Selalunya, ibu bapa sangat risau jika kulit bayi gatal dan terjadinya gelembung air pada kulit bayi. Tapi, makin lama, kegatalan pada kulit bayi makin tidak dipandang serius apabila mereka sudah semakin besar.
Ini kerana kebanyakan rasa gatal-gatal itu akan hilang sendirinya selepas beberapa ketika. Namun, ada beberapa jenis kegatalan pada anak anda yang tidak patut dibiarkan.
Antaranya seperti 10 jenis kegatalan ini:
Gelembung air pada kulit bayi: Berikut 10 jenis kegatalan apabila kulit bayi gatal:
#1. Jerawat bayi
Anda mungkin terkejut mendengarnya, tapi ya, bayi juga boleh ada jerawat. Ia akan muncul di dagu, pipi, dahi malah pada belakang mereka.
Memang ia akan hilang selepas beberapa ketika, dan tiada sebab yang tepat mengapa ia naik pada bayi.
Tapi sekiranya bayi anda mempunyai jerawat ini, jangan gosok dengan kasar di kawasan tersebut. Serta, gunakan losyen bayi yang berasaskan air, elakkan yang berminyak ia boleh menyebabkan kulit semakin teruk.
Dapatkan nasihat doktor untuk sabun yang sesuai bagi mencuci kulit bayi gatal itu.
#2. Demam cacar air (chicken pox)
Cacar air atau gelembung pada kulit bayi ini akan mula muncul di muka, kulit kepala,dan bahagian belakang badan. Kemudian ia akan merebak ke seluruh badan.
Chicken pox atau cacar air akan muncul seperti kesan melepuh yang mempunyai air jernih di dalamnya.
Bintik-bintik merah ini akan menjadi gatal. Antara cara yang boleh dicuba untuk hilangkan ialah menggunakan serbuk bikarbonat soda di dalam air mandian anak.
Namun selepas 2 minggu, ia akan kering dan bertukar seperti kudis.
Walaupun anak anda sudah mendapat suntikan demam cacar air, mereka masih berisiko untuk mendapat jangkitan. Ia sangat mudah berjangkit, jadi jauhkan anak yang lain darinya.
#3. Herpes (cold sores)
Kulit bayi gatal yang ada bintik merah kecil dipenuhi nanah dan akan menjadi besar dan pecah adalah tanda-tanda herpes.
Ia di sebabkan oleh virus dan sangat mudah dijangkiti. Pastikan anda tidak mencium mereka atau membenarkan mereka mendekati adik beradik lain!
Anda juga harus pastikan mereka sendiri tidak menyentuh tempat mempunyai bintik ini kerana mereka boleh menyebarkan ke tempat lain. Bukan saja itu, jika terjangkit pada mata, ia boleh menyebabkan occular herpes, jangkitan mata yang sangat serius.
Cara terbaik untuk merawat jangkitan ini ialah meletakkan ais di kawasan terjangkit. Juga bagi anak anda ubat penahan sakit dan ubat yang diberikan doktor jika mereka sudah cukup besar untuk makan ubat.
#4. Ekzema
Biasa dengar bukan? Namun, ekzema bukanlah satu perkara yang boleh dipandang ringan. Ini kerana ialah boleh melarat teruk hingga menyebabkan keadaan kulit luka yang lebih buruk.
Setiap orang boleh mempunyai simptom ekzema yang berbeza. Jadi lebih baik dapatkan nasihat doktor tentang keadaan kulit mereka. Orang yang mempunyai ekzema juga harus berhati-hati dengan pemilihan makanan mereka.
#5. Fifth disease
Fifth disease juga dikenali sebagai erythema infectiosum, ia biasa terjadi kepada kanak-kanak yang lebih besar.
Biasanya ia ada di pipi, badan dan kaki. Bahagian yang terkena ini akan menjadi merah dan seakan menggerutu.
Kadang-kala kanak-kanak yang mempunyai masalah ini akan mengalami demam, hidung berair dan batuk.
Jika anak anda dijangkiti penyakit ini, pastikan penjagaan kebersihan ditingkatkan. Ini kerana ia amat mudah berjangkit kepada orang lain.
#6. Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)
Bintik merah akan mula muncul di tapak tangan dan kaki yang kemudiannya menjadi biji mengandungi air.
Kemudian akan merebak ke bahagian badan yang lain. Penyakit yang bermula dari virus coxsackie ini sangat mudah berjangkit pada orang lain.
Orang dewasa tidak terkecuali dari terjangkit dengan HFMD ini. Jadi, kebersihan adalah sangat penting.
Bagi kes yang teruk, ia boleh menjadi meningitis, jadi hati-hati dengan tanda demam, air liur meleleh sepanjang masa.
#7. Impetigo
Anak anda akan mengalami demam, kelenjar limfa yang bengkak dan seperti mempunyai selsema. Biji merah akan menjadi berair dan menjadi berkerak coklat. Ia biasa terjadi kerana sangat mudah berjangkit.
Jika tidak dirawat segera, ia akan menjadi semakin lama untuk dirawat.
#8. Hives (Gegata)
Ia tidak boleh berjangkit, namun perlu untuk anda membawa anak anda berjumpa doktor. Kerana ia mungkin adalah tanda alergi terhadap sesuatu jika ia tidak segera hilang.
#9. Ringworm (Cacing cincin)
Jika anda perasan bulat merah saiz lebih kurang duit lima sen atau lebih kecil, ia mungkin adalah cacing cincin atau lebih dikenali sebagai ringworm. Ia akan semakin besar jika tidak dirawat.
Ia selalunya kering dan bersisik di keliling bulatan, tetapi mempunyai tengah yang lembut dan licin.
Jika pada kulit kepala, ia akan kelihatan seperti botak dan berkelimumur. Ia sangat mudah dijangkiti dan mudah merebak pada cuaca lembab.
#10. Kudis buta
Ia sangat gatal dan selalunya berada di celahan sama ada jari atau mana-mana pelipat. Tetapi bahagian lain tidak terkecuali dari terjangkit dengannya. Ia akan kelihatan seperti garisan merah pada kulit.
Ia selalunya lebih gatal di waktu malam terutamanya selepas mandian air panas. Orang dewasa tidak terkecuali dari terjangkit dari kudis buta ini. Ia terjadi dari kutu kudis yang bertelur pada kulit.
Cara terbaik untuk mengelak kudis buta ialah dengan menjaga kebersihan. Jika terjangkit, segera dapatkan rawatan kerana ia boleh melarat menjadi sangat teruk.
Sumber: theAsianparent Singapore, WedMD
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Penjagaan Kulit Bayi Khas Untuk Ibu Baharu