Bagaimana Untuk Bantu Kemahiran Motor Anak Yang Ketinggalan & Bila Anda Perlu Bimbang

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Lisa Dahlstrom, 42, risau akan anaknya yang berusia 3 tahun, Levi, menghadiri prasekolah menjelang musim luruh ini. Anaknya tidak berminat untuk memegang pensel atau krayon, dan setiap kali dia lakukannya, dia masih mencengkam seperti kanak-kanak kecil. Dia bergelut dengan melukis atas garis jejak dan menggunakan gunting. Dia juga sukar untuk memakai dan menanggalkan pakaian sendiri, malah tidak menunjukkan keinginan sama sekali untuk memulakan latihan guna tandas.

“Dia tidak mahir dalam kemahiran ini ketika dia berada di pusat asuhan sebelum berlakunya wabak, dan sekarang, setelah berbulan-bulan tinggal di rumah, dia benar-benar ketinggalan,” kata Dahlstrom, seorang ahli patologi bahasa dan pertuturan di Fairfield, Conn.,. “Di pusat asuhan, ada kanak-kanak lain untuk beri motivasi dan rasa lebih seronok.”

Sumber foto: iStock

Cubaan untuk mengetahui sekiranya anak anda mempunyai masalah perkembangan kemahiran motor boleh menjadi sukar walaupun dalam situasi terbaik: Satu daripada empat kanak-kanak yang menghadiri tadika mempunyai masalah lewat dalam pertuturan,  perkembangan kemahiran motor kasar atau motor halus, menurut tinjauan yang diterbitkan pada tahun 2019 dalam jurnal perubatan JAMA Pediatrics.

Namun dengan sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak ditutup ketika wabak, “kami dapati kebanyakan kanak-kanak kini bukan sahaja hilang minat untuk belajar, namun koordinasi dan kemahiran motor halus juga berkurangan,” ujar Tanya Altmann, M.D., penolong profesor klinikal di University of California, Los Angeles, Mattel Children’s Hospital dan jurucakap untuk American Academy of Pediatrics. Akibatnya, sebahagian daripada kanak-kanak ini memerlukan terapi pemulihan (occupational therapy) atau O.T., yang membantu kanak-kanak ini mengembangkan kemahiran motor halus, meningkatkan koordinasi mata dan tangan serta melakukan tugasan harian seperti makan, berpakaian dan menggunakan gunting.

Mungkin agak sukar buat masa sekarang untuk mengetahui sekiranya anak anda mengalami masalah kelewatan ini. “Sebelum ini, ibu bapa sering menggunakan kanak-kanak lain sebagai ukuran sama ada anak mereka ketinggalan di belakang, namun kini lebih sukar untuk membandingkan apabila ahli keluarga anda perlu mengamalkan penjarakan sosial,” kata Susan Cahill, Ph.D., pengarah praktik berasaskan bukti di American Occupational Therapy Association.

Dengan wabak ini, kanak-kanak yang telah menerima rawatan O.T. juga bergelut. Abby Copper, 34, seorang suri rumah di Bergenfield, N.J., ujar bahawa anaknya Noah, 6, menerima rawatan O.T. peribadi sejak prasekolah kerana tonus otot lemah, yang menyebabkan dia sukar untuk mencengkam pensel dengan kuat. Namun rawatan ini terhenti pada pertengahan bulan Mac, apabila sekolah ditutup.

“Selepas beberapa bulan, dia semakin perlahan dan tidak teratur dengan kerja rumah serta semakin bergelut – dia tidak dapat mengikuti ujian ejaan atau menulis tugasan semasa kelas Zoomnya,” ujarnya. Walaupun ahli terapi pemulihannya menyediakan beberapa lembaran kerja, Noah enggan melakukannya. “Dia teragak-agak untuk melakukan sesuatu yang sukar buat dia, dan saya faham akan keadaannya,” katanya. “Pada masa yang sama, saya sendiri tidak selesa kembali ke terapi secara fizikal.”

Kemahiran Motor Lewat: Bagaimana Ibu Bapa Boleh Bantu Anak-Anak
Berita baiknya ialah ibu bapa boleh melakukan pelbagai aktiviti di rumah melalui aktiviti bermain mudah untuk memperkuatkan kemahiran motor halus anak-anak mereka, kata Marina Scott, ahli terapi pemulihan pediatrik di Old Saybrook, Conn. “Secara umum, jangkaan akademik untuk kanak-kanak di prasekolah dan tadika tidak semestinya sesuai dengan perkembangan mereka,” jelasnya. Sesetengah prasekolah, sebagai contoh, mengharapkan kanak-kanak berusia 4 tahun untuk menulis ayat penuh, sedangkan kemahiran itu hanya akan muncul sekitar usia 6 atau 7 tahun.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Daripada menumpukan perhatian kepada latihan penulisan atau lembaran kerja, Scott menyarankan kanak-kanak bermain di belakang rumah atau di taman permainan tempatan dan biarkan mereka bermain di bar monyet. “Apabila kanak-kanak bergayut di bar monyet, ini membantu menguatkan tonus otot dan pelingkung bahu, yang mana kedua-dua bahagian badan mereka akan bekerja semasa mereka bergerak dari bar ke bar, dan ia juga meningkatkan kekuatan tangan dan cengkaman mereka,” jelasnya.

Atau, menurut cadangan Scott, anda boleh mencipta balapan berhalang sendiri di belakang rumah atau di ruang tamu. “Biarkan anak-anak anda berjalan di atas permukaan yang tidak seimbang, atau tampal pita perekat pada lantai dan ajak mereka berjalan berjengket mengikut pita itu, ini membina kekuatan teras dan meningkatkan koordinasi dan keseimbangan,” katanya.

Semua ini lebih mudah buat kanak-kanak, apabila mereka pulang ke kelas pembelajaran, untuk menggunakan peralatan seperti pensel dan gunting, yang memerlukan mereka mengawal kertas dengan satu tangan dan peralatan dengan satu tangan yang lain.

Liatte Lasher, seorang guru sekolah rendah berusia 30 tahun di Stamford, Conn., meluangkan musim panasnya di luar bersama anak-anaknya, Emma dan Abby yang berusia 3 dan 4 tahun, untuk mengasah kemahiran motor halus.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

“Saya mengajar kanak-kanak darjah dua tahun ini dan terkejut dengan beberapa pelajar saya yang tidak mempunyai kekuatan otot pada tangan dan jari mereka untuk menggunakan gunting atau pensel untuk jangka masa yang panjang,” ujarnya. “Ketika pembelajaran dalam talian, ibu bapa risau akan anak-anak mereka ketinggalan dalam akademik. Namun mereka juga harus memastikan anak-anak melakukan aktiviti yang mengasah kemahiran motor halus mereka.”

Aktiviti tersebut mudah sahaja seperti salah satu aktiviti kegemaran anak-anak Lasher: menggunakan gunting untuk memotong rumput dan mencari pepijat. Dia juga menghantar anak-anaknya dalam sesi “pemburuan alam”, yang mana mereka mengumpul rumpai, daun dan bunga ke dalam baldi, kemudia potong sebanyak mana yang mereka suka.

Berkebun adalah aktiviti yang bagus untuk dilakukan bersama anak anda, ujar Rebekah Tolin, ahli terapi pekerjaan pediatrik di Los Angeles. “Menggali dengan penyodok membantu otot badan dan bahu, dan menanam benih pula adalah cara yang baik untuk membantu anak anda mengembangkan dan meningkatkan cengkaman jari mereka, terutamanya kerana biji benih sangat kecil dan anda perlu memegangnya di antara jari dan ibu jari anda,” katanya.

Di dalam rumah pula, membuat roti dapat membantu kemahiran motor halus. Menguli doh dengan pencanai doh atau meratakannya dengan tangan membenarkan anak-anak anda mempraktis koordinasi kedua-dua belah tangan mereka, yang mana ia membantu anak-anak anda pelajari kemahiran seperti mengikat tali kasut dan menggunting, kata Tolin. Menuang bahan-bahan ke dalam mangkuk, mencedok keluar tepung sadur, dan memicit aising pada kek cawan dan biskut membantu meningkatkan koordinasi mata-tangan dan menguatkan tangan mereka. Lasher menyimpan penyepit kecil, pom-pom, pasta kering dan batu permata palsu di dalam rumah untuk projek kraf anak-anak perempuannya, untuk membantu mereka meningkatkan kekuatan jari.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Bila untuk meminta pertolongan
Jika anda telah mencuba beberapa aktiviti di atas, dan anda rasakan anak anda masih berhadapan dengan masalah – sebagai contoh, mereka 4 tahun dan tidak dapat melukis orang dengan dua hingga empat bahagian badan, atau menggunakan gunting – tetapkan temu janji dengan pediatrik anda untuk berbincang sama ada anda perlu rujukan untuk penilaian O.T. (Atau lihat garis panduan C.D.C. untuk perkembangan anak di sini.)

Hampir semua pelan insurans menawarkan O.T. dalam pelbagai bentuk, ujar Amy Houtrow, MD, PhD, MPH, FAAP, Chiefs, Division of Pediatric Rehabilitation Medicine di Children’s Hospital di Pittsburgh. Namun hanya sesetengah syarikat sahaja menawarkan perlindungan ini atas beberapa sebab tertentu, atau situasi tertentu sahaja – sebagai contoh di dalam hospital, atau dengan pembiaya tertentu – dan tidak banyak pelan menawarkan lawatan tanpa batasan. Jadi Dr. Houtrow menasihatkan anda untuk berbincang dengan pakar kanak-kanak anda untuk kod diagnostik yang mereka gunakan, kemudian rujuk kepada syarikat insurans anda bagi memastikan anda dilindungi. Jika penyata anda ditolak, anda perlu menelefon mereka untuk mendapatkan penjelasan.

“Sesetengah insurans hanya memerlukan beberapa diagnosis tertentu lebih daripada, sebagai contoh, masalah kelewatan perkembangan, yang mana pakar kanak-kanak anda boleh sediakan. Kadang kala, doktor anda perlu menyediakan surat keperluan perubatan, yang mana kedua-dua O.T. dan pakar kanak-kanak akan menjelaskan kenapa kanak-kanak tersebut perlukannya.

Terapi dalam talian membenarkan ibu bapa menyertai sesi dan menceduk idea baru untuk aktiviti. Rachel Winer Sticklin, 40, perunding komunikasi di Olney, Md., berkata anaknya Sam, 6, menjalani O.T. sejak prasekolah, dan bertukar kepada sesi dalam talian sejak Mac.

Sejak June lalu, Sam membuat kad Hari Bapa sendiri dengan latihan daripada pakar terapinya. “Dia dapat melukis, memotong dan menampal tanpa memerlukan bantuan, ini satu kemajuan buat dia,” katanya. “Dia tidak berada di mana dia berada sekarang jika dia masih ke sekolah dan hadir terapi fizikal setiap minggu, namun pastinya dia tidak melangkah ke belakang.”

Lisa Dahlstrom baru-baru ini membenarkan Levi dinilai oleh sistem sekolah tempatannya untuk lihat jika dia layak untuk servis O.T. Sambil dia menunggu keputusan tersebut, dia bekerjasama dengan Levi untuk strategi asas sendiri. Levi sukar untuk melukis garisan lurus, jadi Lisa melatih anaknya dengan buku surih dinosaur dan susun bijirin Cheerios dalam garisan lurus. “Saya mahu dia rasa seronok, dan tidak mudah mengalah sehingga dia enggan melakukannya,” ujarnya. “Namun setiap hari dia tidak ke sekolah, masalahnya semakin menjadi.”

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

“How to Help a Child With Delays in Motor Skills and When to Get Support” oleh Hallie Levine © 2020 The New York Times Company

Hallie Levine merupakan seorang penulis kesihatan yang tinggal di Fairfield, Conn., bersama tiga anak dan dua ekor anjing peliharaan.

Artikel ini telah disiarkan pada 21 Ogos 2020 dalam NYT Parenting.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit atau pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga:

9 Aktiviti Paling Mudah Kuatkan Otot Tangan Anak Menurut Doktor

 

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan