Manfaat Vitamin D bukan sekadar boleh didapati daripada cahaya matahari semata-mata. Sesuai dengan gelarannya, “sunshine vitamin”, badan kita boleh hasilkan sendiri bila kulit terkena sinar matahari. Namun, fungsinya jauh lebih besar daripada sekadar gelaran itu. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang manfaat Vitamin D, baca artikel ini sampai habis!
Pelbagai Manfaat Vitamin D, Tapi Masih Ramai Yang Kekurangan Vitamin Ini
Walaupun Malaysia negara panas, realitinya ramai masih kekurangan Vitamin D. Kenapa? Sebab gaya hidup moden banyak habiskan masa indoor. Pemakaian sunscreen (walaupun penting untuk lindung kulit) juga boleh kurangkan penghasilan Vitamin D. Tambah pula dengan diet harian yang kurang makanan kaya Vitamin D seperti ikan berlemak atau susu fortified. Hasilnya, ramai tak sedar badan sebenarnya kekurangan vitamin penting ni.
Manfaat utama Vitamin D mestilah untuk kesihatan tulang. Vitamin ni membantu badan menyerap kalsium dan fosforus dengan lebih baik. Hasilnya, tulang jadi kuat, ketumpatan mineral tulang terjaga dan risiko masalah macam osteoporosis (tulang rapuh) atau riket pada kanak-kanak dapat dikurangkan.
Ada juga kajian yang tengah explore peranan Vitamin D dalam kesihatan lain juga. Antaranya:
- Kanser: ada bukti ia boleh perlahan pertumbuhan sel kanser, tapi keputusan kajian masih bercampur.
- Penyakit jantung: individu dengan tahap Vitamin D rendah cenderung ada risiko masalah jantung, tapi suplemen Vitamin D belum terbukti membantu cegah masalah ini.
- Kesihatan mental: kekurangan Vitamin D mungkin menyebabkan kemurungan, tapi makan suplemen tak semestinya terus jadi penawar.
- Multiple sclerosis (MS): kajian awal nampak ada potensi, tapi bukti masih tak cukup kuat.
- Diabetes jenis 2: ada kaitan antara Vitamin D dan paras gula dalam darah, tapi belum terbukti suplemen boleh kawal atau cegah penyakit ni.
- Berat badan: orang yang ada berat lebih tinggi biasanya tahap Vitamin D mereka rendah, tapi suplemen tak terbukti boleh bantu turunkan berat.
Tanda & Risiko Kekurangan Vitamin D
Kekurangan Vitamin D yang teruk pada kanak-kanak boleh menyebabkan riket. Antara simptom riket termasuklah:
- Corak pertumbuhan yang tidak normal akibat tulang membengkok.
- Lemah otot.
- Sakit tulang.
- Kecacatan pada sendi.
Keadaan ini sangat jarang berlaku. Kanak-kanak dengan kekurangan Vitamin D yang ringan mungkin hanya mengalami otot yang lemah, sakit atau terasa perit.
Bagi orang dewasa, simptom kekurangan Vitamin D tidak begitu jelas. Tanda dan simptom yang mungkin ada termasuk:
- Cepat letih.
- Sakit tulang.
- Lemah otot, sakit otot atau kekejangan otot.
- Perubahan mood, seperti kemurungan.
Tapi, ada juga kemungkinan seseorang tidak menunjukkan sebarang tanda atau simptom kekurangan Vitamin D.
Sumber Vitamin D Semula Jadi
Cara paling mudah nak cukupkan Vitamin D? Jemur diri bawah matahari. Cukup 10–15 minit, 3 kali seminggu, dah boleh bantu tubuh hasilkan Vitamin D. Tapi pilih masa yang sesuai—pagi atau lewat petang untuk elak sinar terik. Dari segi makanan, ikan salmon, sardin, kuning telur, dan susu yang diperkaya (fortified) adalah pilihan terbaik. Makanan tempatan macam ikan kembung pun ada Vitamin D, jadi tak semestinya mahal.
Perlu Ke Ambil Suplemen?
Tak semua orang wajib ambil suplemen, tapi ada golongan tertentu yang berisiko tinggi macam warga emas, wanita hamil, individu yang jarang terdedah matahari atau mereka yang ada masalah penyerapan nutrien perlu mengambil suplemen.
Di pasaran, terdapat dua jenis suplemen utama iaitu Vitamin D2 (dari sumber tumbuhan) dan Vitamin D3 (lebih efektif, biasanya dari sumber haiwan atau sintetik). Tapi, sebaiknya rujuk doktor atau ahli farmasi dulu untuk tahu dos yang sesuai. Ingat, lebih tak semestinya baik.
Tip Mudah Tambah Vitamin D Setiap Hari
Tak sempat berjemur? Duduk tepi tingkap waktu pagi pun dah cukup bantu badan dapat cahaya. Bila beli barang dapur, pilih makanan dengan label “fortified with Vitamin D”. Kalau perlu suplemen, jadikan ia rutin harian ikut dos yang betul. Simple je, sikit-sikit lama-lama jadi habit, dan badan akan rasa lebih bertenaga.
Kesimpulannya, Vitamin D sangat penting untuk kesihatan, terutamanya bagi kanak-kanak yang sedang membesar. Walaupun negara kita panas sepanjang tahun, ramai masih berisiko kurang Vitamin D. Cara paling mudah untuk pastikan cukup ialah dengan dapatkan cahaya matahari secukupnya, pilih makanan sumber Vitamin D, dan kalau perlu, ambil suplemen. Ingat, tulang yang kuat dan badan yang sihat bermula dengan Vitamin D.