah perlu menekankan keseimbangan antara penyusuan atau makanan dengan penjagaan kebersihan gigi anak pada setiap hari bagi mengelakkan gigi menjadi cepat rosak.
Sumber: Sharipah Eyie
Kredit foto: Sumber
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Cara Menjaga Gigi Anak Agar Kekal Cantik & Sihat, Rahsianya Guna Ubat Gigi Berflourida!