Sebagai seorang wanita, anda pastinya sudah terbiasa mendengar kata-kata orang tua untuk layan suami dengan sebaik mungkin. Bergelar seorang isteri dan ibu pastinya bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia adalah tidak mustahil kerana Allah sudah menciptakan fitrah wanita dengan penuh nilai kasih sayang.
Pun begitu pernahkah pasangan menyatakan bahawa betapa dia amat mencintai anda? Atau mungkin dia malu mengakui akan perasaannya di hadapan kawan-kawan lain? Sebenarnya agama Islam sudah menyuruh umatnya mengagungkan cinta terhadap isteri.
Isteri layan suami seperti seorang raja
Rasulullah tidak malu untuk menyatakan bahawa baginda amat mencintai Aisyah RA dengan pengakuan cukup membanggakan. Apabila ditanya oleh salah seorang sahabat:
”Siapakah orang yang paling engkau cintai? Baginda bersabda: Aisyah.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Cinta sejati akan wujud apabila ia menyatukan perasaan saling menghormati, berkasih sayang, setia dan ikhlas dalam melalui perjalanan yang penuh pancaroba.
Sebagai seorang isteri, anda jangan hanya menungggu untuk dicintai tanpa adanya usaha menambat hati suami. Namun beberapa cara perlu dikuasai agar anda dan pasangan saling mencintai satu sama lain, antaranya:
#1. Suburkan cinta dengan ibadah
Mencintai kekasih halal dan layan suami adalah ibadah yang paling panjang, tiada ibadah lain boleh dibandingkan dengannya selama bergelar suami isteri.
Bayangkan sekecil-kecil perkara sudah dijanjikan ganjaran pahala termasuklah memberikan senyuman manis ketika suami pulang kerja sehingga pengorbanan dalam membesarkan anak-anak.
Bukan itu sahaja, di saat anda teruji dengan kemarahan dan perlu menahan sabar, ia turut dikira sebagai satu ibadah. Semua ini jika dilakukan secara ikhlas akan melahirkan rasa belas kasihan yang berpanjangan, jauh lebih bermakna dari berahinya cinta semusim.
#2. Berusaha menjadi yang terbaik
Lumrah setiap manusia adalah tidak sempurna. Perbezaan pandangan, pendapat dan sikap mungkin meletakkan anda dan pasangan dalam pertelingkahan kecil. Namun, ia boleh dihalang sekiranya sama-sama berikhtiar untuk mengekalkan rasa cinta dan sayang.
Keharmonian dalam rumah terletak pada seorang isteri yang bahagia. Jika anda dilanda emosi tidak stabil, sentiasa sedih dan tidak tenang, ia berupaya menjejaskan hubungan keluarga serta kediaman hilang serinya.
Cinta yang wujud bergantung pada seberapa besar cinta anda kepada Allah dan benci yang merebak dalam rumah tangga amat berkait rapat dengan dosa yang dilakukan.
#3. Anggap pengorbanan sebagai jihad
Dalam mencurahkan kasih sayang dan rasa cinta terhadap suami, anggaplah ia perjuangan dan jihad paling berat yang akan ditimbang pahalanya di akhirat.
Hal ini adalah supaya jika anda letih dengan tugas seharian, namun masih bersemagat dan mampu bangun seawal mungkin bagi menyediakan sarapan serta keperluan keluarga.
Meskipun jika dilanda emosi tidak stabil kerana keletihan melampau, anda mungkin akan berasa sangat berat untuk menunaikan keinginan suami. Dalam hal ini, jika isteri niatkannya untuk mendapat pahala sabar, maka Allah akan limpahkan kepadanya pahala tersebut.
#4. Menyemai rasa kagum dan saling menghormati
Dengarkanlah suara-suara orang sekeliling yang mengagumi suami anda, menghormatinya di tempat kerja dan memuji sebagai insan mulia. Berhenti menumpukan sepenuh perhatian pada kelemahan serta dosa yang anda lihat di dalam rumah.
Tiada manusia dilahirkan sempurna kerana anda bukan malaikat dan apalah bezanya diri anda yang juga ada kekurangan? Justeru, sentiasa mengucapkan kata syukur akan ketentuan jodoh Allah berikan.
Sekiranya timbul rasa marah, cuba sejukkan hati dengan melihat wajah suami serta berdoa agar dirinya segera berubah. Suami adalah tanda kebesaran Allah yang mesti anda syukuri.
#5. Lakukan sepenuhnya kerana Allah
Cinta hendaklah dikawal dengan keikhlasan, jika isteri mencintai suami kerana Allah dan membencinya kerana Allah, maka ini adalah cinta yang diredhai olehNya.
Sentiasa berserah segalanya kepada Allah ketika anda terpaksa melalui pelbagai ujian rumah tangga, kesempitan hidup atau masalah peribadi. Sebelum meluahkan kesulitan yang dirasai kepada manusia, carilah sang pencipta terlebih dahulu bagi mendapatkan ketenangan.
Bermohonlah untuk diberikan kesenangan mengharungi setiap perkara dalam seharian dan meminta pertolonganNya di saat anda jatuh atau tiada semangat untuk meneruskan rumah tangga.
Sumber: Mingguan Wanita
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comcerai-talak-3