Sepanjang tempoh kehamilan, anda pastinya memerlukan bekalan tenaga mencukupi serta makanan mengenyangkan. Namun, bagaimana pula sekiranya berhadapan masalah alahan teruk sehingga hilang selera untuk makan?
Hal yang anda perlu sedar adalah bayi dalam kandungan perlu sentiasa dibekalkan dengan makanan berkhasiat untuk perkembangan fizikal dan otak.
Makanan mengenyangkan ketika hamil
Sekiranya anda inginkan anak yang dilahirkan sihat dan normal, cari jalan penyelesaian ketika berhadapan masalah mual, tekak berasa loya dan tidak boleh bau makanan.
Tidak dinafikan bagi anda yang baru pertama kali bergelar ibu, ia pasti sukar untuk mengetahui jenis makanan yang boleh dimakan atau sebagainya.
Untuk mengelakkan anda makan untuk ”dua orang” dan berlebihan ketika hamil, berikut antara pilihan makanan mengenyangkan dan memberikan sumber tenaga secara optimum.
#1. Sandwich tuna
Aturan pemakanan membolehkan wanita hamil mengambil ikan untuk 2-3 kali seminggu. Dalam hal ini, ikan tuna amat kaya dengan protein, rendah merkuri, membekalkan lemak omega-3 dan DHA baik sehingga dapat membantu perkembangan otak bayi.
#2. Smoothies
Mulakan hari anda dengan pengambilan yogurt atau susu dalam diet seharian. Anda boleh menambahkan sedikit buah kesukaan seperti pisang, strawberi atau mangga manis.
Penggunaan yogurt beku dapat memberikan tekstur yang lebih tebal pada smoothies. Sekiranya sesuai, ibu boleh memasukkan bayam segar atau daun saderi kerana ia mengandungi pelbagai khasiat.
Jika anda menyukai rasa manis, ambil sedikit coklat, kisar bersama beberapa ketulan ais dan yogurt bagi meningkatkan mood yang lebih positif.
#3. Roti pita dengan isi sayuran
Makanan ringan ini adalah pembangkit tenaga kaya serat yang akan membantu ibu kekal aktif dalam mengharungi aktiviti seharian.
Ia boleh ditemui di mana-mana bahagian pasaraya. Memandangkan pelbagai jenama dan jenis roti pita dijual, anda digalakkan memilih roti pita penuh gandum kerana ia tinggi dengan serat.
#4. Keju dan sepiring kacang
Kacang memiliki serat dan keju membekalkan sumber kalsium. Oleh itu, sekiranya anda berasa lapar meskipun baru sahaja menikmati makanan berat, sediakan sahaja kacang bersama keju.
Pilihan keju yang dicadangkan ialah jenis keras seperti cheddar, Edam, gouda, Parmesan atau keju Swiss. Kombinasi snek kacang dan keju amat kaya dengan protein dan bagus untuk perkembangan janin.
Namun, anda perlu mengelakkan dari menggunakan keju lembut kerana ia mungkin akan menjejaskan keadaan janin dan menyebabkan kuman bakteria.
#5. Kentang panggang
Kentang adalah menu yang sangat mudah untuk anda jadikan hidangan makanan enak seperti kentang rebus atau panggang.
Untuk rasa yang lebih berlemak, anda boleh mencampurkan sedikit yogurt. Ubi kentang memiliki kandungan potasium, vitamin C, asid folik dan at besi. Semua nutrisi ini sangat penting ketika tempoh kehamilan dan menyokong pertumbuhan janin.
#6. Pisang dan mentega kacang
Mungkin bagi anda yang tidak biasa, buah pisang yang dimakan bersama mentega kacang bukanlah satu kombinasi enak.
Namun, sekiranya perasaan mengidam tidak dapat dipenuhi, jadikan ia sebagai snek sihat dan mengenyangkan. Hal ini kerana ia amat kaya kandungan protein dan potasium yang baik untuk ibu serta bayi.
#7. Ikan salmon
Ikan salmon adalah salah satu ikan yang kaya dengan minyak. Ia merupakan sumber asid lemak omega-3 dan protein tinggi.
Sekiranya anda sertakan ikan salmon dalam diet sepanjang mengandung selama sembilan bulan, otak anak akan berkembang dengan sangat baik.
Ikan salmon kaya dengan asid lemak omega 3 seperti DHA dan EPA yang dikatakan dapat meningkatkan IQ bayi, dan meningkatkan kemahiran motor.
Selain itu, omega 3 juga dikatakan bagus untuk pembentukan mata bayi. Anda tidak perlu risau tentang bahaya makanan laut kerana ikan salmon mempunyai kandungan merkuri yang rendah.
Ibu hamil yang kerap mengambil ikan salmon turut memiliki risiko strok dan masalah jantung yang lebih rendah.
Sumber: Ayah Bunda, Butterkicap
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.commakanan-yang-boleh-menyebabkan-keguguran