Kasih Seorang Ibu, Sanggup Bonceng Motor Sejauh 50 KM Hantar Anak Masuk Universiti

Kasih seorang ibu kekal hingga ke syurga. Itulah kata-kata yang menggambarkan pengorbanan seorang wanita demi melihat anak-anaknya berjaya ke menara gading

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Setiap ibu ayah di dunia ini akan berusaha memberikan yang terbaik buat masa depan anak-anak. Meskipun berdepan penuh cabaran, kasih seorang ibu tidak akan berkurangan demi membina kebahagiaan seluruh keluarga.

Baru-baru ini telah tular beberapa kes berkaitan dengan kemasukan para pelajar ke universiti. Ada ibu ayah sanggup menjual motosikal bagi membayar yuran pengajian dan ada juga yang sudah kehabisan wang untuk membiayai kos pulang semula ke rumah.

Kasih seorang ibu demi mencipta kejayaan anak

Namun, berbeza dengan kisah ini. Naluri kasih sayang seorang ibu telah membuatkannya berani meredah perjalanan sejauh 50 kilometer dengan menaiki motosikal bagi menghantar anak sulungnya, Muhammad Izzulhaq Mohamed Hasnan mendaftar masuk pengajian.

Lebih menyedihkan, ia bukanlah perjalanan yang lancar seperti yang anda bayangkan memandangkan telah turun hujan begitu lebat ketika mereka menuju ke Universiti Sains Malaysia (USM).

Ketika di khemah pendaftaran, kelibat dua beranak ini telah menjadi perhatian ramai apabila hanya mereka sahaja menaiki motosikal dan dalam keadaan basah kuyup.

Namun semua itu bukanlah masalah yang besar bagi wanita berhati cekal seperti Jumiati Masud. Ibu berusia 53 tahun ini tetap bersyukur kerana masih berpeluang membuat pilihan buat anak lelakinya menimba ilmu pengetahuan.

Hal ini untuk memastikan anak sulungnya itu dapat belajar dalam suasana lebih selesa dan merasai kehidupan baharu sebagai mahasiswa universiti.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Dia yang tinggal di Simpang Empat, Seberang Perai Selatan berkata dia mengetahui situasi semasa di mana pihak USM telah memberikan 3 pilihan utama untuk para pelajar baharu mendaftarkan diri secara rasmi sebagai warga kampus.

Memilih tinggal di kolej demi kemudahan internet

Pilihan berkenaan termasuklah hadir mendaftar dan pulang bersama waris, hadir mendaftar, menempatkan barang dalam desa siswa dan pulang atau mendaftar dan terus tinggal di kolej.

”Jadi, saya memilih untuk anak saya tinggal di kolej. Biarlah dia dapat belajar dalam suasana yang terbaik kerana jika di rumah, kemudahan internet tidak begitu baik dan kami tiada jaringan wifi atau sebagainya.” ujarnya.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

foto: ump

Wanita kepada 3 orang anak lelaki ini juga menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual kuih bagi menyara ahli keluarga. Ketika mengulas tentang kegigihan dan pengorbanannya meredah perjalanan agak jauh menaiki motosikal, jawapannya cukup ringkas.

”Semua ibu akan lakukan yang terbaik untuk anak-anak. Saya hanya mahu mereka belajar bersungguh-sungguh dan menjadi insan berguna. Sungguh bersyukur dan gembira kerana Izzulhaq dapat melanjutkan pengajian di USM dalam bidang pendidikan sudah dimakbulkan Allah,”

Bukan itu sahaja, dia turut bersyukur kerana anaknya diterima masuk ke USM kerana jaraknya tidaklah begitu jauh dari rumah dan masih dalam negeri yang sama.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

”Sebelum ini dia pernah mendapat tawaran dari salah sebuah universiti di Kuala Lumpur, namun kami terpaksa menolak kerana berdepan masalah kewangan.” jelasnya.

Memberikan terbaik demi masa depan anak

Jumiati turut mengatakan bahawa dia hanya memiliki sebuah motosikal sebagai pengangkutan utama mereka sekeluarga bagi menjalankan urusan harian. Sementara itu, Izzulhaq ketika ditemu bual menzahirkan rasa sungguh terharu dengan pengorbanan ibunya.

Dia turut berazam untuk belajar bersungguh-sungguh demi memberikan kesenangan kepada ibunya pada kemudian hari.”Saya turut berasa risau melihat ibu balik seorang diri ke Simpang Empat. Namun terpaksa akur kerana nekad ibu sanggup bersusah payah demi masa depan saya.”

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

”Saya hanya mampu menadah tangan memohon doa daripada Allah agar mempermudahkan urusan menuntut ilmu di universiti ini,” jelasnya yang memperoleh keputusan cemerlang dengan PNGK 3.96 dari Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.

Muhammad Izzulhaq menerima tawaran dalam jurusan Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan dan dia ditempatkan di Desasiswa Restu. Dia adalah antara pelajar baharu USM yang mendaftarkan diri ketika sesi pendaftaran pandu lalu sidang akademik 2020/2021 pada 3 Oktober lepas.

Begitulah onak duri yang perlu dihadapi oleh setiap ibu. Kami mendoakan agar Izzulhaq belajar bersungguh-sungguh dan menjadi seorang anak yang berjaya di dunia serta akhirat.

Sumber: Astro Awani

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

https://my.theasianparent.comibu-meninggal-dunia-2

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan