Kebelakangan ini, isu rogol melibatkan kanak-kanak bawah usia semakin menjadi-jadi. Lebih menyedihkan kebanyakan kes menyebabkan mangsa rogol melahirkan bayi tanpa pengetahuan ibu bapa sendiri.
Tidak hanya sebab suka sama suka, ada juga mangsa menjadi ‘pemuas nafsu’ ahli keluarga sendiri sehingga berasa takut untuk meluahkan masalah yang dihadapi.
Mangsa rogol bersalin bayi perempuan pada jam 3 pagi
Bagi mana-mana ibu, pastinya terlalu sakit untuk menerima kenyataan apabila anak yang dijaga dari kecil hingga besar menjadi mangsa rogol kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Menurut laporan Sinar Harian, seorang wanita tidak menyangka anak gadisnya yang baru berusia 13 tahun telah melahirkan seorang bayi pada jam 3 pagi itu.
Difahamkan dia terjaga daripada tidur dan mendapati anaknya sedang membersihkan seorang bayi perempuan.
Terkejut dengan kejadian, wanita terbabit segera membawa anaknya dan bayi berkenaan ke Hospital Kota Belud bagi tujuan pemeriksaan serta rawatan lanjut.
Menurut Ketua Daerah Kota Belud, Superitendan Sahimi Husin berkata, hasil siasatan awal mendapati bahawa mangsa telah dirogol oleh seorang remaja lelaki, berusia 14 tahun yang juga sepupunya.
”Hasil siasatan awal turut mendapati mangsa dirogol oleh suspek sebanayk tiga kali sejak bulan Ogos tahun lalu. Suspek remaja lelaki terbabit sudah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu pada Isnin lalu untuk proses siasatan lanjut.” jelasnya.
Katanya lagi, kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya. Setakat ini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Tindakan ibu bapa sekiranya anak menjadi mangsa rogol atau jenayah seksual
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff, sebanyak 1,721 kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak telah direkodkan dari Januari hingga 30 Jun 2020.
Justeru, seorang doktor Pediatrik, Dr. Redza Zainol berkongsikan beberapa langkah yang perlu ibu ayah lakukan jika mendapati anak telah menjadi mangsa seksual iaitu:
- Pastikan diri sendiri dan anak dalam keadaan yang selamat. Pelaku akan sanggup buat apa sahaja bagi menutup kesalahannya sendiri
- Segera buat laporan polis. Ini antara dokumen yang paling penting
- Bawa salinan laporan polis ke hospital
- Pihak polis akan memberkas si pelaku dengan segera
- Anak akan diperiksa oleh doktor kanak-kanak dan doktor sakit puan. Dengan salinan laporan polis, barulah doktor sakit puan dapat melakukan pemeriksaan dengan teliti pada bahagian kemaluan anak
- Anak akan dirujuk kepada doktor psikiatri bagi menilai tanda-tanda kemurungan, stres atau trauma. Paling bahaya adalah timbul rasa ingin bunuh diri
- Sekiranya ibu ayah memiliki anak perempuan yang lain, sila bawa mereka ke hospital. Besar kemungkinan mereka juga pernah disentuh atau dicabul
Perkara yang perlu ibu ayah ajarkan pada anak sejak kecil
Jika dahulu, kita sering mengajarkan kepada anak-anak untuk menjauhkan diri atau jangan bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Namun kini, ia seolah-olah tidak lagi relevan.
Hal ini kerana sebanyak 73 peratus kes mangsa yang diliwat, dicabul atau dirogol adalah melibatkan orang terdekat yang dikenali seperti ahli keluarga sendiri dan rakan.
Justeru ibu ayah hendaklah mendidik anak-anak mengenai beberapa perkara ini:
#1. Sentiasa berpakaian sopan- Anak yang sedang membesar perlu didedahkan mengenai aurat dan sebab mengapa mereka perlu elakkan tubuh badan menjadi tontonan orang sekeliling.
#2. Memahami anggota alat sulit- Elakkan berselindung dengan nama gelaran seperti burung atau karipap. Beritahu anak mengenai istilah sebenar seperti penis, payudara, dubur dan vagina bagi mengelakkan mereka berasa keliru. Pastikan anak-anak tahu bahawa bahagian alat sulit ini tidak boleh disentuh oleh orang lain.
#3. Jaga batas pergaulan- Anak-anak pada zaman kini tidak sama seperti dahulu. Ibu ayah hendaklah mengawasi pergaulan mereka dengan sesiapa sahaja termasuklah saudara-mara atau tetamu yang datang ke rumah. Selain itu, pastikan anak tahu cara bergaul secara agar mereka tidak keseorangan terutamanya ketika di sekolah.
Sumber: Sinar Harian, Koolfm
Gambar sekadar hiasan. Kredit: Google Images
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Budak Darjah 6 Dirogol Lima Lelaki Ketika Keluar Mengambil Ibu Berniaga Pasar Malam