Hari gembira kami di Universal Studios Singapore bertukar menjadi mimpi ngeri apabila anak perempuan saya mula membengkak mukanya dan mengalami kesukaran untuk bernafas.
Ia berlaku selepas si manja saya minum 10ml susu formula.
Bayi Rei (kini berusia 15 bulan) adalah seorang bayi perempuan yang ceria dan sentiasa tersenyum.
Terutamanya, pada hari kami telah membawanya ke taman tema yang penuh dengan pengunjung pada pagi Ahad itu.
Dia sangat gembira, sibuk bercakap seorang dan tersenyum bila melihat semua benda (termasuklah figurin minion dan maskot karakter yang berwarna-warni) dan semua orang (kartun Betty Boobs dan pengunjung lain).
Bayi Rei dan saya berjalan-jalan di taman tema itu sambil si sulung beratur dengan penuh teruja dengan ayahnya. Dia mahu menaiki semua permainan yang dia nampak!
Saya selalu menjadi mangsa kelaparan kerana kebetulan pula, saya sedang menyusu badan. Jadi, saya mudah berasa lapar.
Makanya, pada hari itu, saya pun memuaskan diri (dan perut) dengan hotdog, aiskrim dan popcorn.
Saya berikan sedikit makanan snek itu pada bayi Rei, yang sebenarnya tak sesuai pun untuk bayi berusia 8 bulan. Saya tahu hal itu, tapi saya masih lagi memberikan kepadanya.
Nasib baiklah si kecil Rei tak mahu makan, dia sudah cukup gembira mengunyah biskut bayi dan minum badan susu saya.
Adakah alahan itu disebabkan susu formula?
Sekitar waktu petang, saya mula perasan yang muka Rei mula sedikit bengkak. Kelopak matanya menjadi tebal sehinggakan anak matanya tidak lagi kelihatan.
Mukanya juga panas apabila dipegang. Dia pun mula meragam dan tidak mahu lagi makan makanan pejal yang saya berikan.
Selepas mandi malam, bengkaknya masih berterusan. Yang bagusnya, dia masih lagi mampu tergelak dan bermain air ketika mandi.
Suami dan saya merasakan yang dia mengalami alahan terhadap makanan yang saya makan kerana dia menyusu badan secara penuh pada hari itu.
Kami tidak mengendahkan keadaannya. Kemudian, kami membuat keputusan untuk memberikan Bayi Rei sedikit susu formula untuk pertama kalinya.
Dia mula menangis selepas menghabiskan lebih kurang 20ml susu formula itu.
Selepas itu, dia mula muak susu. Kami perasan yang dia sedang cuba untuk bernafas. Jejari dan kakinya juga mula membengkak macam kuih pau kacang merah – panas dan berwarna merah!
Saya tiada masa untuk menukar baju dan dengan t-shirt serta seluar pendek, kami segera bergegas ke hospital.
Bayi Rei muntah beberapa kali dalam perjalanan ke hospital dan semasa menunggu di ruang bilik kecemasan di hospital kanak-kanak tersebut.
Nasib baiklah kami hanya perlu menunggu 10 minit sahaja. Apabila tiba giliran kami, Bayi Rei tidak lagi mampu membuka matanya, sering berusaha untuk bernafas dan dalam keadaan mamai.
Jururawat segera membawanya ke bilik rawatan dan sekumpulan doktor yang bertugas berlari masuk untuk melihat keadaannya.
Selepas bertanyakan beberapa soalan kepada saya, reaksi pertama mereka adalah:
“Ia adalah reaksi serius pada alahan makanan, ia mungkin telah disebabkan oleh susu formulanya! Kita akan berbincang kemudian, tapi sekarang, kami perlu memastikan dia terus sedar dan membuka ruang pernafasannya!”
Musibah berjaya dielakkan
Doktor meminta saya supaya menunggu di luar bilik rawatan kerana mereka perlu memasang drip pada bayi Rei.
Saya patah hati apabila mendengar yang tangan kecilnya yang saya selalu cium dan pegang pada waktu malam itu akan dicucuk dengan jarum.
Saya menunggu di luar bilik bersama dengan suami, dan saya boleh mendengar Rei menjerit dan menangis.
Pada masa itu, saya berfikir, mungkin ruang pernafasannya telah terbuka. Prosedur itu mengambil masa 10 minit, dan saya diminta untuk masuk dan berada disisinya.
Saya melihat seorang bayi kecil yang mengantuk, membuka matanya perlahan-lahan.
Sebaik sahaja dia ternampak saya, dia memberikan senyuman comel dengan dua batang gigi itu sambil air mata mengalir dari sudut matanya.
Doktor telah menerangkan segalanya kepada suami dan mereka merumuskan bahawa susu adalah penyebab utama!
Bayi Rei perlu dirawat sepanjang malam. Ini supaya dia kekal sihat kerana kadangkala, reaksi alahan kali kedua boleh berlaku selepas enam jam kemudian.
Doktor menggalakkan saya untuk terus menyusu badan kepada Rei, kerana itulah yang terbaik buatnya ketika ini.
Menjadi dirinya yang ceria semula
Selepas dimasukkan ke wad, suami saya pulang ke rumah. Saya pula bermalam dengan bayi Rei.
Percayalah, tidur di hospital bukannya seronok pun! Saya boleh dengar setiap derap kaki orang yang berjalan di koridor.
Jururawat pula datang untuk merawat pesakit pada waktu lewat malam (respek untuk mereka!).
Bayi Rei ingin saya tidur dengannya. Dengan drip yang terletak di tangannya dan alat mengawal yang dipasang pada ibu jari kakinya, sudah tentu susah untuk saya tidur disebelahnya.
Jadi, saya perlu menepuk badannya untuk memastikan dia tahu yang ibu sentiasa ada di sisi.
Bengkaknya mula surut waktu tengan malam. Dia masih lagi mengantuk, mungkin disebabkan oleh ubat yang diambilnya.
Saya sangat gembira melihat dia kembali menjadi dirinya yang sihat semula.
Pada waktu pagi, dia mula bertenaga seperti sediakala. Bengkak mla menghilang dan si manja saya kembali tersenyum.
Kami pun dibenarkan pulang pada waktu tengah hari.
Sekumpulan pakar alahan, atau allergologist, telah datang untuk memberikan beberapa nasihat dan langkah pencegahan – apa yang perlu diperhatikan pada bayi Rei untuk perjumpaan appointment yang akan datang (seminggu kemudian).
Pengalaman ini telah membuatkan saya dan suami sedar yang alahan pada bayi adalah lebih berbahaya daripada alahan pada kanak-kanak yang lebih berusia.
Ini kerana mereka lebih mampu untuk mengekspresikan diri mereka sendiri; bayi pula tidak boleh!
Reaksi Alahan
Sumber: Medicalnewstoday.com
Ada beberapa tanda alahan yang perlu anda perhatikan jika anda merasakan yang bayi anda telah terkena alahan:
- Ruam dan gatal-gatal
- Mata, bibir atau lidah membengkak
- Kesukaran untuk menelan
- Muntah-muntah
- Nafas yang pendek
Beberapa reaksi alahan akan hilang dengan sendirinya dalam masa beberapa jam atau hari. Tetapi, jika ia menjadi semakin teruk, perhatian perubatan perlu diambil segera.
Terutamanya jika mata membengkak, muntah dan sukar untuk bernafas.
Mengelakkan alahan
Cara terbaik untuk mengelakkan alahan adalah dengan mengurangkan hubungan dengan punca alahan (alergen).
Alahan makanan adalah lebih mudah untuk didiagnosis dengan ujian skin prick. Prosedurnya juga tidak menyakitkan.
Tetapi, reaksi alergik yang disebabkan hama, debunga, atau asap lebih sukar untuk ditentukan.
Bayi Rei didiagnosis dengan alergi kepada makanan dairi dan telur. Kami mula berhati-hati dengan apa yang dia ambil setiap hari.
Sekarang, dia semakin membesar dan lebih suka mengeksplor rasa makanan yang pelbagai. Kami berharap dia akan segera dapat mengatasi alahan makanannya.
Anaphylaxis – Apakah itu?
Dulu, perkataan Anaphylaxis (cara sebut: anafilasis) agak janggal buat kami. Tetapi kini, kami tahu maksudnya apabila doktor menyebut perkataan ini kepada kami semasa sesi konsultasi.
Anaphylaxis adalah satu reaksi alahan yang berpotensi untuk meragut nyawa! Ia boleh terjadi dalam masa sesaat sehingga seminit selepas anda terdedah kepada alergen alahan.
Contohnya, seperti kacang atau sengat lebah.
Bahan kimia akan dilepaskan dalam sistem imun anda ketika anaphylaxis dan ia menyebabkan badan anda masuk ke keadaan ‘terkejut’.
Tekanan darah mula menurun secara tiba-tiba dan saluran pernafasan mula menyempit sehingga mengganggu proses pernafasan normal!
Tanda dan simptom anaphylaxis termasuklah denyut nadi yang lemah, ruam kulit dan mual serta muntah.
Penyebab biasa anaphylaxis adalah makanan, ubat-ubatan, bisa serangga dan lateks.
Anaphylaxis akan menyebabkan anda memerlukan rawatan di bilik kecemasan dengan segera dan diberikan suntikan epineferin.
Jika anaphylaxis tidak dirawat dengan segera, ia boleh membawa kepada pengsan, dan lebih teruk lagi, kematian!
Sumber: The Asian Parent Singapore
Baca juga:
Masalah Alahan Makanan Pada Anak Yang Perlu Anda Beri Perhatian
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!