Kasihan! Budak 10 Tahun Didera Ibu Kandung & Ditinggalkan Di Pulau Tikus

Siapa sangka ibu kandung dan bapa tirinya sanggup melakukan kes dera seorang kanak-kanak perempuan dan meninggalkannya bersendirian di Pulau Tikus.

Siapa sangka dunia yang telah mencapai pelbagai kemajuan telah menghilangkan sifat kemanusiaan dalam diri seseorang sehingga sanggup melakukan kes dera terhadap darah dagingnya sendiri.

Kejadian menyayat hati ini dilaporkan menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun telah mengalami kecederaan yang begitu banyak pada bahagian kaki dan tangannya.

Kes dera anak kandung

credit to sources

Kes dera ini dikatakan berlaku di Penang dan dipercayai jenayah berpunca dari ibu kandung sendiri yang menderanya.

Lebih memilukan, perkara ini telah terbongkar apabila seorang individu telah menjumpai kanak-kanak berkenaan yang disyaki ditinggalkan bersendirian oleh ibunya di Pulau Tikus.

Apabila disoal siasat, mangsa mengatakan bahawa dia sering dipukul oleh ibunya dengan pelbagai cara termasuklah ditekap dengan besi panas pada badannya sehingga mendatangkan luka yang begitu teruk.

Menurut Presiden Malaysian Tamilar Kural, David Marshel berkata, individu tersebut membantu kanak-kanak tersebut dengan menghantarnya ke sebuah rumah kebajikan di Kulim, Kedah.

Namun ibunya telah membuat laporan polis tentang kehilangan anak perempuannya tersebut.

Tambahnya lagi, polis berjaya mengesan kanak-kanak itu lalu menyerahkannya kembali kepada ibunya dengan keadaan lukanya dibalut.

“Pihak pengurusan rumah kebajikan tersebut telah menghubungi saya dan menyatakan bahawa terdapat luka teruk pada kaki dan tangan mangsa dipercayai ditekap dengan besi panas,”

Dibawa lari dan menyembunyikan diri

credit to sources

”Saya kemudiannya menghubungi polis untuk mendapatkan alamat sebenar rumah ibu mangsa namun setelah tibanya di lokasi, mangsa telah dipercayai dibawa lari oleh ibunya.”

Melangkah sahaja masuk jam 11.30 malam, dia mengatakan bahawa mendapat tahu bahawa ibu dan mangsa sedang menyembunyikan diri di Flat Machang Bubok, Bukit Mertajam.

”Saya sekali lagi berhubung dengan pihak polis bagi memberikan maklumat tersebut dan dengan ketangkasan pegawai bertugas, wanita berhati binatang itu berjaya ditahan,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi oleh media Sinar Harian telah mengesahkan penahanan suspek.

Menurutnya, suspek seorang wanita yang mencecah usia 41 tahun berkenaan telah berjaya ditahan di Machang Bubok, Bukit Mertajam. 

“Wanita yang bekerja sebagai pencuci pinggan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian saringan air kencing menunjukkan hasil negatif. Suspek direman enam hari bermula hari ini sehingga 24 Februari nanti,”

“Bagaimanapun, bapa tiri mangsa masih dikesan. Siasatan lanjut masih dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera,” katanya.

Soffian berkata, melalui keterangan yang diperoleh dari mangsa, dia sendiri mengaku telah dipukul ibu kandung dan bapa tirinya.

Mereka telah sengaja mencederakan tubuh badan kanak-kanak malang berkenaan menggunakan sebilah pisau yang dipanaskan.

Tambahnya, akibat tindakan yang cukup kejam berkenaan, mangsa telah mengalami luka pada tangan kanan dan kaki kirinya.

Anak amanah Allah

credit to sources

Seperti yang disebutkan dalam al-Quran, dikurniakan seorang anak adalah sebuah nikmat sebagai ”penyejuk mata” ibu ayah bagi menyambung keturunan dan mendoakan anda setelah kematian.

Ia adalah amanah yang cukup besar yang perlu ibu ayah menggalasnya dengan baik.

Bukan itu sahaja, anak adalah barang titipan Allah untuk menguji nilai diri anda. Namun, ramai yang terleka akan hakikat ini sehingga dilihat begitu bebas melakukan apa sahaja yang dikehendaki tanpa memikirkan kesannnya.

Dalam hal ini, jika anak-anak dianggap sebagai satu amanah, sudah tentu mereka ada hak yang wajib anda tunaikan.

Ibn Umar pernah menasihati seseorang:

”Didiklah anakmu kerana engkau nanti akan ditanya: Apa yang telah engkau didik dan ajarkan kepada anak-anakmu? Anak-anakmu pula akan ditanyakan tentang bakti dan taatnya kepada kamu.” (Riwayat alBaihaqi).

Antara tiga hak utama yang perlu anda lakukan adalah:

#1. Memperkenalkan anak-anak kepada Allah

#2. Mengajarkan anak-anak dengan kemahiran asasi untuk menjadi hamba Allah yang baik.

#3. Mendedahkan dengan kemahiran asas agar dapat menjalani kehidupan dunia lebih selesa.

Namun sekiranya anda tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa dengan baik, anda dianggap belum menjaga anugerah pemberian Allah.

Sumber: Sinar Harian, Addeen

Kredit foto: David Marshel

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Baca juga:

https://my.theasianparent.comdidera-ibu-tiri