Kebaikan Vitamin D Ketika Hamil - Ibu Jangan Abaikan, Ia Penting Untuk Kesihatan Anda & Janin!

undefined

Ibu hamil bagaimanapun disarankan untuk tidak mengambil dos harian bagi vitamin D yang melebihi 2,000 UI setiap hari bagi mengelakkan sebarang gejala lain.

Kehamilan merupakan salah satu waktu kritikal dan penting dalam hidup seseorang wanita. Anda bukan sahaja bertanggungjawab ke atas diri anda sahaja, malah janin di dalam perut anda juga. Disebabkan itu, setiap wanita yang sedang hamil perlu mengambil berat mengenai nutrisi yang diperlukan termasuklah menitikberatkan tentang pengambilan serta kebaikan vitamin D.  

Vitamin D memainkan peranan yang sangat penting untuk wanita hamil dan ramai pakar bersependapat bahawa makan vitamin D mampu memberikan kebaikan yang sangat banyak kepada ibu dan bayi. Selain dapat mengurangkan komplikasi ketika hamil, vitamin D juga berupaya untuk membantu pertumbuhan tulang, gigi, jantung, otot serta saraf bayi anda. 

Untuk ibu yang sedang hamil atau dalam perancangan untuk memiliki cahaya mata, teruskan membaca perkongsian ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kebaikan vitamin D demi kesihatan anda dan bayi. Moga ia akan membantu anda!

Kebaikan Vitamin D untuk Ibu Hamil

Banyak kebaikan vitamin D untuk wanita hamil

Mendapatkan vitamin D yang mencukupi adalah penting untuk setiap individu, terutamanya ibu yang sedang mengandung. Pengambilan vitamin D yang mencukupi akan membantu menggalakkan perkembangan bayi dan membantu ibu menjadi lebih sihat sepanjang tempoh kehamilan.

Ini antara beberapa kebaikan vitamin D untuk ibu mengandung yang perlu anda ketahui:

#1. Mengurangkan risiko diabetes gestasional

Kencing manis semasa hamil atau bahasa saintifiknya diabetes gestasional merupakan satu keadaan di mana paras gula dalam darah pada badan wanita hamil meningkat dengan terlalu tinggi.

Penyakit ini merupakan salah satu komplikasi kehamilan yang boleh meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan lain pada wanita hamil dan janin, seperti kelahiran pramatang, bayi dilahirkan dengan berat badan berlebihan serta preeklampsia.

Jadi, ramai pakar bersetuju bahawa pengambilan vitamin D yang mencukupi semasa hamil boleh mengurangkan risiko ke atas pelbagai komplikasi yang boleh berlaku akibat diabetes semasa hamil.

#2. Mengurangkan risiko bayi lahir kurang berat badan

Selain untuk memastikan kesihatan anda baik sepanjang kehamilan, pengambilan vitamin D juga boleh mengurangkan risiko bayi anda dilahirkan dengan berat yang tidak mencukupi. Perlu anda tahu, jika bayi anda lahir dengan berat badan yang tidak cukup, si kecil anda boleh mengalami pelbagai lagi masalah kesihatan lain termasuklah hipotermia atau kesukaran untuk bernafas.

#3. Membantu pertumbuhan tulang dan gigi bayi

Untuk makluman ibu, pengambilan vitamin D ketika sedang hamil boleh menyokong perkembangan tulang dan gigi bayi anda yang sedang membesar. Pada dasarnya, vitamin D penting untuk mengawal jumlah kalsium serta fostat dalam badan. Kalsium dan fosfat merupakan mineral penting yang diperlukan oleh janin untuk membentuk tisu tulang dan gigi. Sekiranya anda gagal mengambil vitamin D seperti yang sepatutnya, ia boleh meningkatkan risiko penyakit rakitis pada janin yang mana ia  merupakan satu penyakit atau kelainan pada pertumbuhan tulang anak yang disebabkan oleh kekurangan vitamin D. 

Untuk mendapatkan vitamin D yang secukupnya, luangkan masa selama 10-15 minit dalam tempoh 2 atau 3 kali seminggu dengan berjemur di bawah sinaran matahari sebelum jam 9 pagi. Namun ingat, ketika berjemur, sila gunakan dahulu pelindung matahari atau sunblock untuk mengelakkan kerosakan kulit akibat pendedahan matahari. 

#4. Mengurangkan risiko preeklampsia

Untuk wanita yang sedang mengandung, anda berisiko tinggi untuk mengalami preeklampsia yang mana ia merupakan satu kondisi tekanan darah tinggi ketika hamil yang muncul pada minggu ke-20. Komplikasi ini sangat merbahaya bukan sahaja pada anda, bahkan juga pada bayi dalam kandungan. 

Berdasarkan beberapa kajian yang dilakukan oleh pakar, preeklampsia lebih kerap berlaku kepada ibu yang tidak cukup pengambilan vitamin D. Jadi, disebabkan itulah setiap ibu hamil perlu mendapatkan vitamin D yang secukupnya.

Fungsi Vitamin D

fungsi dan kebaikan vitamin d pada tubuh manusia

Vitamin D merupakan vitamin yang larut dalam lemak. Terdapat dua jenis vitamin D yang utama iaitu vitamin D2 dan vitamin D3. Vitamin D2 (ergocalciferol) boleh disintesiskan dari tumbuhan dan kulat manakala vitamin D3 (cholecalciferol) pula boleh diperoleh atau disintesiskan sendiri oleh manusia apabila kulit terdedah kepada sinaran matahari secara langsung. 

Fungsi vitamin D kepada manusia sangat banyak antaranya:

#1. Mengekalkan kesihatan tulang dan gigi

Vitamin D memainkan peranan penting dalam kesihatan tulang dan gigi kerana ia membantu penyerapan kalsium dalam badan. Sumber nutrisi ini memainkan peranan dalam menyokong pertumbuhan tulang dan gigi kanak-kanak serta mencegah kerapuhan atau osteoporosis pada orang tua.

Lebih penting untuk ibu menyusu pula, vitamin D boleh membantu memberikan keperluan kalsium pada badan mereka dan pada masa yang sama boleh membantu perkembangan tulang yang sihat pada bayi.  

#2. Mengurangkan risiko penyakit paru-paru dan jantung

Perlu anda tahu, beberapa kajian telah menunjukkan bahawa kekurangan vitamin D dalam badan boleh meningkatkan risiko seseorang itu mengalami penyakit jantung dan paru-paru. 

#3. Mencegah kanser

Ini fakta yang menarik! Untuk mengurangkan risiko menghidap kanser, anda perlu mendapatkan vitamin D yang secukupnya diperlukan oleh tubuh badan. Ini kerana sifat karsinogeniknya diketahui mampu melambatkan perkembangan sel kanser.

#4. Mengurangkan risiko diabetes

Tahukah anda? Bagusnya vitamin D ini adalah apabila ia juga mampu membantu menghasilkan hormon insulin dalam badan. Insulin ini berperanan dalam mengawal paras gula dalam darah supaya dapat mengurangkan risiko diabetes pada seseorang!

Kesan Kekurangan Vitamin D

akibat tidak manfaatkan kebaikan vitamin D

Kekurangan vitamin D boleh menyebabkan penyakit riket pada kanak-kanak dan osteomalacia pada orang dewasa di mana tulang menjadi lembut dan lemah disebabkan oleh pemendapan kalsium serta fosfat yang tidak mencukupi ke dalam matriks tulang. 

Jadi, pengambilan vitamin D yang mencukupi setiap hari adalah penting untuk mengelakkan komplikasi kekurangan vitamin D.

Kajian ada menunjukkan, pengambilan vitamin D (sebanyak 1,000 hingga 2,000 IU setiap hari) bukan sahaja selamat untuk ibu, tetapi juga untuk bayi anda. Bahkan penyelidik juga mengesyorkan dos harian vitamin D ini untuk semua wanita hamil. Secara puratanya, vitamin pranatal hanya mengandungi 400 IU vitamin D, jadi suplemen tambahan perlu diambil setiap hari untuk mencukupkan keperluan anda.

Makanan yang Tinggi dengan Khasiat Vitamin D

makanan yang kaya dengan vitamin D

Tidak semua makanan mempunyai sumber vitamin D yang banyak. Namun, anda boleh mendapatkan sumber vitamin ini dalam ikan berlemak seperti makarel, salmon dan tuna. Selain itu, antara sumber makanan vitamin D lain yang boleh anda peroleh adalah daripada minyak ikan, kuning telur, keju, hati lembu, daging merah dan makanan lain yang diperkaya dengan vitamin seperti pelbagai jenis bijirin, produk tenusu dan jus oren.

Risiko Mengambil Terlalu Banyak Vitamin D Semasa Mengandung

Pengambilan vitamin D yang berlebihan juga boleh mengundang risiko pada ibu hamil. Anda disarankan untuk tidak mengambil dos harian bagi vitamin D yang melebihi 2,000 UI setiap hari bagi mengelakkan sebarang gejala atau penyakit lain seperti:

  • Loya
  • Muntah-muntah
  • Badan tidak bertenaga atau lemah
  • Sakit kepala
  • Kerap buang air kecil
  • Sakit-sakit otot
  • Kerosakan buah pinggang dan batu karang
  • Tekanan darah tinggi

Sila rujuk dengan doktor anda jika anda kurang pasti berapakah dos atau pengambilan vitamin D yang diperlukan oleh tubuh anda ketika sedang hamil. Ia sangat penting bagi memastikan tubuh anda kekal sihat dan bayi dalam kandungan anda juga selamat daripada sebarang risiko tidak dijangka. 

Semoga bermanfaat!

Sumber

Baby Center (May 21, 2021). Vitamin D during pregnancy. www.babycenter.com/pregnancy/diet-and-fitness/vitamin-d-in-your-pregnancy-diet_661

Everly Well (Setp 21, 2020). Vitamin D during pregnancy: key points to know. www.everlywell.com/blog/vitamin-d/vitamin-d-during-pregnancy/

American Pregnancy Association (n.d). Vitamin D and Pregnancy. americanpregnancy.org/healthy-pregnancy/pregnancy-health-wellness/vitamin-d-and-pregnancy/

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Baik Untuk Pertumbuhan Janin,10 Makanan Kaya Dengan Vitamin B12 Buat Ibu Hamil & Menyusu

Baca juga: Kebaikan Vitamin E Untuk Ibu Hamil, Ia Juga Boleh Tingkat Kesuburan Lelaki & Wanita

Baca juga: Kekurangan Vitamin D Punca Masalah Tulang Pada Anak. Ini Kepentingan Vitamin D Yang Ibu Ayah Patut Tahu!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!