Bagi yang masih sangsi dan ragu-ragu, ini keterangan terkini untuk hukum membuat ujian swab menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hukumnya tidak batal sama sekali. Kemudian terlintas di kepala anda, bagaimana pula dengan korek hidung batal puasa atau tidak?
Swab test tidak batal puasa kerana:
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan kaedah memasukkan peralatan tertentu yang bertujuan perubatan ke dalam rongga hidung dan belakang anak tekak pada kadar dalaman tertentu didapati tidak membawa gambaran sebagai makan (mengenyangkan) dan minum (menghilangkan dahaga) atau rasa nikmat sehingga membatalkan puasa.
Sama juga isu korek hidung batal puasa, adakah anda mengorek hidung sehingga ke dalam mencecah rongga tekak?
Mengikut syarak, ujian seperti itu mempunyai kelonggaran dalam Islam kerana mengambil kira aspek kesihatan seseorang.
Menurut laporan dari Bernama Dr Zulkifli juga menegaskan ujian swab COVID-19 telah diberi pandangan dalam (Jawatankuasa) Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun lepas dan mencapai kata sepakat bahawa kaedah ujian swab yang digunakan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) adalah tidak membatalkan puasa “Walaupun masuk (rongga hidung dan mulut), ada membahaskan ia bukan (sehingga) masuk dalam perut yang ternyata membatalkan puasa mengikut hukum syarak. Ia sekadar (masuk) panjang sejengkal dan lebih sikit,” katanya.
Memandangkan ini isu baru dan dunia sedang melalui pandemik ini, timbul kekeliruan dikalangan umat Islam khususnya sama ada ujian ini menyebabkan terbatalnya puasa ataupun tidak.
Antara perkara yang menguatkan kenyataan ujian swab tidak membatalkan puasa:
- Ujian swab tidak membawa gambaran sebagai makan dan minum yang menjadi sebab batal puasa dengan ijmak ulama.
- Pandangan sebahagian ulama hanafi yang mensyaratkan sesuatu yang masuk ke dalam rongga badan mestilah sesuatu yang kekal di dalamnya dan tidak bersambung dengan sesuatu lain dari luar badan.
- Peralatan ujian swab ni sama seperti gastroscope ( teropong perut ) yang boleh dimasukkan ke dalam rongga badan tapi tidak membatalkan puasa asalkan peralatan tersebut bebas dari sebarang bendalir atau yang seumpama dengannya.
Walau bagaimanapun tidak di galakkan untuk SENGAJA memasukkan jari telunjuk ke dalam hidung pada waktu berpuasa kerana perbuatan itu boleh batal puasa.
Menurut pendapat dari mazhab Syafie , apabila memasukkan sesuatu dari lubang hidung hingga melepas had yang batin itu membatalkan puasa.
Bermula had yang batin ialah dari permulaan tulang hidung dan setengah fuqahak berkata had batin bagi hidung ialah sampai kepada otak atau lepas hingga ke kerongkong.
Dari kerana ini boleh dikatakan ujian swab Covid-19 dengan memasukkan objek ke dalam hidung tidak membatalkan puasa kerana walau pun melepasi tulang hidung tetapi tidak sampai ke otak atau kepada kerongkong.
Jika objek ujian masuk melepasi otak atau sampai melepasi kerongkong atau masuk ke dalam perut maka ia membatalkan puasa.
Berkata Mufti Negeri Jordan :
تبيّن لنا أنّ فحص الكورونا لا يفطر الصائم؛ لأنّ أداة الفحص الجافة التي تدخل من الأنف لا تصل إلى الحلق، وما كان كذلك فلا يعتبر من المفطّرات حيث اشترط السادة المالكية في المفطر أن يصل إلى الجوف، واشترط الحنفية استقرار الداخل في الجوف، وألا يبقى شيء منه في الخارج، وكلا الشرطين لا يتوافران في عملية الفحص؛ ولأنّ الصوم لا يبطل بالشكّ، لذلك من قام بفحص الكورونا عليه أن يُتمّ صومه، ولا شيء عليه. والله تعالى أعلم
Ertinya : “Telah nyata bagi kami bahawa ujian corona tidak membatalkan puasa kerana alat ujian yang bukan cecair itu masuk melalui hidung tidak sampai ke dalam perut dan perkara yang seperti demikian itu tidak terhitung dari yang membatalkan sekira-kira ulamak mazhab Maliki mensyaratkan masuk ke dalam perut barulah membatalkan puasa dan ulamak mazhab Hanafi pula mensyaratkan semua objek masuk kedalam perut tiada tinggal suatu pun diluar. Maka kedua syarat ini tidak berlaku ketika ujian corona dibuat dan pula dari kerana puasa itu tidak batal dengan sebab syak.
Korek hidung tidak batal puasa
Berkata Syeikh Abu al-Husein al-Imrani:
فلا يستقصي في المبالغة، فيصير سعوطا، فلولا أن الفطر يتعلق بما يصل منه لما نهى عنه ولأن ما يصل إلى دماغ الإنسان يغذي كما يغذي ما يصل إلى الجوف، فوجب أن يفطر به، كالواصل إلى الجوف
“Janganlah terlalu dalam ketika melakukan mubalaghah (semasa beristinsyaq), lalu jadilah ia suatu su`ut (kaedah memasukkan sesuatu, kebiasaannya ubat, ke kawasan melepasi pangkal hidung). Jika tidak, sesungguhnya pembatalan puasa itu berkait dengan apa yang sampai kepada sebahagiannya, oleh kerana itu Syarak melarangnya. Ini juga kerana apa yang sampai ke bahagian otak manusia boleh diambil khasiat, sama seperti suatu yang sampai kepada rongga, lalu batallah puasa dengan sebab itu, sama seperti suatu yang sampai ke bahagian rongga.”
Rujuk al-Bayan fi al-Madzhab al-Syafie (3/501)
Daripada kenyataan di atas, jelas kepada kita bahawa perbuatan mengorek hidung tidak membatalkan puasa. Ini kerana diharuskan bagi orang yang berpuasa untuk berwuduk dengan mengamalkan sunat istinsyak.
Cumanya, jika dibuat secara berlebihan sehingga sampai ke pangkal hidung atau kaisyum itu adalah dimakruhkan, selagi tidak sampai ke bahagian otak atau tekak. Jika sampai, maka batal puasanya.
Justeru, berdasarkan fakta tersebut, jelaslah bahawa perbuatan mengorek hidung juga tidak membatalkan puasa kerana kaedah dan wasilahnya yang sama yakni, memasukkan suatu ain untuk mengeluarkan kotoran daripada lubang hidung.
Ini juga kerana sekalipun terdapat perbuatan memasukkan ain ke dalam saluran yang terbuka, namun ia tidak sampai kepada had rongga sehingga membatalkan puasa. Namun jika dilakukan dengan melampau dengan alat-alat yang boleh menyampaikan ke bahagian otak maka itu batallah puasanya. Wallahua’lam.
Istilah otak di sini merujuk kepada kawasan yang berdekatan dengan otak. Kajian saintifik moden menunjukkan bahawa saluran hidung tidak sampai secara terus kepada bahagian dalam otak. Wallahua’lam.
Sumber: Mingguan Wanita, Mufti Wilayah
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: Terima Suntikan Vaksin Ketika Hamil, Ibu Ini Lahirkan Bayi Dengan Antibodi Covid