Saya dapat tahu diri ini mengandung pada bulan Februari tahun 2021. Saya dan suami memang merancang untuk menimang anak pertama selepas dua tahun berkahwin kerana kami nak berbulan madu dulu untuk dua tahun. Atas keberkatan Tuhan, kehamilan pertama saya terhasil seperti yang dirancang.
Trimester pertama agak mencabar sebab loya dan muntah yang teruk. Salah satu simptom yang pelik saya hadapi ialah saya muntah kalau bercakap. Saya hanya guna bahasa isyarat saja pada trimester pertama. Apabila sudah masuk trimester kedua, saya berhenti muntah dan boleh bercakap seperti biasa.
Oleh sebab ini kehamilan pertama, saya menyertai pelbagai kelas online antenatal yang membantu dalam persediaan ketika mengandung dan bersalin.
Kelas-kelas ini menampilkan ceramah yang diberikan oleh pakar sakit puan, pakar kanak-kanak, pakar penyusuan, pelatih kelas yoga, kelas pilates, pegawai fisioterapi dan lain lain.
Kehamilan Pertama Lebih Mudah Dengan Aplikasi theAsianparent
Saya juga menyertai kelab theAsianparent yang memudahkan saya untuk berinteraksi dengan ibu-ibu lain untuk mendapatkan tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman.
Aplikasi theAsianparent mempunyai ciri yang penting iaitu KICK Counter yang dapat membantu pengiraan pergerakan janin.
Saya juga memastikan mengambil semua vitamin dan suplemen yang diberikan di klinik setiap hari. Sekiranya saya tidak ambil, ia boleh menyebabkan kekurangan hemoglobin. Kekurangan hemoglobin boleh memberi kesan kepada tumbesaran kandungan.
Saya sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
Pada awal trimester ketiga, doktor memberitahu saya bahawa saya sedang menghidap GDM (gestational diabetes melitus).
Saya agak terkejut sebab saya jenis yang sentiasa jaga pemakanan. Tetapi saya reda kerana ayah saya mempunyai penyakit kencing manis dan kita kena ingat sejarah kesihatan keluarga juga boleh mempengaruhi bacaan kandungan gula dalam darah disebabkan genetik.
GDM saya terkawal sebab saya sentiasa jaga pemakanan saya dan keputusan BSP sentiasa cantik.
Senaman yang ringan yang disarankan untuk ibu mengandung juga saya amalkan supaya berat badan sentiasa berada dalam lingkungan.
Saya telahpun mengemas beg ibu dan anak untuk dibawa ke hospital setelah memasuki trimester ketiga.
Bukaan Sudahpun 4 cm!
Pada 1 Oktober lalu, saya pergi ke hospital untuk temu janji dan doktor pakar kata bukaan sudah 4cm. Doktor sarankan agar saya terus pergi ke dewan bersalin. Nasib baik beg ibu dan bayi siap sedia dalam kereta.
Saya terus pergi ke wad bersalin dan selepas sejam duduk dalam wad bersalin saya dapat rasa kontraksi. Suami saya juga dapat menemani saya dan berada di sisi saya sepanjang masa.
Pada jam 11 malam 1 Oktober 2021, saya selamat melahirkan bayi lelaki. Proses persalinan menjadi mudah kerana saya telah banyak melakukan senaman dan mengamalkan pemakanan yang sihat sepanjang waktu kehamilan.
Saya syorkan ibu-ibu yang bakal bersalin agar sentiasa berada dalam keadaan yang tenang dan melakukan senaman pernafasan setiap hari.
Inilah pengalaman bersalin dan kehamilan pertama pertama. Ia amat bermakna buat saya dan suami. Harap tips saya dapat membantu para pembaca yang bakal bersalin.
Jika anda berminat untuk menghantar artikel anda kepada pihak kami, anda boleh menghantar penyertaan anda di sini. Anda hanya perlu memilih topik yang diingini dan sebaik sahaja artikel anda diterbitkan, anda akan menerima RM60 untuk setiap artikel yang diterbitkan.
Artikel ini ditulis oleh VIP Parent Shanayaa Sri untuk theAsianparent Malaysia. Dia berasal Kuala Lumpur dan first-time mummy kepada bayi berusia 7 minggu. Dia juga banyak melakukan freelance modeling dan seorang social media mommy influencer.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 5 Sifat Anak Pertama Yang Berbeza Dari Adik-Beradik Lain – Betul Ke Ini?
Baca juga: Kajian mendapati anak sulung adalah anak paling pintar
Baca juga: 4 Rahsia Buat Bayi Tidur Terus, Lena Sepanjang Malam, Ibu Tak Perlu Bangun Banyak Kali