Tab mandi bayi anak anda mungkin sudah tidak muat bagi mereka yang membesar dengan sangat cepat. Jadi, anak anda mungkin sudah tidak muat di dalam tab kecil itu. Tetapi, adakah ini bermakna si manja sudah boleh berendam di dalam tab biasa?
Apabila menjadi sepasang ibu bapa, percayalah bahawa penjagaan bayi amat memenatkan dan renyah. Dari menyusu, menidurkan, mendidik dan termasuklah memandikan!
Walaupun bukan semua bayi memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk penjagaan mereka, pasti ada satu perkara yang membuatkan sang ibu atau bapa mengeluh. Dalam hal ini, tentulah tentang memandikan bayi di tab mandi bayi.
Kami tidak nafikan bahawa memandikan bayi tidaklah begitu susah. Ya lah, si manja hanya baring atau duduk di tab mandi bayi mereka, apa yang susah kan? Tetapi, kami pasti anda sudah sakit belakang kerana harus membongkok apabila memandikan si manja. Betul tak?
Baca juga: Begini Cara Mandi Bayi Baru Lahir Yang Betul & Selamat, Ibu Ayah Baru Sila Take Note!
Jangan risau, anda sudah menjumpai artikel yang boleh menyelamatkan belakang anda sambil memberi keseronokan pada si manja untuk berendam dalam air.
Mari kami kongsikan dengan anda bila dan bagaimana anda boleh mula berhenti memandikan si manja di tab mandi bayi kepada tab biasa!
Bila boleh mandikan si manja dari tab mandi bayi kepada tab biasa?
Sumber gambar: Babylist
Sebenarnya, si manja boleh saja mandi di dalam tab mandi mereka walaupun umur mereka sudah menginjak 12 bulan dan keatas. Tetapi, janganlah sampai 2 tahun pula.
Lingkungan umur yang sesuai untuk bayi mula mandi dalam tab biasa bermula dari usia 3 bulan hingga 6 bulan. Pada waktu bayi sudah mencecah lingkungan umur ini, mereka mungkin sudah mula berupaya untuk duduk sendiri dengan pertolongan minima dari ibu atau ayah.
Oleh sebab si manja sudah mula duduk sendiri, ibu dan ayah tidak perlu terlalu risau bayi akan jatuh ke belakang. Walau bagaimanapun, anda masih tetap perlu memberi sepenuh perhatian ketika bayi sedang mandi. Jangan tinggal bayi mandi bersendirian!
Selain dari menunggu bayi mencecah usia yang membolehkan mereka duduk sendiri, ibu dan ayah juga boleh mula biasakan bayi dengan mandi dalam tab besar selepas tali pusat mereka telah jatuh. Tetapi, jika anda masih khuatir untuk memandikan bayi dalam tab besar pada usia ini, mandian menggunakan span pun boleh. Yang penting, bayi anda tetap bersih dan selesa.
Nah, anda pasti tahu kan bahawa bayi anda juga perlukan masa untuk membiasakan diri dengan perkara baharu? Menukar mereka dari tab mandi bayi kepada tab biasa secara mengejut mungkin akan menyebabkan mereka stres oleh sebab ketidakbiasaan. Oleh itu, ini adalah beberapa cara yang anda boleh gunakan untuk membiasakan cahaya mata anda dengan tab biasa dari tab mandi bayi.
Gunakan cara ini untuk biasakan anak
#1. Menukar lokasi dengan perlahan-lahan
Maksud kami dengan menukar lokasi secara perlahan, bukanlah anda membawa bayi dari tab mandi bayi ke tab biasa dalam kelajuan slow motion. Tetapi, alihkan tab kecil tersebut ke dalam bilik air yang mempunyai tab besar tersebut, supaya bayi dapat merakam persekitaran bilik air yang baharu bagi mereka. Ini mungkin akan membuatkan si manja fikir, “Oh, ini tempat mandi baru.”
#2. Galakkan keseronokan mandi di tempat baru
Sumber: Munchkin
Setelah si manja nampak lebih tenang dan biasa dengan suasana yang baru, anda boleh mengangkat dan meletakkan bayi ke dalam tab yang besar. Perbezaan saiz di antara tab mandi bayi dan tab biasa adalah sangat ketara, dan tentulah si kecil juga akan perasan. Disebabkan tab besar memberi si manja banyak ruang, ibu atau ayah boleh mengalakkan cahaya mata anda untuk berseronok ketika berada di dalam air. Mungkin anda boleh mengisi beberapa mainan ke dalam tab besar seperti itik getah atau bot-bot kecil supaya si manja masih boleh terhibur ketika mandi.
#3. Menggunakan sabun yang tidak pedih
Membenarkan bayi mandi di dalam tab besar yang penuh dengan air bermakna ada kemungkinan air tersebut akan bercampur dengan sabun atau syampu bayi. Oleh itu, ibu dan ayah perlulah mengambil langkah penting untuk memastikan sabun atau/dan syampu yang digunakan untuk memandikan bayi tidak pedih. Ini kerana, jika air tersebut terpercik ke dalam mata bayi ketika dia sedang bermain, ia tidak akan terlalu menyakitkan bayi dan anda juga tidak perlu risau tentang risiko-risiko yang merbahaya.
#4. Sediakan barangan dandanan siap-siap
Pastikan barangan untuk menyiapkan bayi sudah tersedia ketika mandi bayi supaya anda tidak terkejar-kejar untuk mencapai semua barangan ketika bayi berada di dalam tab. Ini bermakna, anda tidak perlu tinggalkan bayi di dalam tab untuk menyediakan segala barangan yang diperlukan sekaligus masih boleh memberi perhatian dan keselamatan kepada si manja.
#5. Kosongkan tab selepas bayi sudah keluar dari bilik air
Akhir sekali, jangan melepaskan penghalang pengalir ketika bayi sedang mandi. Ini kerana tab yang kosong akan menjadi sejuk bagi cahaya mata anda kerana ketiadaan air suam yang bayi gunakan untuk mandi. Tambahan pula, bunyi kuat air yang mengalir ke dalam paip mungkin akan menakutkan si manja dan ini boleh menyebabkan bayi tidak lagi mahu mandi didalamnya.
Baca juga: Bilakah Anak Harus Mula Mandi Sendiri?
#6. Utamakan keselamatan
Walaupun anak anda sudah bersedia untuk mandi di dalam tab besar selepas tab mandi mereka, mereka masih belum bersedia untuk mandi tanpa penjagaan. Jadi, jika anda hendak memandikan bayi di dalam tab biasa, pastikan anda bersedia untuk menemaninya bermain sepanjang waktu mandi.
Betul, air yang diisi di dalam tab mandi pasti tidak melebihi 4 atau 5 inci, tetapi si kecil masih boleh berdepan dengan risiko untuk lemas walaupun dalam air yang hanya sedalam 2 inci. Semakin anak anda membesar dan badannya semakin kuat untuk duduk sendiri tanpa bantuan ibu dan ayah, anda boleh mula menambah air sedikit demi sedikit.
Oh ya! Jangan lupa untuk periksa suhu air sebelum memandikan si manja. Pastikan suhu air suam-suam kuku supaya kulit cahaya mata anda terus terjaga rapi ketika mandi.
Sehingga nanti, selamat mencuba dan utamakan keselamatan sebelum perkara lain!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: AboutKidsHealth, Verywell Family
Baca Juga: 4 Manfaat Bayi Mandi Sebelum Tidur Malam