Salah satu kebimbangan yang sering dibincangkan dalam group ibu-ibu adalah: masalah ekzema pada bayi.
Ramai yang akan berkongsi kisah tentang bayi mereka yang mempunyai ruam kering dan berkerak, selalunya pada pipi dan juga lengan, kaki, dada dan beberapa bahagian badan lain.
Kadangkala, ia akan berair dan meradang, diterukkan lagi dengan anak kecil yang asyik menggaru.
Ruam boleh menjadi teruk sehinggakan bayi akan mudah meragam dan susah untuk tidur lena.
Ada yang tertanya-tanya sama ada ia adalah alahan disebabkan susu dan ada juga yang percaya ia disebabkan cuaca panas.
Selalunya, ia adalah akibat daripada masalah ekzema!
Tahukah anda yang lebih daripada 20% kanak-kanak akan cenderung terkena keadaan kulit yang sangat tidak selesa ini, juga dikenali sebagai dermatitis aktopik.
Selepas si kecil anda berusia setahun, ruam selalunya akan muncul di bahagian siku, belakang lutut, pergelangan tangan dan buku lali, dan ia juga boleh muncul di beberapa bahagian lain.
Walaupun bayi saya bebas daripada ruam (bersyukurnya saya!), saya sendiri mengalami masalah ekzema semasa kecil, dan ia agak serius.
Kedua-dua tangan saya diselaputi dengan ruam berkerak yang sangat menggatalkan. Ada yang kering dan ada juga yang berair!
Setiap hari, saya terpaksa berhadapan dengan kegatalan. Sehinggakan, saya benci untuk bersalaman dengan orang lain.
Apa yang lebih menyedihkan adalah doktor sendiri tidak tahu apa yang menyebabkan ekzema saya ini.
Ia mungkin ada berhubung kait dengan ekzema dan alahan, dan ia juga mungkin turut disumbangkan oleh faktor latar belakang keluarga saya yang mempunyai ekzema, asma, alahan dan kulit kering.
Ia turut disebabkan oleh kepanasan, pengambilan beberapa jenis makanan, dan juga stress. Sakit ekzema saya akan muncul beberapa kali sehinggalah saya dewasa.
Kajian terbaru untuk menyelesaikan masalah ekzema
Paling terbaru, ada kajian yang telah mencadangkan satu langkah penyelesaian untuk masalah ekzema.
Bahan yang dapat membantu mengurang dan menyembuhkan ekzema bayi anda boleh diperolehi dengan mudah di rumah anda atau dibeli di kedai runcit: jeli petroleum juga dikenali sebagai Vaseline.
Kajian oleh Dr. Steve Xu daripada Northwestern Feinberg School of Medicine menunjukkan yang dengan meletakkan jeli petroleum pada bayi semasa 6 bulan pertama, ia akan mengurangkan risiko bayi anda untuk mengalami ekzema semasa 6 bulan kedua dalam hidupnya!
Dalam penjelasan kepada Huffington Post, Dr. Xu berkata:
“Kita dapat menyelamatkan lebih ramai bayi yang baru lahir – dan juga keluarga – yang terpaksa merana akibat ekzema. Harganya juga tidaklah terlalu mahal!”
Sememangnya, kita semua tahu bahawa kos rawatan untuk penyakit kulit tidaklah murah harganya!
Kajian membawa kepada kos rawatan ekzema yang murah
Apabila bayi anda mengalami ekzema dan memerlukan rawatan krim kulit yang berterusan, kos mahal ini boleh membebankan.
Kini, Vaseline amat mudah untuk dibeli di kedai farmasi dan pasaraya. Harganya pula di bawah RM10 untuk setiap bekas 50g.
Ya, anda boleh memilih sebarang pelembap kulit lain yang anda sukai, atau minyak seperti minyak biji matahari, tetapi jeli petroleum adalah pilihan yang terbaik kerana ia lebih selamat.
Ia juga bebas daripada sebarang parfum atau wangian dan tidak mengandungi pengawet atau aditif yang berpotensi membuatkan ekzema dan alahan lain menjadi lebih teruk!
Jadi, cuba tip ini selepas anda mendapatkan nasihat doktor dan lihat perubahannya pada kulit bayi anda ya!
Sumber: Ditulis oleh penulis asal, Hanna Lee, di The Asian Parent Malaysia.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Anak Saya Alami Reaksi Alahan Yang Teruk – Saya Sangat Takut