Pergilah ke seluruh dunia sekalipun, pasti setiap anak akan sentiasa merindui masakan ibu biarpun dihidangkan dengan makanan hotel yang mahal.
Tidak dinafikan, air tangan seorang ibu adalah yang paling sedap di dunia sehingga tidak mampu menandingi mana-mana tukang masak terhandal.
Sebab masakan ibu paling terbaik
Pastinya terkadang sebagai seorang anak mungkin akan berfikir kenapa hidangan yang simple membuatkan anda menambah nasi sehingga berpinggan-pinggan.
#1. Elemen kasih sayang dan hati ikhlas
Melalui kajian yang telah dijalankan oleh pakar motivasi dan psikologi, seseorang melakukan sesuatu perkara dengan hati yang ceria dan ikhlas, hasilnya lebih berkualiti.
Seorang ibu yang memasak bukanlah mengharapkan sebarang balasan ketika mereka melakukan tugasan rumah, tetapi ia lebih memberi manfaat kepada seluruh ahli keluarga.
Hidangan kasih sayang yang disediakan mampu mengenyangkan perut suami dan anak-anak berbanding dengan seorang tukang masak yang hanya menyediakan makanan bagi mendapatkan keuntungan wang semata-mata.
#2. Mengutamakan kebersihan
Sudah tentu masakan yang disediakan oleh ibu tercinta dijamin sepenuhnya bersih, berkhasiat dan suci.
Mana mungkin seseorang ibu memberikan anak-anak makanan yang kotor dan mengandungi bahan yang berbahaya kecuali dalam keadaan yang terdesak.
Naluri ibu yang penyayang pastinya akan berusaha memberikan sehabis yang mungkin buat ahli keluarga.
Justeru, tidak hairanlah kalau ibu amat cerewet memilih bahan masakan atau sayur-sayuran yang terbaik sebelum proses memasak.
#3. Dipenuhi dengan doa
Tidak cukup dengan itu, masakan ibu menjadi begitu istimewa kerana pada ketika hidangan disediakan, anda berpeluang untuk memanjatkan doa buat suami dan anak-anak.
Doa seorang ibu sangat mustajab. Anda boleh memohon kesejahteraan ahli keluarga, dikurniakan keluarga yang penuh harmoni dan dielakkan sebarang perkara yang tidak baik.
Anda juga boleh memohon segala apa yang dihajati ketika berada di dapur menyediakan masakan untuk dihidangkan untuk keluarga tercinta.
Oleh kerana air tangan dan doa ibu dikatakan begitu hebat, anda perlu mengambil peluang ini untuk memperbanyakkan zikir agar rumah tangga lebih bahagia.
11 amalan yang boleh dilakukan ketika memasak
#1. Sebelum memulakan proses memasak, ambil air wuduk dan lakukan solat dua rakaat terlebih dahulu.
#2. Amalkan doa ketika melangkah masuk ke dapur, iaitu surah Al-Kahfi ayat 10 yang bermaksud ” Ya Tuhan Kami, limpahkan kami rahmat yang besar dari sisi-Mu dan persiapkan petunjuk terhadap urusan kami.”
#3. Doa ketika mengeluarkan beras, iaitu surah An-Nahl ayat 96 yang bermaksud ”Apa yang di sisi mu akan lenyap dan apa yang di sisi Allah akan kekal.”
#4. Doa menyimpan beras iaitu surah Ali Imran ayat 27 yang bermaksud ”Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dengan tiada hitungan hisabnya.”
#5. Doa ketika memotong lauk, iaitu surah Al-Baqarah ayat 71. ”Musa berkata: ”Sesungguhnya Allah berfirman bahawa lembu betina itu adalah lembu betina yang belum pernah dipakai untuk membajak tanah dan tidak pula untuk mengairi tanaman, tidak cacat, tidak ada belangnya.
Mereka berkata: ”Sekarang barulah kamu menerangkan hakikat sapi betina yang sebenarnya.” Kemudian mereka menyembelihnya dan hampir saja mereka tidak melaksanakan perintah itu.”
#6. Doa memotong sayur, ayat Al-Kautsar 1-3 yang bermaksud ”Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus.
#7. Doa meletak kuali atas dapur ialah surah Al-Baqarah 137 yang bermaksud ”Maka Allah akan memelihara kamu daripada mereka. Dan Dialah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.”
#8. Setiap kali hendak menambah bahan ke dalam periuk atau kuali, pastikan anda mengucapkan Basmalah bagi memperoleh keberkatan dan pahala.
#9. Praktikkan sunnah Rasulullah ketika memasak. Sekiranya anda menggaul masakan, pastikan ia dilakukan mengikut lawan arah jam iaitu dari bahagian kanan ke kiri.
#10. Sewaktu memasak, basahkan lidah dengan iringan doa untuk melembutkan hati keluarga dengan surah Al-Imran ayat 200. Ia bermaksud ”Hai orang-orang yang beriman! Sabarlah dan lawanlah sabar, bersedialah dan berbaktilah kepada Allah supaya kamu mendapat kejayaan.”
#11. Bagi menyedapkan setiap sajian hidangan yang disediakan, anda disarankan untuk berselawat dan istighfar ketika proses memasak berjalan.
Sumber: Pesona Pengantin
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.comisteri-memasak-suami-puji