Kos sara hidup yang semakin meningkat amat meruncingkan terutama ibu bapa. Peningkatan ini menyebabkan ibu bapa sukar memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan anak mereka.
Isi Kandungan
Faktor Peningkatan Kos Sara Hidup
1. Inflasi
Inflasi adalah faktor utama yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup. Inflasi berlaku apabila harga barangan dan perkhidmatan meningkat dari masa ke masa, mengurangkan kuasa beli pengguna.
Di Malaysia, kadar inflasi yang konsisten menyumbang kepada kenaikan harga barangan keperluan asas seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal.
2. Kenaikan Harga Makanan
Harga makanan di Malaysia terus meningkat akibat faktor-faktor seperti perubahan cuaca, kenaikan harga bahan mentah, dan kos pengangkutan.
Kenaikan harga minyak dan bahan bakar juga menyumbang kepada peningkatan kos pengeluaran dan pengedaran makanan, yang seterusnya menyebabkan harga makanan menjadi lebih tinggi di pasaran.
3. Kos Pendidikan
Pendidikan merupakan satu lagi aspek yang menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup. Bayaran yuran sekolah, kos buku teks, dan peralatan pembelajaran yang semakin meningkat memberi tekanan kepada keluarga, terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana.
Di samping itu, pendidikan tinggi juga memerlukan perbelanjaan yang besar, menyebabkan keluarga terpaksa berhutang atau mengorbankan keperluan lain untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang baik.
4. Tempat Tinggal
Kenaikan harga hartanah dan sewa rumah turut menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup. Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, harga rumah yang tinggi menjadikan pemilikan rumah satu cabaran besar bagi golongan muda.
Sementara itu, sewa rumah yang semakin meningkat juga memberi tekanan kepada keluarga yang tinggal di kawasan bandar.
5. Perubatan
Kos perkhidmatan kesihatan yang meningkat adalah satu lagi faktor yang menambah beban kos sara hidup. Walaupun kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang subsidi, namun kos perubatan di sektor swasta tetap tinggi.
Perbelanjaan untuk ubat-ubatan, rawatan khas, dan insurans kesihatan semakin meningkat, menjadikan kos kesihatan satu aspek yang membebankan kewangan keluarga.
Implikasi Peningkatan Kos Sara Hidup
Peningkatan kos sara hidup yang drastik akan menganggu kehidupan sesebuah keluarga akibat ketidakcukupan pendapatan untuk menampung keperluan asas. Peningkatan kos sara hidup turut memberi kesan kepada beberapa aspek kehidupan anda.
1. Psikologi
Implikasi utama yang dikenal pasti adalah dari aspek psikologi. Disebabkan ketidakmampuan untuk menyediakan keperluan asas buat keluarga, anda akan berasa tertekan menghadapi situasi ini.
Ia sekaligus akan menyebabkan simptom tekanan seperti sukar untuk tidur, hilang selera makan, sakit kepala, kebimbangan, mudah marah dan sebagainya.
2. Sosial
Apabila pendapatan isi rumah tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan, anda terpaksa mencari pekerjaan sambilan atau tambahan. Ini mengakibatkan anda perlu melakukan dua pekerjaan selepas selesai kerja hakiki.
Akibat kesibukan masa bekerja, masa berkualiti bersama anak-anak berkurangan, terutama bagi mereka yang telah berkeluarga, dan ini akhirnya memberi kesan kepada institusi kekeluargaan.
Jika keadaan ini berterusan, ia boleh menyebabkan masalah sosial seperti penceraian, pergaduhan, penderaan, dan gejala sosial dalam kalangan remaja di Malaysia.
3. Keselamatan
Faktor keselamatan juga terjejas akibat peningkatan kos sara hidup yang melampaui kemampuan pendapatan. Menurut laporan Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), jumlah aktiviti jenayah berat seperti kecurian, rompakan, dan penculikan menunjukkan peningkatan.
Faktor utama jenayah berat ini berleluasa adalah kesempitan wang untuk berbelanja dan keinginan mendapatkan kemewahan dengan segera, seiring dengan kenaikan harga barangan, perkhidmatan, dan keperluan asas yang begitu drastik.
4. Pengangguran
Dalam krisis ekonomi masa kini, pekerja dalam sektor swasta seperti syarikat atau kilang mudah diberhentikan. Graduan universiti atau kolej pula sukar mendapat pekerjaan kerana majikan ingin mengurangkan kos penggajian pekerja dan kos operasi.
Akibatnya, individu tersebut tidak mempunyai sumber pendapatan, dan situasi ini meningkatkan kadar pengangguran di Malaysia. Pada Jun 2014, kadar pengangguran di Malaysia adalah 2.8 peratus.
Pengangguran ini akan menyebabkan kemiskinan dalam kalangan rakyat. Pada masa yang sama, pendapatan negara melalui kutipan cukai individu dan syarikat turut terjejas.
Langkah-Langkah Mengurangkan Beban Kos Sara Hidup
1. Kawalan Harga
Kerajaan boleh memainkan peranan penting dalam mengawal harga barangan keperluan asas untuk mengurangkan beban kos sara hidup.
Melalui kawalan harga, kerajaan dapat memastikan harga barangan seperti makanan, minyak, dan perkhidmatan kesihatan tidak meningkat secara mendadak dan berada dalam jangkauan kemampuan rakyat.
2. Subsidi dan Bantuan Kewangan
Memberikan subsidi dan bantuan kewangan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana boleh membantu mengurangkan beban kos sara hidup.
Subsidi untuk barangan keperluan asas, perkhidmatan kesihatan, dan pendidikan dapat meringankan beban kewangan keluarga.
Selain itu, bantuan kewangan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) juga dapat membantu meningkatkan kuasa beli golongan yang memerlukan.
3. Peningkatan Pendapatan
Kerajaan dan sektor swasta boleh bekerjasama untuk meningkatkan pendapatan rakyat melalui pelbagai inisiatif seperti peningkatan gaji minimum, latihan kemahiran, dan penciptaan peluang pekerjaan. Dengan pendapatan yang lebih tinggi, rakyat dapat menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
4. Pendidikan Kewangan
Meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat tentang pengurusan kewangan adalah penting untuk membantu mereka menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Melalui pendidikan kewangan, rakyat dapat belajar cara menguruskan perbelanjaan, membuat bajet, dan menabung untuk masa depan.
Pendidikan kewangan juga boleh membantu rakyat membuat keputusan kewangan yang lebih bijak dan mengelakkan daripada terjebak dalam hutang yang tidak perlu.
5. Pembangunan Infrastruktur
Meningkatkan akses kepada infrastruktur asas seperti pengangkutan awam, perumahan mampu milik, dan perkhidmatan kesihatan boleh membantu mengurangkan kos sara hidup.
Dengan adanya pengangkutan awam yang efisien, rakyat dapat menjimatkan kos perjalanan. Perumahan mampu milik dapat memberikan alternatif kepada harga rumah yang tinggi, manakala perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan mampu milik dapat mengurangkan beban kos perubatan.
6. Promosi Gaya Hidup Sederhana
Mempromosikan gaya hidup sederhana dan berhemah dalam perbelanjaan boleh membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup. Menggalakkan penggunaan barangan tempatan, mengurangkan pembaziran, dan memupuk budaya menabung adalah antara langkah yang boleh diambil untuk meringankan beban kewangan.
Walaupun peningkatan kos sara hidup adalah realiti yang perlu dihadapi oleh rakyat Malaysia pada masa sekarang, sebenarnya anda boleh mengurangkan kesan kenaikan ini.
Namun begitu, anda perlulah melawan kemahuan yang tidak berkepentingan. Ini tidak bermakna anda tak boleh memenuhi semua kemahuan anda, namun berpada-pada.
Semoga perkongsian kali ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Akaun 3 KWSP, Cara Pengeluaran Atau Pemindahan Akaun Fleksibel
Baca juga: Ibu Ayah Pasti Dah Sediakan Semua Keperluan Anak? Jom Semak Checklist Ini, No.5 WAJIB Ada
Baca juga: Tips Menabung Untuk Suami Isteri, Ibu Ini Kongsi Rahsia Untuk Jimat Cermat Dengan Mudah