Mengharungi ujian rumah tangga pada akhir zaman ini memerlukan kesabaran yang tinggi bagi suami atau isteri. Kerap kali kita mendengar berita isteri kena pukul oleh suami disebabkan pelbagai alasan.
Sebenarnya dalam ajaran Islam hanya membenarkan suami memukul isterinya dengan bersyarat iaitu bertujuan mendidik tanpa mencederakan serta menjatuhkan maruah isteri.
Pukulan berbentuk pengajaran ini adalah cara terakhir yang boleh digunakan jika dua langkah ini gagal iaitu teguran baik dahulu dan mengasingkan tempat tidur.
Isteri selalu kena pukul, suami dianggap nusyuz
Selain itu, pukulan juga hendaklah tidak meninggalkan kesan dan tidak memukul di bahagian muka isteri.
Menurut laman Mufti Wilayah Persekutuan, nusyuz bagi suami ke atas isterinya adalah meninggalkan tanggungjawabnya serta menyakiti pasangan.
Tidak hanya isteri, nusyuz bagi suami boleh terjadi apabila dia mula mengabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada dirinya. Antara ciri ciri suami nusyuz adalah:
- Menyakiti isteri
Menyakiti isteri bermaksud suami bertindak kejam dan kasar terhadap isteri seperti memukul, menarik rambut, mendera dan lain-lain yang boleh mendatangkan kecederaan pada tubuh badan isteri.
- Mengabaikan isteri
Nusyuz bagi seorang suami apabila dia tidak mempedulikan isterinya seperti kurang berkomunikasi atau kurang bermesra disebabkan suami sudah jemu dengan isterinya atau ingin mencari yang lain.
- Suka buka aib
Tidak memelihara kehormatan dan suka membuka aib isteri kepada orang lain mengenai hal rumah tangga juga dikira sebagai nusyuz.
Tindakan sekiranya isteri selalu kena pukul suami
Jika seorang isteri berhadapan dengan suami yang nusyuz atau kaki pukul, anda elakkan hanya bertahan apabila diri disakiti. Berikut beberapa tindakan yang sewajarnya diambil iaitu:
#1. Bersabar dan menasihati suami
Seorang isteri hendaklah bersabar dan menasihati suami dengan cara yang baik seperti mengingatkan suami tentang tanggungjawabnya dan patuh pada perintah agama.
Jika keadaan masih lagi belum berubah dan tidak Berjaya menasihatinya, maka isteri boleh mengadu kepada hakim di atas apa yang dilakukan oleh suaminya terhadap dirinya. Ini seperti yang dinyatakan Dr Muhammad Zuhaili serta terdapat di dalam al-Fiqh al-Manhaji:
”Isteri juga hendaklah memberi amaran kepada suami tentang balasan perbuatan zalimnya. Jika suami berubah baik, itulah sebaik-baiknya.”
2. Pastikan sistem sokongan sentiasa di samping anda
Seeloknya berhubunglah dengan keluarga dan sahabat baik sebagai tempat bergantung jika berlaku sebarang kecemasan. Diingatkan segala aib rumah tangga masih perlu dijaga kerana kebanyakan campur tangan keluarga boleh menutup jalan perdamaian.
3. Isteri membuat pengakuan kepada pihak mahkamah sekiranya masalah masih tidak dapat diselesaikan.
”Jika tidak, dia hendaklah mengadu kepada hakim untuk mendapat haknya. Ini kerana hakim diwujudkan untuk mengembalikan hak kepada yang berhak disebabkan isteri tidak mampu mendapatkan haknya bersendirian… jika suami masih lagi mengulangi perbuatannya, maka isteri boleh meminta hakim mengenakan hukuman terhadap suaminya.”
Bolehkah isteri keluar rumah setelah kena pukul oleh suami?
Menurut Peguam Syarie, hak yang wajib seorang isteri peroleh daripada suami seperti nafkah, tempat tinggal serta dilayan dengan lemah lembut.
Apabila hak itu gagal ditunaikan atau suami melakukan kezaliman terhadap isteri, maka hilanglah hak suami untuk ditaati.
Jika isteri berterusan membiarkan dirinya diperlakukan secara tidak syarie oleh suami, isteri dianggap bersubahat di atas kejahatan dilakukan suami.
Contohnya, isteri membiarkan dirinya dipukul dan diseksa sedangkan dia boleh melepaskannya, maka dia termasuk dalam membantu suami melakukan kezaliman ke atas dirinya.
Jika hal sedemikian terjadi, isteri yang dizalimi dengan tindakan suami yang melampaui batas, maka dia perlu menyelamatkan dirinya.
Dalam kalangan ulama, ada yang menyenaraikan sebab membolehkan isteri keluar dari rumah suami. Antaranya takut bahaya menimpanya jika terus berada dalam rumah berkenaan.
Sepertimana yang disenaraikan oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam Kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Sharh al-Minhaj: “…ataupun suami mengancam dengan satu pukulan yang tidak sewajarnya, lalu dia (isteri) keluar kerana takut kepadanya.
Maka, keluar isteri ketika itu tidak dikira sebagai nusyuz disebabkan keuzuran. Tindakan isteri yang tidak tahan dengan sikap suami sering memukul, mengherdik dan memakinya menyebabkan dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah ibu dan bapanya.
Itu adalah tindakan yang dibenarkan syarak.
Keadaan yang membolehkan isteri keluar rumah tanpa izin suami
Sebagaimana dijelaskan oleh ulama fikah, ancaman atau pukulan suami itu menyebabkan isteri diharuskan keluar kerana takut menjejaskan keselamatan dirinya.
Tindakan isteri tidak dikira nusyuz atau bertentangan dengan hak dan kewajipan dalam perkahwinan. Penjelasan lain berkenaan perkara itu termasuklah:
- Isteri boleh meninggalkan rumah suami apabila dia merasa terancam atau dalam keadaan bahaya.
- Suami menghidap penyakit berbahaya seperti AIDS atau penyakit kelamin lain
- Suami terbabit dengan aktiviti berbahaya seperti dadah, jenayah dan seumpamanya.
Jika tiada ancaman bahaya atau hal yang diizinkan syarak, isteri tidak boleh keluar dari rumah. Namun anda masih boleh menuntut cerai atau faraq (pemisahan oleh hakim) sekiranya suaminya mencerca atau melayaninya dengan cara tidak baik.
Semoga bermanfaat!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Suami Neraka, ‘Belasah’ Isteri Hamil Anak Sulung Sampai Koma & Retak Tulang Belakang
Baca juga: Baik Buruk Suami Hanya Isteri Yang Tahu, Bersyukurlah Jika Dia Masih Menjaga Aib Anda
Baca juga: Percaya Atau Tidak, Isteri Lebih Sakit Kepala & Stres Layan Kerenah Suami Berbanding Anak-Anak