Kehilangan ibu atau ayah tercinta antara perkara yang paling menyakitkan. Meskipun sukar untuk diterima, hakikat sebuah perjalanan hidup di atas dunia pasti berakhir dengan kematian. Begitu juga kisah yang dihadapi oleh keluarga ini apabila ibu mereka telah pergi selamanya disebabkan oleh kanser hati.
Mana tidaknya dengan pengorbanan serta doa ibu ayahlah anak-anak dapat membesar dengan baik sehingga menjadi seorang yang berjaya.
Kehilangan ibu disebabkan oleh penyakit kanser hati
Menurut perkongsian oleh salah seorang sukarelawan pengurusan jenazah, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid dia telah menerima panggilan daripada seorang wanita yang memerlukan bantuan bagi mengurus jenazah ibunya.
Petang semalam (15 Julai 2021), setelah lima jentera SPJM dengan kekuatan 15 orang skuad bergerak ke lokasi hospital masing-masing untuk mengurusan jenazah Covid-19.
Saya telah mendapat panggilan dari seorang wanita muda untuk bantuan pengurusan jenazah ibunya yang telah meninggal dunia di rumah.
Arwah telah dijemput Ilahi di PPR Kota Damansara awal pagi semalam kerana penyakit kanser hati di usia 42 tahun. Dia mempunyai 7 orang anak bersama bekas suami sebelum ini.
Hanya 3 orang anak sahaja tinggal bersama iaitu yang berusia 20, 16 dan 8 tahun. Sementara yang lain tinggal dengan bekas suami di Klang. Melihat keadaan rumah mereka, agak dhaif dan serba kekurangan.
”Malam tadi saya yang jaga Mak. Saya jaga Mak sampai Mak tidur.” cerita anak kecil berusia 8 tahun.
”Kakak kat mana waktu tu?” Tanya saya pada anak perempuan arwah berusia 16 tahun.
”Saya tidur lepas tu saya terdengar suara Mak jerit sebab sakit dalam pukul 3 pagi. Saya tengok adik dah jaga Mak dalam bilik. Jadi saya tidur semula,” jawab si kakak.
Kisah kehilangan ibu ketika dalam tidur
”Mak jerit sakit. Saya urut tangan Mak, dada Mak. Tiba-tiba Mak muntah darah lepas tu Mak pun tidur. Bila Mak tidur saya pun tidur.” Sambung anak bongsu arwah lagi.
Allahuakbar. Anak sekecil itu memang tidak mengerti apa-apa. Dia tidak tahu langsung yang ‘tidur’ ibunya itu adalah tidur selamanya.
Ketika dia bercerita dalam esak tangis, mengalir juga air mata ini. Saya peluk anak itu. Cuba tenangkannya dan memahami betapa beratnya ujian yang sedang dilalui saat itu.
Jenazah arwah dimandi dan dikafankan di dalam rumahnya. Saya dimaklumkan kawasan perumahan mereka mencatatkan banyak kes positif Covid-19. Jadi jiran-jiran lain tidak keluar rumah demi menjaga keselamatan diri.
Namun mujur ada dua orang jiran rumah arwah berdekatan sudi membantu menguruskan jenazah. Mereka sangat baik dan antara yang sering hulurkan bantuan keperluan asas buat arwah dan anak-anak.
Setelah skuad muslimah kami selesai menyempurnakan jasad arwah, kami beri peluang kepada anak-anak menatap wajah ibu mereka dan menciumnya buat kali terakhir.
Anak yang paling kecil menangisi pemergian ibunya. Dia peluk ibunya. Sedang di tangannya masih ada mainan kecil, mungkin sekadar untuk tenteramkan diri sendiri.
Saya pegang bahu dan tenangkan dirinya. Kemudian kami mendirikan solat jenazah sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Urusan pengebumian telah dipermudahkan
Bekas suami arwah juga turut bersama membantu dari awal hingga akhir.
”Ustaz, saya tak mampu nak bayar kos semua ini. Saya baru kematian ahli keluarga lain sebab Covid. Sekarang simpanan sudah habis.”
Keluh bekas suami arwah yang jelas terpapar wajah kerisauannya tentang bayaran kos pengurusan jenazah bekas isterinya itu.
”Abang tak perlu risau. Kami faham situasi abang. Semua kos pengurusan jenazah ini termasuk kos tanah kubur saya akan selesaikan.”
Pujuk saya untuk menenangkan hatinya yang tampak sangat gelisah ketika itu.
Menangis dia. Hajat nak peluk saya, tapi segera dia ingat keadaan sekarang membatasi pergerakan sosial. Alhamdulillah, jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara jam 5:30 petang.
Terima kasih Encik Fendy dan petugas tanah perkuburan yang membantu memudahkan urusan pengebumian arwah. Semoga roh Almarhumah Roziah binti Abd Malek ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Amin.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: ”Ibu Masak Nasi Je, Lauk Belum Lagi, Lepas Tu Dia Mati,” Kisah Sedih Anak Menyaksikan Ibu Meninggal Dunia