Baru-baru ini terlalu banyak berita penderaan anak yang muncul di portal media. Tidak boleh dinafikan keadaan huru-hara sekarang sedikit sebanyak menyumbang kepada tragedi ini. Namun kesilapan ini akan menjadi masa lampau yang beri trauma kepada anak-anak kelak.
Didikan kepada anak-anak dan cara membesarkan mereka tak boleh dipandang ringan. Mula-mula mungkin tak sengaja, diluar kawalan, keadaan tertekan tapi lama-lama boleh jadi biasa jika tak dibendung.
Saya melewati satu naskah yang dikongsi oleh portal konsultasi keibubapaan Parent Connect di Facebook, mengenai bagiamana kesilapan ibu bapa kita dulu memberi impak bila kita dewasa ini. Dan saya sangat bersetuju dengan perkongsian itu.
Didikan masa lampau beri trauma pada anak?
Seorang anak muda bertanya saya bagaimana caranya seorang anak hendak menghilangkan trauma terhadap cara dia dibesarkan dahulu?
Bagaimana untuk melangkah ke hadapan tanpa terbawa-bawa emosi yang negatif memikirkan tentang zaman kanak-kanak dahulu?
Nasihat saya yang pertama, sekiranya apa yang berlaku itu terlalu mengganggu dan membelenggu akal dan fikiran untuk sekian lama sehinggakan seseorang itu tidak dapat berfungsi dalam kehidupan seharian dengan baik, dapatkanlah nasihat dan rawatan daripada pakar.
Insya Allah mereka dapat membantu.
Sekarang ini kita juga sering melihat munculnya ‘parent blamers’ di media sosial.
Anak-anak ini tanpa berselindung, malah ada dengan bahasa yang kasar memaki hamun ibubapa sendiri di media sosial atas kesilapan yang mereka rasakan telah dilakukan oleh ibubapa mereka.
Contoh yang paling kerap kita lihat adalah remaja yang dirampas telefon bimbitnya oleh ibubapa kerana menggunakannya tanpa batasan.
Amat sedih apabila hantaran oleh remaja yang memberontak sebegini mengundang lebih ramai remaja dan orang muda di media sosial yang turut sama meluahkan ketidakpuasan hati terhadap pelbagai perkara yang dilakukan oleh ibubapa mereka dengan menggunakan bahasa yang sungguh tidak enak didengar.
Saya tidak dapat bayangkan bagaimanakah hubungan di antara remaja-remaja ini dengan ayah dan ibu mereka selama ini sehinggakan mereka tergamak bertindak sedemikian.
Saya bukannya hendak menyebelahi ibubapa.
Saya juga tidak mahu menyalahkan anak semata-mata.
Memang wujud ‘Horrible Parents’
Tidak dapat dinafikan memang wujud ‘horrible parents’ atau ibubapa yang sangat ‘teruk’ perangainya.
Kita sendiri biasa membaca kisah tentang anak dibuang, didera, dirogol, dilacurkan, disumpah-seranah, dimaki-hamun, ditunjal-tunjal, dibanding-bandingkan, diabaikan malah ada yang dibunuh oleh ayah atau ibu kandung sendiri.
Apabila ada yang berkata “Ibubapa mana yang tidak sayangkan anaknya”, terdapat sedikit keraguan dalam diri saya tentang kata-kata ini apabila memikirkan kisah-kisah pahit yang dilalui oleh segelintir daripada kita sehinggakan menjadi trauma.
Kita harus akui, ada ibubapa yang tidak tahu cara yang terbaik untuk menguruskan anak masing-masing. Mungkin mereka tidak tahu kaedah yang lain selain kaedah mereka dibesarkan dahulu.
Kaedah itu sudah semestinya tidak sesuai dengan anak-anak mereka sendiri yang lahir sebagai individu yang berbeza daripada mereka dan membesar dalam zaman yang berbeza.
Apabila kaedah mengasuh dan mendidik itu tidak sesuai, sudah semestinya akan menimbulkan konflik dan konfrantasi.
Apabila ini berlaku, ada anak-anak yang memberontak.
Namun ada juga anak-anak yang menelan sahaja tanpa melawan.
Mereka ini anak-anak yang baik yang sentiasa mendoakan ibubapa mereka walau bagaimana sekalipun layanan ibubapa terhadap diri mereka kerana yang diharapkan adalah ganjaran yang lebih besar di ‘sana’.
Ibu bapa juga manusia biasa, ada baik buruknya
Bagi anak-anak yang baik ini, dan memikirkan bagaimana caranya untuk melangkah ke hadapan tanpa menyalahkan ibubapa apatah lagi memaki hamun ibubapa sendiri, ingatlah ibubapa juga adalah manusia. Manusia akan melakukan kesalahan dan tidak terlepas dari dosa walaupun memiliki ‘title’ sebagai ibubapa yang sangat mulia kedudukannya.
Kesilapan yang dilakukan oleh ayah dan ibu kita ketika membesarkan kita dahulu boleh dijadikan panduan tentang ‘Kesilapan-kesilapan dalam mendidik anak’ ataupun ‘Kaedah yang lebih baik dalam mendidik anak’, yang boleh kita gunakan dalam mendidik anak-anak kita nanti.
Sekiranya dalam seribu kesilapan itu ada satu kebaikan, amalkanlah ia. Semua itu pengajaran berharga bagi kita untuk melangkah ke hadapan untuk membuka buku baru dalam proses keibubapaan kita sendiri dengan zuriyat kita sendiri nanti.
Bagi ibubapa yang tidak tahu kaedah lain selain kaedah mereka dibesarkan, ataupun kaedah yang ditiru tanpa kesesuaian dan tanpa memahami, maafkanlah mereka.
Maafkanlah mereka kerana itu sahaja cara yang mereka tahu.
Maafkanlah mereka kerana tidak cuba mempelajari.
Maafkanlah mereka kerana terikut-ikut orang lain.
Maafkanlah mereka kerana termakan hasutan orang sekeliling ketika mereka membesarkan kita.
Biarlah masa lalu yang di luar kawalan kita terbenam di masa lalu.
Kadang-kadang kita juga perlu sedar, ayah dan ibu yang sebegini adalah hasil didikan yang salah oleh ayah dan ibu mereka sendiri dahulu. Walaupun manusia ada pilihan untuk mengubah apa yang salah, tetapi ada manusia yang hidup dalam mod ‘auto pilot’ ataupun teruskan sahaja apa yang telah sedia ada tanpa mengubah apa-apa.
Dalam setiap generasi, kita akan tuai apa yang kita semai.
Sekiranya kita dibesarkan dengan kata-kata yang kasar, makian yang kesat, ketidaksabaran, amukan, pukulan, tumbukan mahukan sepakan, pastikan kesabaran, pujian, pelukan, ciuman, belaian, dan gurauan menjadi amalan kita dengan anak-anak kita satu hari nanti.
Jadikanlah kelembutan yang kita tunjukkan kepada anak-anak kita satu hari nanti sebagai penawar kepada luka yang kita simpan untuk sekian lama tentang cara kita dibesarkan dahulu. Besarkanlah dan didiklah anak-anak kita dengan kasih sayang dan belas kasihan yang tidak pernah kita perolehi daripada ayah atau ibu kita dahulu. Perbaikilah kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan oleh ayah dan ibu kita.
Tidak perlu diheret bebanan yang kita tanggung itu sampai bila-bila.
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
(Ar-Ra’d 13:11)
Do’akanlah ayah dan ibu kita, walau bagaimana sekalipun diri mereka dan layanan mereka.
Itu juga boleh menjadi penawar bagi mengubati luka masa lalu kita.
Let it go and move on.
Moga perkongsian ini bermanfaat, untuk ibu bapa didikan anda sekarang penentu kepada masa depan anak. Jika buruk didikan pada masa lampau anak, bimbang buruklah hasilnya nanti.
Untuk anak-anak yang sudah dewasa, sekiranya anda masih trauma pada didikan masa lampau ibu bapa anda, segeralah berjumpa dengan pakar. Dapatkan khidmat yang sepatutnya.
Jangan biar kenangan pahit lalu menghantui diri anda. Belajar untuk melupakan dan memaafkan.
Sumber: Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Petua Orang Dulu-Dulu Nak Anak Dengar Kata, Jangan Beri Kepala Nasi?