Keputihan Berlaku Pada Bayi Normal Atau Tidak? Ini Panduan Untuk Ibu Ayah!
Bayi boleh keluar keputihan? Ramai ibu bapa mesti bingung dan resah melihat keputihan pada anak. Jom baca dengan lebih lanjut mengenai keputihan disini!
“Keputihan pada anak? Tak mungkinlah!”
Kebiasaannya, kita sering dengar bahawa masalah keputihan sering berlaku pada orang dewasa, khususnya wanita dan bukannya kanak-kanak. Mungkin bagi sesetengah ibu bapa, perkara tersebut dianggap sebagai sesuatu yang mustahil dan tak dijangka namun hakikatnya, ia benar-benar berlaku.
Adakah ia normal atau merupakan satu penyakit? Mengapa ia boleh berlaku pada sesetengah anak kecil? Ayuh teruskan membaca perkongsian ini untuk ketahuinya dengan lebih lanjut.
Isi Kandungan
Apakah itu Keputihan?
Keputihan ialah cecair yang keluar dari faraj. Ia biasanya berlaku atas beberapa tujuan iaitu samada untuk membersihkan dan melembapkan faraj, serta membantu mencegah dan melawan jangkitan.
Sama seperti orang dewasa, keputihan pada anak kecil juga datang dalam bentuk tompokan putih di kawasan faraj bayi. Selalunya tompok itu bukan sahaja putih, tetapi kuning, hijau, bahkan merah juga ada.
Keadaan ini sebenarnya sering berlaku dan secara amnya keputihan anak kecil tidak berbau, dan tidak menyebabkan rasa terbakar atau gatal di bahagian kemaluan.
Namun, jika keputihan ini berbau, gatal, malah membuatkan faraj panas, sila bawa anak untuk segera berjumpa dengan doktor.
Punca Keputihan pada Anak
Walaupun ia merupakan satu kejadian yang biasa berlaku tetapi anda harus mengetahui sebab atau punca keputihan pada anak dan mengapa ianya terjadi.
Lendir keputihan pada anak biasa terjadi untuk bayi yang baru lahir disebabkan oleh hormon si ibu yang tinggi sewaktu mengandung. Apabila si ibu mempunyai hormon yang tinggi, ianya menghampiri placenta lalu menyebabkan anak mendapat keputihan selepas dilahirkan.
Jenis Keputihan
Keputihan pada anak terbahagi kepada dua iaitu keputihan fisiologis dan keputihan patologis.
#1. Keputihan fisiologis
Keputihan fisiologi pada anak adalah satu keadaan normal di mana adanya cecair jernih atau putih yang tidak berbau keluar dari faraj si kecil.
Selalunya keadaan ini disebabkan oleh pemakaian seluar dalam yang tidak betul, pembersihan alat kelamin yang tidak sempurna, dan penggunaan lampin yang tidak bersih.
Sebelum memakai seluar dalam atau lampin untuk anak anda, anda mesti terlebih dahulu memastikan bahagian kemaluan si manja anda benar-benar kering. Gunakan kain atau tisu kering yang lembut untuk mengeluarkan sebarang kesan air.
Untuk proses pembersihan alat kelamin, sama seperti orang dewasa, anda perlu membersihkannya dari depan ke belakang, dan bukan sebaliknya. Anda juga harus mengelak daripada memakaikan lampin selama lebih daripada tiga jam.
Anda digalakkan untuk menukar lampin bayi anda setiap dua hingga tiga jam kerana bayi yang baru lahir membuang air kecil kira-kira 20 kali sehari untuk beberapa bulan pertama kehidupan mereka.
#2. Keputihan patologis
Berbeza dengan keputihan fisiologi, keputihan patologi selalunya disebabkan oleh jangkitan kulat, bakteria atau parasit.
Pakar mendedahkan bahawa bendasing yang ‘bersarang’ dalam faraj, seperti kertas tisu, bedak, parfum atau bahkan pelembut kain juga boleh menjadi punca keputihan jenis ini berlaku pada anak kecil.
Selain itu, jangkitan daripada cacing kremi juga boleh menjadi punca keputihan pada kanak-kanak.
Adakah ia Normal?
Keputihan pada anak ini adalah satu perkara yang biasa berlaku dalam kalangan bayi perempuan yang baru lahir. Ianya bukanlah sesuatu yang perlu anda bimbangkan. Kami faham bahawa ada ibu bapa yang terkejut atau panik bila menyedari bahawa terdapat keputihan pada anak.
Kebiasaannya, ianya boleh dilihat apabila anda menukarkan lampinnya. Kadang-kadang, ia kelihatan seperti cairan berwarna putih ataupun merah. Ianya betul-betul normal, wahai ibu bapa. Jadi, jangan cepat panik apabila anda ternampak cairan ini.
Anda tidak perlu risau. Keputihan pada anak ini tidak akan berpanjangan. Ianya akan berakhir apabila bayi berusia 10 bulan. Ia langsung tidak membahayakan anak anda. Malah, bayi anda tidak akan merasa sakit sepanjang pengeluaran keputihan tersebut.
Bagaimana Cara untuk Merawat Keputihan?
Keputihan pada anak sememangnya normal dan yang sebenarnya anda boleh membersihkan dan merawat kemaluan anak anda apabila anda melihat cairan keluar pada farajnya. Walaupun lendir ini boleh hilang dengan sendirinya, anda masih lagi boleh membersihkan atau merawatnya jika anda mahu. Namun jangan risau, anda tidak memerlukan sebarang rawatan khusus mahupun ubat pun. Ini adalah antara beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk merawat keputihan pada anak anda.
#1. Bersihkan najis pada bayi terlebih dahulu
Jika sewaktu anda membuka lampin bayi dan mendapati terdapat najis dan juga cairan keputihan, bersihkan najis terlebih dahulu. Anda boleh gunakan kain lembut, bola kapas ataupun tisu basah. Lap secara perlahan dan berhati-hati. Pastikan kawasan kemaluan anak anda bebas daripada najis.
#2. Gunakan kain kapas lembut atau tisu basah
Bersihkan kawasan kemaluan anak anda dengan menggunakan kain kapas atau bola kapas yang lembut yang dicelup dengan air suam bermula daripada bahagian depan sehinggalah ke bahagian belakang. Anda juga boleh membersihkan bahagian tersebut dengan menggunakan tisu basah. Pastikan anda tidak terlalu kasar sewaktu mengelap dan laplah cairan tersebut dengan lembut. Jangan risau kalau anda tak dapat lap semua kerana cairan tersebut kebiasaannya akan di serap oleh lampin.
#3. Lap bibir kemaluan anak
Sebagai tambahan, anda juga boleh melihat pada bahagian bibir kemaluan anak ataupun labia sekiranya terdapat cairan kemaluan di bahagian tersebut. Bersihkan dengan lembut pada bahagian tersebut menggunakan bola kapas yang dicelup dengan air suam. Tetapi, anda haruslah berhati-hati agar tidak terlalu membersihkan kawasan tersebut kerana dikhuatiri anda akan terlalu kasar dan menyebabkan bahagian sensitif pada kemaluan anak anda tercedera. Lap lembut-lembut sahaja ya!
Untuk membersihkan keputihan pada anak anda, tidak cukup jika anda hanya mengelapnya sahaja. Ini adalah antara beberapa panduan untuk anda dalam membersihkan keputihan pada anak anda.
- Guna tisu basah yang tidak mengandungi alkohol: Jangan gunakan tisu basah yang tidak sesuai untuk bayi seperti tisu basah untuk membersihkan rumah ataupun untuk muka. Pastikan tisu basah anda juga tidak mengandungi sebarang unsur pewangi kerana dikhuatiri anak anda mempunyai kulit sensitif.
- Tidak perlu sental atau terlalu bersihkan kawasan kemaluan bayi: Bayi mempunyai kulit yang sangat sensitif. Jangan terlalu obses untuk membersihkan kemaluan anak anda kerana takut-takut anda menyebabkan anak anda luka.
- Jangan bersihkan kemaluan anak anda dengan sabun: Ini adalah antara perkara yang perlu anda titikberatkan! Jangan sesekali anda membersihkan kemaluan anak anda dengan sebarang sabun mahupun sabun pencuci vagina. Cukuplah anda bilas sahaja dengan menggunakan air suam. Penggunaan sabun akan menyebabkan iritasi pada kemaluan, gangguan keseimbangan pada vagina dan juga menyebabkan ruam pada bahagian lampin.
- Gunakan kain untuk mengeringkan kemaluan: Selepas anda membersihkan kawasan kemaluan anak anda, gunakan kain kering untuk membersihkan tetapi jangan terlalu mengelapnya. Cukuplah sekadar menepuk-nepuk bahagian tersebut dengan kain lembut.
Selain itu, ini cara mudah untuk merawat keputihan pada anak anda:
- Letakkan si manja di dalam tab air suam biasa (tanpa sabun)
- Hamparkan kaki mereka supaya air boleh membersihkan kawasan faraj
- Tunggu selama 10 hingga 15 minit
- Keringkan bahagian faraj dengan tuala bersih
Pastikan anda elak menggunakan sabun yang boleh merengsa mereka, terkandung bahan kimia dan tidak mengenakan pakaian yang ketat pada si manja anda.
Bila Perlu Jumpa Doktor?
Jika keputihan pada anak anda bertukar menjadi kekuningan, mula mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan atau masih berlanjutan walaupun selepas tempoh yang ditetapkan, sila segara bawa anak anda berjumpa dengan doktor kerana anak anda mungkin mempunyai jangkitan pada bahagian vaginanya.
Semoga bermanfaat!
Sumber
Very Well Family (Sept 29,2022). Why Your Baby Has Vaginal Discharge. www.verywellfamily.com/why-your-baby-girl-has-discharge-4083038
Nationwide Children’s (n.d). Vaginal Discharge. www.nationwidechildrens.org/conditions/vaginal-discharge
Kids Health (n.d). Vaginitis in Children. kidshealth.org/en/parents/vaginitis.html
Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.
Baca juga:Bahaya Jika Alami Keputihan Warna Hijau, Segera Cegah Dengan Amal Langkah Mudah Ini!
Baca juga: 9 Jenis Keputihan Yang Wanita WAJIB Tahu, Boleh Kesan Penyakit Serius Awal
Baca juga: Cara jaga kebersihan kemaluan bayi perempuan: Panduan lengkap buat ibu bapa