Resepi Kuih Tepung Pelita Sedap Sukatan Cawan, Penuh Rasa Berlemak & Harum Pandan
Resepi kuih tepung pelita ini sangat mudah untuk dicuba. Ibu-ibu jangan risau ia menggunakan sedikit bahan dan rasanya sungguh sedap
Setiap kali menjelang bulan Ramadhan, antara salah satu kuih yang paling laku dan menjadi kegemaran ramai adalah tepung pelita. Rasanya penuh lemak dengan aroma daun pandan membuatkan sesiapa sahaja menyukainya. Namun tahukah anda resepi kuih tepung pelita ini?
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Resepi kuih tepung pelita yang mudah, sesuai dijadikan juadah berbuka atau moreh
- Fakta mengenai kuih tepung pelita
- Kuih tepung pelita tahan berapa lama?
Biasanya, ia dijual dalam bentuk kotak kecil yang diperbuat dari daun pisang. Atau nak lebih senang ada juga yang letak dalam bekas plastik kecil.
Resepi kuih tepung pelita yang mudah, sesuai dijadikan juadah berbuka atau moreh
Sekarang tidak perlu bulan puasa dah jika anda ingin menikmati keenakan kuih tepung pelita ini kerana boleh dibuat di rumah sahaja menggunakan sedikit bahan mudah.
Tapi sebelum itu, tengok di dapur anda ada tak tiga bahan ini iaitu tepung beras, daun pandan dan santan? Kalau ada memang cun sangat nak buat resepi tepung pelita ini!
Bahan-bahan untuk buat lapisan hijau
- 1/2 cawan tepung beras
- Secubit kapur makan
- 2 cawan air daun pandan
Cara-cara membuat resepi tepung pelita:
- Kisar 4 ke 5 helai daun pandan untuk dijadikan air. Campur ke semua bahan untuk lapisan hijau. Selepas itu, panaskan pengukus hingga air mendidih.
- Susun bekas daun pisang dalam pengukus. Isikan satu sudu kecil gula dalam setiap bekas. Kemudian tuangkan campuran tadi sebanyak 1/3 penuh.
- Kukus selama 15 minit. Setelah masak, tuangkan adunan lapisan atas.
Bahan-bahan lapisan atas santan:
- 1/2 cawan tepung beras
- 2 1/2 cawan santan
- Secubit garam
Cara cara membuat:
- Satukan semua bahan dan masak atas dapur sambil dikacau hingga mengeluarkan wap. Tuang ke atas lapisan hijau tadi dan kukus dalam 10 minit.
- Biarkan ia sejuk. Untuk lebih sedap, masukkan ke dalam peti sejuk dan sedia untuk dinikmati!
Fakta mengenai kuih tepung pelita
Selain menjadi hidangan di majlis-majlis, kuih tepung pelita ini juga amat sesuai untuk dijadikan sebagai minum petang kerana rasanya yang agak manis dan lembut.
Tidak hanya populor di Malaysia, ia turut menjadi hidangan kesukaan bagi masyarakat di negara jiran iaitu Indonesia dan Singapura.
Kuih tepung pelita merupakan sejenis makanan tradisional yang lembut. Ia berbeza dengan kuih tako yang diletakkan dalam daun pandan, tepung pelita ini biasanya dimasak dalam acuan bekas daun pisang.
Tepung pelita merupakan sejenis kuih yang manis, tetapi ia tidak tahan lama kerana asasnya diperbuat daripada santan dan tepung beras.
Asal kuih ini sememangnya dari negara Malaysia. Ia dihasilkan setiap hari, dijual di pasar malam, pasar tani atau ada peniaga yang menjualnya dari rumah sahaja.
Sifat kuih ini adalah mudah rosak dan perlu sentiasa disimpan dalam peti sejuk sehingga 2 atau 3 hari sahaja. Jika melebihi tempoh ini, anda akan mendapati ia mula berair atau berubah rasa menjadi masam.
Bagi mengekalkan rasa keaslian dan tradisionalnya, anda disaran untuk menggunakan daun pisang berbanding bekas plastik. Meskipun ramai ibu-ibu memilih santan kotak untuk menyediakan masakan pada zaman kini, namun kami lebih mencadangkan anda guna santan segar bagi mendapatkan rasa yang lebih sedap.
Pada asasnya, tepung pelita ini mempunyai dua bahagian iaitu atas yang dikenali sebagai kepala, teksturnya lembut dan diperbuat daripada santan. Manakala bahagian bawahnya pula dibuat daripada tepung beras, biasanya berwarna hijau dan memiliki tekstur sedikit keras dari bahagian kepala, namun masih lembut.
Kuih manis ini amat digemari orang-orang di negeri pantai timur.
Jika anda ke sana, amat mudah untuk menikmati tepung pelita ini kerana mereka menghasilkannya setiap hari untuk jualan di kedai kopi ataupun pasar harian. Justeru, cubalah buat di rumah menggunakan resepi mudah ini!
Tips ketika menyediakan tepung pelita
- Jika anda tidak mempunyai daun pisang sebagai acuan, boleh saja gantikan dengan menggunakan acuan plastik.
- Acuan hendaklah dibentuk dengan menggunakan kotak mancis atau kotak kecil santan ataupun lain-lain kotak yang bersaiz kecil bagi mengelakkan adunan terkeluar.
- Jika tidak mempunyai banyak daun pisang, boleh saja bentukkan acuan dengan hanya sehelai daun pisang dan lapik bahagian bawah dengan sekeping kecil daun pisang.
- Selain itu, jika gunakan acuan plastik, lapikkan juga dengan sehelai daun pisang untuk mendapatkan aroma yang lebih wangi.
- Pastikan jumlah air campuran pandan yang dikisar dan tapis adalah sebanyak 5 cawan bagi mengelakkannya terlalu cair.
- Jika tidak mahu kisarkan gula pasir, boleh saja masukkan terus gula pasir kedalam acuan. Namun, pilihlah yang jenis gula pasir halus supaya ia mudah cair apabila terkena adunan panas.
- Campurkan dengan air jika menggunakan santan kotak.