Mengharungi kehidupan sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak ada kalanya penuh dengan perasaan suka duka. Sistem kekeluargaan yang kuat dapat membantu anda mengharunginya dengan tenang.
Menurut perkongsian pakar laktasi, Nad Masrom mengatakan bahawa setiap ibu sememangnya mendapat sokongan dari orang sekeliling. Namun kesannya mungkin tidak akan sama dengan ahli keluarga yang mereka cintai.
Sistem sokongan dalam kekeluargaan
Berapa banyak pun sokongan dan penghargaan kita dapat dari orang luar, takkan sama dengan sokongan yang begitu bermakna dari kekeluargaan sendiri.
Ramai dalam kalangan kita yang mendambakan penghargaan orang luar sedangkan penghargaan dari ahli keluarga sendiri seperti suami, isteri, ibu bapa, anak-anak, atau dari ahli keluarga sendiri kita ambil tak peduli.
Perasan tak bila ahli keluarga sendiri yang hargai apa yang kita lakukan, rasanya lebih bermakna berbanding apa yang orang luar katakan.
“Terima kasih ibu sebab belikan mainan ini untuk kakak…”
“Terima kasih sayang sebab masakkan untuk kami semua…”
“Terima kasih kak, sebab belikan mak hadiah ni…”
Nampak simple ucapan terima kasih itu tapi bermakna. Sebab biasanya orang luar ni di bibir sahaja manis, dalam hati mereka kita tak pernah tahu. Tapi kalau dalam kekeluargaan kita, biasanya ayat tu dari hati mereka yang tulus.
Bersyukur jika dapat anak dan suami yang baik
Bersyukur bila kita ada suami dan anak-anak yang sentiasa menyokong apa jua yang kita lakukan.
Sebab kita rasakan penghargaan orang luar itu lebih utama sedangkan mereka hanya melihat sisi kesempurnaan kita sahaja.
Sedangkan ahli keluarga kitalah yang selalu melihat sisi kekurangan kita tapi mereka tahu kita tak pernah berhenti putus asa untuk perbaiki diri dari masa ke semasa.
Jadi, biarlah 1000 mata di luar memandang rendah diri kita asalkan masih ada orang terdekat iaitu keluarga sendiri yang menyayangi dan menghargai, itulah kesyukuran paling besar dan bermakna.
Hargai mereka selagi ada. Dan saya tahu, ada juga yang sukar untuk dapat penghargaan dari ahli keluarga sendiri terutama usahawan yang buat bisnes sepenuh masa, atau pun surirumah yang selalu dipandang kecil.
Dua golongan ini selalu diperkecilkan walaupun besar usaha yang mereka cuba lakukan. Pengalaman peribadi sendiri, saya akan cuba syukuri circle kecil yang saya ada. Suami dan anak-anak serta sebahagian keluarga yang menyokong dari dulu tanpa diskriminasi, itu sudah memadai.
Tak perlu meminta untuk dihargai apabila tidak dipandang,
Tak perlu meminta untuk diingati apabila tidak dipedulikan,
Tak perlu meminta untuk dikasihi apabila tidak diperlukan.
Kerana matlamat hidup kita semua berbeza. Dan tak semua orang suka melihat kejayaan yang kita perolehi.
Sebab tu kadang-kadang kena buat post ‘bodoh-bodoh’ sahaja. Untuk nampak kita yang biasa-biasa. Hakikatnya tidak mudah untuk memuaskan hati semua orang.
Asalkan kita sendiri cukup jelas dengan apa yang kita mahukan. Terutama untuk menjadi hamba-Nya yang lebih dikasihi.
Cara untuk membina sokongan dalam keluarga
Apabila seseorang mempunyai sistem sokongan keluarga yang sihat, mereka akan mempunyai hubungan positif dengan ahli keluarga atau rakan, yang menggalakkan anda membuat pilihan atau percubaan serta sentiasa susah senang bersama.
Membina sistem sokongan keluarga yang sihat boleh menjadi perjalanan dan cabaran yang berterusan, tetapi usaha itu berbaloi. Perkara yang indah ialah ia kelihatan berbeza untuk semua orang.
Justeru ada beberapa cara untuk membina sistem sokongan dalam keluarga iaitu:
#1. Menerapkan nilai yang baik
Selepas berkahwin, pasangan dan anak-anak sering menjadi kekuatan buat kaum ibu. Bagi memastikan anda kekal tenang mengharungi tiap dugaan, sentiasalah menjaga hubungan yang baik dengan mereka.
Terapkan nilai kasih sayang antara anak, saling bantu membantu dan menghormati antara satu sama lain. Ibu ayah tidak perlu menggunakan kekerasan dalam membentuk keperibadian anak, cukuplah sikap tegas untuk mendidik mereka menjadi anak yang baik.
#2. Bahagikan tugas dalam rumah
Urusan rumah tangga dan anak-anak tidak boleh diletakkan pada bahu satu pihak sahaja. Suami atau isteri perlu membahagikan tugas supaya tiada yang merasa terbeban.
Sekiranya anda memiliki anak yang sudah besar, ajarkan mereka dengan tugasan rumah yang sesuai dengan usia. Dengan cara ini anak-anak akan menjadi seorang bertanggungjawab dan boleh bawa diri apabila mereka dewasa kelak.
Manfaat lain adalah ibu dapat meminta bantuan anak untuk menguruskan kerja rumah yang asas seperti membasuh pakaian, mengemas rumah ataupun mencuci pinggan di dapur.
Ahli keluarga yang ada peranan masing-masing di dalam rumah biasanya akan saling bekerjasama untuk menjaga bahagian mereka. Ini sekaligus dapat meningkatkan sokongan dalam keluarga.
#3. Luangkan masa bersama
Ramai ibu ayah mengambil mudah akan hal ini. Meskipun jadual harian adalah begitu sibuk setiap masa, usahakanlah untuk duduk bersama dengan pasangan dan anak-anak.
15 minit hingga 30 minit sudah cukup untuk mengeratkan hubungan anda bersama mereka. Manfaatkan waktu ini dengan berkomunikasi, ceritakan perkara yang berlaku pada hari berkenaan ataupun bermain.
Ini sekaligus dapat meningkatkan rasa sayang pada diri, rasa dihargai dan sokongan terhadap ahli keluarga.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di lamantheAsianparent Malaysia
Baca juga: 7 Tanda Anda Atau Anak Telah Dibesarkan Dalam Keluarga Yang Tidak Sihat
Baca juga: Johan Pandai Curi Jiwa Isteri & Anak, Ini Sebab Pentingnya Bonding Time Dalam Keluarga!
Baca juga: Ibu Hamil Sangat Perlukan Sokongan Keluarga, Jangan Biarkan Mereka Sendirian!