Memang tidak hairan jika kes rogol di negara kita malah dikalangan remaja makin meningkat. Kerana wujudnya persekitaran yang tidak sihat dari alam persekolahan!
Jujur saya katakan, saya harap saya mempunyai keberanian seperti Ain Husniza Saiful Nizam ini ketika saya berusia 17 tahun dulu.
Sebab apa? Percayalah semua orang pasti mempunyai pengalaman yang seakan serupa, dilibatkan dalam jenaka-jenaka yang tidak patut, berbaur lucah dan sebagainya namun tidak mempunyai kuasa untuk berbuat apa-apa.
Malu, takut, tidak tahu untuk adu pada siapa, kalau diadukan pun mungkin responnya mengecewakan.
Ya, itulah yang dihadapi murid perempuan ini, dimana keberaniannya untuk lantang bersuara mengenai sesuatu yang buruk, dibalas pula dengan ugutan.
Namun, dalam mendapat respon yang sebegitu rupa, Ain Husniza tetap cekal dan kuat semangat, kerana kaum wanita menyokong sepenuhnya tindakan Ain.
Bagi yang terlepas mengenai isu ini, ketahui rentetan selanjutnya disini.
Guru bergurau tentang kes rogol
Ain Husniza Saiful Nizam seorang murid sekolah tingkatan lima, mendakwa bahawa seorang guru lelaki telah membuat jenakan mengenai rogol semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan di mana para pelajar membincangkan gangguan seksual pada hari Jumaat, sehingga menimbulkan kemarahan yang meluas di media sosial.
Ain berkongsi perkara itu melalui platform media sosial TikTok, yang kemudiannya diciapkan semula di Twitter.
Rentetan daripada dakwaannya di media sosial itu, Ain menyatakan dia telah menerima ancaman rogol daripada rakan sekolahnya akibat rasa tidak puas hati kerana mencemarkan nama baik sekolah di Kuala Selangor itu.
“Ya, saya mendapat ancaman rogol dari salah seorang rakan sekolah lelaki saya di sekolah. Saya menangis,” kata Ain Husniza Saiful Nizam di Twitter disertai tanda pagar #MakeSchoolASaferPlace
“Pelajar lelaki seperti dia adalah alasan mengapa saya terus berjuang, guru yang terus-menerus ‘menjangkiti’ pemikiran seperti itu kepada remaja lelaki perlu dibersihkan dari sistem pendidikan kita,” tambahnya.
Kes rogol akibat mindset yang salah
Ancaman rogol itu pada asalnya bermula dengan kata-kata tidak puas hati, remaja lelaki itu menyatakan isu ini boleh diselesaikan secara baik dengan pihak sekolah, jadi mengapa perlu dihebohkan satu dunia. Malah remaja lelaki itu juga menyatakan perkara ini ‘biasa’ dan pernah terjadi sebelum ini, namun tidak dikecohkan pun.
Itulah silapnya, di mana perkara ini dianggap ‘biasa’ ia hanyalah gurauan semata. Jadi di sini kita boleh lihat bagaimana masyarakat ‘membiasakan’ isu serius seperti ini. Disebabkan itulah perlunya isu ini dibangkitkan di mata dunia, kerana apabila jenaka melibatkan ‘rogol’ ia tidak pernah lucu ya!
Diakhir kata makian itu, remaja lelaki itu sempat mengatakan “kalau aku dapat budak ni, aku sagat-sagat dia, tak pun aku rogol hantar ke Thailand!”
Bapa kepada remaja perempuan itu, Saiful Nizam, juga menyiarkan kenyataan di Facebook mengenai ancaman rogol yang diterima anak perempuannya, dengan mengatakan bahawa dia akan membuat laporan polis yang berasingan mengenai perkara ini.
Pada hari Sabtu, dia telah membuat laporan polis mengenai jenaka rogol yang dikatakan dibuat oleh guru lelaki itu.
“Nampaknya akan ada laporan seterusnya apabila anak dapat ugutan rogol dari rakan sekolahnya kerana tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku lebih lagi ia ‘mencemar’ nama baik sekolah.
“Nampak tak? Mereka tak setuju dan seterusnya ugut nak rogol! As simple as that. Biasalah tu kan? Mindset begini dikatakan ‘biasa’ dari banyak pandangan yang saya terima sama ada di WhatsApp, Facebook dan sebagainya,” katanya.
Saiful berkata, dia menyokong penuh tindakan anak perempuannya dalam meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat umum mengenai kejadian yang melibatkan guru lelaki itu.
Bukan untuk memburukkan guru, tapi untuk ubah sistem
Tindakan anak perempuannya itu bukanlah bertujuan untuk menjadikan guru sebagai musuh, tetapi untuk memperbaiki sistem agar kejadian yang sama tidak akan terjadi pada orang lain. Dan supaya perkara yang ‘dibiasakan’ dapat dihentikan.
“Isu ini telah dapat perhatian dari pelbagai pihak dan peringkat, moga ianya jadi satu lagi titik perubahan kepada kualiti pendidikan kita serta masyarakat yang sedang dibentuk untuk masa hadapan.
“Terima kasih pada semua yang mesej, komen dan share maklumat. Sangat-sangat saya hargai,” katanya.
Ayahnya Saiful dilaporkan mengatakan dia akan mendapatkan respons sekolah terlebih dahulu, sebelum mengajukan aduan kepada Kementerian Pendidikan, walaupun dia telah dinasihatkan oleh rakan-rakannya untuk terus mengajukan aduan rasmi.
Ain juga tidah dihantar ke sekolah pada Isnin lepas atas tujuan keselamatan.
Sekolah akan mendapat nama baik jika ubah sistem
Menurut laporan Malaysia Kini, aktivis kanak-kanak Syed Azmi Alhabshi turut mengulas bahawa adalah lebih baik bagi guru yang dituduh untuk memperbaiki diri dan belajar untuk menerangkan sesuatu dengan lebih baik, dan bukannya dikenakan tindakan keras.
“Kalau ikutkan sebenarnya, sekolah memang akan dapat nama baik jika sebarang penambahbaikan dijalankan.
“Saya tahu ramai suka selamatkan nama baik sekolah dan berharap semua ini dapat di selesaikan secara muafakat dalam sekolah sahaja.
“Saya rasa itu pasal kanak kanak ke kaunselor sekolah. Tapi ini tak memadai dalam memperbaiki cara.
“Kalau ikutkan sebenarnya, sekolah memang akan dapat nama baik jika sebarang penambahbaikan di jalankan.
“Saya tak rasa (dan tak pasti)- yang cikgu yang dituduh perlu tindakan keras, cukup memadai penambahbaikan dan perjelas maksud dan cara yang lebih baik,” katanya.
Syed Azmi menambah bahawa perkara yang ditentang bukan individu, profesion, sekolah atau institusi.
Sebaliknya, jelasnya, ia adalah tingkah laku buruk, yang dapat diubah.
“Untuk pihak sekolah, mohon berlapang dada, masih ada ruang nak baiki jadi lebih baik.
“Untuk guru itu, saya pasti boleh guna taktik yang lebih baik untul elak salah faham, fitnah dan perasaan kurang senang.
“Untuk anak itu, anda telah set kan satu presedence yang mungkin menyelamatkan ramai kanak kanak lain seluruh Malaysia daripada kes rogol, termsauklah ancaman dan ugutan. Tahniah!
“Ini bukan pasal siapa betul atau salah ya, ini merupakan kebolehan access sistem keadilan semua pihak,” akhiri Syed Azmi.
Sumber: Malaysia Kini, Sinar Harian
Gambar sekadar hiasan. Kredit foto: Google Images
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 6 Perkara Budak Lelaki Belajar Sejak Kecil Yang Mungkin Boleh Ke Arah Merogol