Keselamatan kanak-kanak melalui alatan sekolah
Memikirkan tentang anak yang hendak masuk sekolah memang melibatkan seribu satu benda. Sudahlah kita risau tentang keselamatan kanak-kanak di sekolah, kita juga perlu fikir nak beli perkakasan sekolah seperti beg sekolah.
Mencari beg sekolah yang bersesuaian harus mempertimbangkan pelbagai aspek seperti tahan atau tidak, beri kesan pada kesihatan anak atau tidak dan macam-macam lagi.
Tapi, ada satu perkara yang mungkin ibu bapa terlepas pandang – keselamatan alatan sekolah.
Seorang kanak-kanak lelaki di Florida hampir terbunuh akibat pensil tajam dalam begnya telah mencucuk arterinya.
Insiden menakutkan ini terjadi kepada Kolston Moradi yang berusia 8 tahun. Sebatang pensil yang sangat tajam tercucuk keluar dari beg sekolahnya serta mencucuk arteri di lengannya.
Kolston bernasib baik kerana salah seorang cikgunya telah sedar yang tangannya sedang berdarah. Mereka segar meletakkan tekanan pada luka tersebut sementara menunggu paramedik tiba.
Rupa-rupanya tindakan cepat cikgunya itu menyelamatkan nyawanya!
Paramedik yang tiba menjelaskan pensil itu telah mencucuk arteri Kolston, dan dia boleh mati jika pendarahan itu tidak dihentikan. Yang lebih menakjubkan, Kolston hadir ke sekolah keesokan harinya!
Penting menjaga keselamatan kanak-kanak secara menyeluruh
Cerita di atas sudah tentu menambahkan kerisauan anda sebagai ibu bukan? Apa yang boleh kita sebagai ibu lakukan untuk mengurangkan risiko terjadinya kejadian seumpama ini?
Berikut adalah beberapa tip keselamatan yang anda boleh ikut:
1. Guna bekas pensil
Bukan sahaja pensil yang tajam, pen juga boleh menyebabkan kecederaan jika tercucuk dengan tekanan yang banyak. Bukankah lebih selamat (dan kemas) sekiranya semua alatan tulis diletakkan di dalam bekas pensil?
Selain itu, ini juga memudahkan bagi anak anda untuk mencari barang nanti kerana ia tidak bertaburan.
2. Beli beg yang selesa
Memang beg trending membuatkan anda tertarik untuk membeli. Tapi harus diingat, keutamaan yang perlu dititikberatkan adalah keselesaan beg tersebut.
Ini kerana mereka akan menggunakan beg tersebut setiap hari. Malah buku-buku dan alatan yang mereka perlu bawa juga berat. Jadi, pastikan anda membeli beg galas dengan dua tali bahu yang besar, ya.
3. Tidak terlampau berat
Beg yang terlalu berat akan meletakkan tekanan yang banyak pada bahu dan belakang anak anda. Secara amnya, berat beg sekolah mereka tidak boleh melebihi 15% daripada berat badan mereka.
Jika anda nampak beg mereka berat, semak semula barang-barang yang di bawa ke sekolah, pastikan mengikut jadual. Kalau terlalu berat, anda boleh membeli beg sekolah baru dengan tali bahu yang lebih lebar.
Sumber: theAsianparent Singapore, ABC News, UPMC Health Beat
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comkesan-beg-sekolah-yang-berat-pada-anak/