Ketika penularan wabak Covid-19, ramai rakyat Malaysia sedar akan kelebihan sedekah sehingga ada yang menghantar bantuan makanan, pakaian dan tempat tinggal kepada frontliner serta golongan susah.
Situasi ini tidak terkecuali bagi seorang bekas pesakit Covid-19. Meskipun pada permulaan kisah yang dilalui agak sedih, namun di sebalik ujian pastinya tersembunyi seribu hikmah.
Kelebihan sedekah seikhlas hati
Tiada yang lebih menggembirakan bagi pesakit apabila dirinya disahkan sembuh dan bebas dari penyakit virus misteri, Covid-19.
Bagi Reza Huzairi Zainudin, 41, dia mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga setelah mengetahui plasma darahnya berupaya menyembuhkan pesakit Covid-19 yang lain kerana tidak semua plasma bekas pesakit boleh digunakan.
Menjadi penderma sulung negara tanggal 2 April lalu, plasma darah Reza Huzairi didapati cukup ampuh, sihat dan sesuai serta memenuhi kriteria yang dapat membantu rawatan pesakit Covid-19 dalam keadaan kritikal.
Menurut perkongsian Reza di akaun Facebook miliknya, dia adalah bekas pesakit Covid-19 bagi kes 46 dan mendapat jangkitan Coronavirus ketika gelombang kedua terjadi.
”Pengalaman berada dalam wad isolasi akan saya kenang seumur hidup. Tidak pernah membayangkan yang saya akan berada di dalam situasi ini, dikunci 24 jam selama 11 hari di dalam bilik, perasan tertekan itu bukan main-main,”
”Dalam resah memikirkan diri sendiri, saya juga resah memikirkan tentang isteri, anak-anak dan rakan sekerja. Hanya pada Allah sahaja memohon agar virus ini tidak menjangkiti mereka,” kongsinya.
Sepanjang tempoh berada di hospital, Reza sentiasa bersangka baik dan yakin setiap ujian pasti ada hikmahnya. Dia tetap meneruskan kerja pejabat seperti biasa bagi menghilangkan rasa tertekan.
Terpilih menjadi penderma sulung
”Setelah 11 hari dimasukkan dalam wad Hospital Sungai Buloh (HSB), saya dibenarkan keluar pada 14 Mac memandangkan ujian menunjukkan negatif buat kali kedua,”
Hampir dua minggu mendaftar keluar hospital dan melakukan pemeriksaan susulan di HSB, pada 31 Mac dia mendapat satu panggilan daripada seorang doktor yang membawa berita baik.
”Saya telah terpilih sebagai penderma plasma (Convalescent Plasma Donor). Plasma yang didermakan ini akan diuji terlebih dahulu dan sekiranya berjaya, ia bakal digunakan sebagai serum untuk merawat pesakit Covid-19,”
”Menurut doktor, saya adalah rakyat Malaysia yang terpilih untuk mendermakan plasma darah dalam kajian ini. Bagaikan Allah menggantikan kesedihan dengan perasaan terharu dan bangga kerana berpeluang merasai kelebihan sedekah di saat virus ini masih tiada penawarnya,” katanya.
Menurut Reza berat badannya 65 kilogram, hanya 500 mililiter plasma darahnya boleh diambil pada satu-satu masa, namun ia boleh digunakan untuk membantu rawatan beberapa orang pesakit.
Justeru, beliau merancang untuk kembali menderma dalam tempoh dua minggu akan datang selagi dibenarkan oleh doktor supaya lebih ramai pesakit mendapat manfaat.
Pengalaman yang tidak dirasai orang lain
“Sepanjang proses pendermaan plasma darah selama sejam di Pusat Darah Negara pada 2 April lalu, saya banyak bertanya pada doktor mengenai rawatan Covid-19 menggunakan plasma darah pesakit yang pernah terkena jangkitan ini.”
“Tidak semua plasma boleh didermakan kerana penderma mestilah sihat daripada sebarang penyakit kronik, tidak mengambil sebarang ubat pada jangka masa panjang dan mempunyai kesihatan optimum, saya datang untuk membuat ujian dan bersyukur plasma darah saya sesuai untuk didermakan,” katanya.
Bagaimanapun, dia dimaklumkan bahawa keberkesanan akan diperoleh apabila ia digunakan kepada orang yang mempunyai jenis darah yang sama dengannya.
Oleh sebab itu, beliau berharap lebih ramai bekas pesakit Covid-19 yang sihat tampil untuk menderma plasma darah mereka bagi membantu merawat pesakit yang sedang berjuang melawan virus misteri berkenaan.
Justeru, dia menggalakkan orang ramai agar menjaga kesihatan sebaik mungkin kerana ia tidak hanya mendatangkan kebaikan terhadap diri sendiri, malahan orang di sekeliling juga.
Sumber: Reza Huzairi Zayn, Harian Metro
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.comtips-sihat