Suami Tiada Duit Nak Bawa Isteri Ke Hospital, Ibu & Bayi Meninggal Di Rumah

Setiap insan pasti akan berhadapan dengan masalah kewangan. Namun, kisah menyayat hati menunjukkan dia terpaksa mengorbankan isteri dan bayinya!

Seorang suami terpaksa berhadapan dengan kehilangan isteri dan anak yang baharu dilahirkan kerana masalah kewangan untuk menghantar pasangannya bersalin di hospital.

Kisah ini cukup pahit untuk dilalui oleh lelaki warga Indonesia yang menumpang mencari rezeki di negara ini.

Setelah kejadian berlaku, dia kemudiannya telah dibantu oleh aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Dihimpit masalah kewangan

credit to sources

Tiada perkataan yang mampu diungkapkan oleh Kuan apabila dia terpaksa berhadapan dengan satu kes menyayat hati.

Ia adalah seorang ibu dan bayi perempuan meninggal dunia sewaktu kelahiran kerana tidak mampu mendapatkan rawatan di hospital di Puchong Perdana.

Kuan berkata, segalanya bermula apabila dia mendapat panggilan dari seseorang yang memaklumkan bahawa sepasang suami isteri warga Indonesia berhadapan dengan situasi ‘kecemasan’ di sebuah rumah.

Tanpa membuang masa, dia kemudiannya terus ke rumah pasangan berkenaan. Setibanya di sana, dia mendapati sekujur tubuh kaku seorang wanita dalam lingkungan usia 30 tahun telah meninggal dunia.

Lebih menyayat hati, bayi perempuan yang dilahirkan turut sama meninggal dunia dan berada di hujung kaki ibunya.

“Saya ada tanya kepada suami wanita berkenaan, mengapa tidak membawa isterinya ke hospital untuk melahirkan anak mereka,”

“Namun, hati saya bagaikan dirobek berhadapan dengan situasi ini. Ia berpunca kerana suami yang tiada duit untuk menghantarnya bersalin di hospital,” katanya

Sementara itu, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Sumaji, 38, berkata, dia terpaksa membiarkan isterinya melahirkan anak kedua mereka di rumah kerana tidak mempunyai wang langsung untuk ke hospital.

Dia yang bekerja sebagai jurukimpal dengan gaji tidak seberapa dan menyewa sebuah bilik berharga RM250 sebulan.

”Saya tidak dapat menahan air mata dan terus memeluknya kerana menyedari bahawa bapa ini buntu memikirkan nasib mereka sebagai pendatang tanpa sebarang dokumen di negara ini,” kata Kuan.

Komplikasi ketika melahirkan bayi

credit to sources

Manakala, isterinya, Nor wahyuni, 35, didapati mengalami komplikasi ketika melahirkan bayi yang songsang.

“Ketika proses kelahiran, kepala anak saya tersangkut dan dia didapati sudah tidak bernyawa sebaik dilahirkan. Isteri saya pula alami pendarahan teruk, uri pada mulanya tidak keluar telah pecah selepas itu,” kata Sumaji.

Kuan turut diberitahu bahawa Sumaji berasa terlalu bimbang untuk ke hospital kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh keluarga malang ini.

Lalu, dia nekad mengambil risiko dengan membenarkan sahaja isteri bersalin di rumah.

“Namun malangnya si isteri kemudiannya mengalami komplikasi sewaktu melahirkan bayi tersebut sehingga anak keduanya turut terkorban,” kata Kuan.

Dalam pada itu, dia turut menasihatkan warga asing, sama ada tiada wang atau permit, untuk segera ke hospital kerajaan apabila berhadapan dengan situasi sebegini.

Katanya, ramai warga asing terutamanya yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah takut untuk ke hospital apabila hendak melahirkan anak, apatah lagi bila mereka menghadapi masalah kewangan.

“Kerajaan kita tidak kejam, bawa dulu isteri ke hospital untuk mendapatkan rawatan, bab lain seperti pasport dan wang jangan difikirkan dahulu, nyawa lebih penting daripada segala-galanya,” tegas Kuan.

Tambahnya lagi, mereka telah menghubungi pihak polis selepas mendapat tahu kejadian itu dan p kedua-dua jenazah tersebut dibawa ke Hospital Serdang untuk menjalani bedah siasat.

Risiko rahim pecah ketika bersalin

credit to sources

Menurut Pakar Perunding Perubatan Maternal dan Fetal, Pusat Perubatan Universiti Malaya Profesor Dr Imelda Balchin, risiko rahim pecah boleh berlaku pada kira-kira empat daripada 1,000 ibu hamil yang memilih kelahiran normal selepas pernah bersalin secara pembedahan.

Tambahnya, berada di hospital bersalin membolehkan kebanyakan ibu dijamin selamat untuk melahirkan dengan cara normal.

Hal ini kerana golongan ibu akan dipantau dengan teliti oleh pakar dan pegawai perubatan.

Sekiranya berlaku rahim pecah ketika bersalin di rumah, pesakit mungkin akan lewat mendapat bantuan kecemasan untuk menyelamatkan nyawa ibu dan anak di dalam kandungan.

“Pendarahannya sangat serius sehingga boleh menyebabkan kematian ibu dan bayi. Sekiranya tidak mendapat transfusi darah segera dan pembedahan serta merta bagi menghentikan pendarahan ibu, nyawa mereka boleh terkorban,” jelas beliau.

Untuk kelahiran normal sekiranya pernah melahirkan secara pembedahan, anda perlu bersalin di hospital dan bukan di rumah agar mendapat sokongan dan rawatan yang terbaik.

Sumber: World of Buzz, Malaysia Gazette, Malaysia Kini

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Baca juga:

https://my.theasianparent.combersalin-kembar-di-rumah