Boleh dikatakan hampir setiap hari masalah pembuangan bayi dilaporkan berlaku dalam negara kita. Ada yang dijumpai masih hidup dan ada yang sudah dalam keadaan tidak bernyawa.
Meskipun ia sesuatu ‘tragedi’ menyayat hati dan dianggap tidak berperikemanusiaan, namun inilah realiti yang berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini.
Masalah pembuangan bayi, mayat dijumpai dalam longkang
Menurut laporan oleh Harian Metro, mayat bayi perempuan telah ditemui di dalam longkang berhampiran kebun durian Mukim 6, Pondek Upeh, Pulau Pinang.
Bayi malang yang masih bertali pusat itu ditemukan dalam keadaan dikerumuni ikan di dalam longkang berkenaan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superitendan Kamarul Rizal menjelaskan mayat bayi berkenaan ditemui pada 2.30 petang selepas pihaknya menerima laporan doktor di Hospital Balik Pulau.
Menurutnya, doktor terbabit mendakwa telah menerima seorang pesakit wanita warga asing yang mengalami pendarahan pada rahim serta dipercayai baru melahirkan bayi.
”Dikatakan pegawai perubatan menemui uri dalam rahimnya, namun suspek enggan memberi kerjasama berhubung kelahirannya.”
”Hasil siasatan awal mendapati suspek berusia 35 tahun berkenaan dikejarkan ke hospital selepas dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah oleh majikannya pada 6 petang.” jelasnya.
Tambah Kamarul Rizal lagi, hasil soal siasat kemudiannya suspek mengaku membuang bayinya di dalam longkang berdekatan rumah yang juga tempatnya bekerja.
Masalah pembuangan bayi di dalam longkang
Dia bertindak sedemikian kerana menyedari bayi dilahirkan dalam keadaan sudah tidak bernyawa di bilik tidurnya 1 jam sebelum dia ditemui oleh majikan.
Pada mulanya, suspek mendakwa dia berniat menanam bayi berkenaan. Namun apabila sampai berdekatan longkang, dia berasa mahu pitam dan bayi tersebut terlepas dari pegangannya sebelum jatuh ke dalam longkang.
”Suspek turut mendakwa sempat kembali ke rumah sebelum pengsan di dapur dan dibantu oleh majikan yang berusia 54 tahun.”
”Dia juga mengaku mengandung hasil hubungannya dengan pekerja kebun yang tinggal berdekatan dengan tempat kerjanya.” jelas Kamarul Rizal.
Tambahnya lagi, Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kemudiannya bergegas ke lokasi penemuan mayat bayi dan tempat kerja suspek bagi melakukan proses siasatan.
Mayat bayi berkenaan akan dibedah siasat sebaik sahaja memperoleh keputusan saringan Covid-19. Manakala usaha mengesan lelaki yang dipercayai bapa bayi tersebut sedang giat dijalankan.
”Suspek wanita ditahan di wad hospital ketika ini kerana dia masih perlu mendapat rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Difahamkan wanita itu bekerja sebagai penjaga warga emas dengan gaji bulanan RM1,300 dan turut menjaga bapa kepada majikannya sejak bulan Februari tahun lalu.
Masalah pembuangan bayi ibarat satu tragedi
Berdasarkan statistik yang diperoleh dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), mendapati sejumlah 577 kes pembuangan bayi direkodkan antara Januari 2014 hingga Disember 2018.
Negeri Selangor telah mencatatkan jumlah kes tertinggi sebanyak 135 kes, diikuti Sabah 67 kes, Johor dan Kuala Lumpur. Sebanyak 435 bayi yang dibuang adalah baru dilahirkan, manakala 142 lagi dalam bentuk janin.
”Berdasarkan statistik Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak mendapati individu yang membuang janin atau bayi cenderung memilih kawasan perumahan sebagai lokasi melakukan kegiatan tersebut berdasarkan 170 kes dilaporkan.”
”Selain itu suspek juga didapati gembar membuang janin atau bayi di dalam tandas, pusat pembuangan sampah, masjid, surau, longkang, tepi bangunan dan semak.” jelas Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Zulkifli Ismail.
Menurutnya lagi, isu pembuangan bayi sukar diselesaikan sepenuhnya disebabkan oleh masalah sosial berkait rapat dengan pelbagai faktor.
Selain penambahan jumlah penduduk, faktor penghijrahan belia ke bandar besar serta pergaulan bebas menyebabkan kes ini terus berlaku.
”Longgarnya ikatan kekeluargaan dan pegangan agama menjadi punca golongan muda hamil sebelum nikah. Namun tidak semua masalah pembuangan bayi ini membabitkan warga tempatan sahaja, statistik turut menunjukkan kes yang sama membabitkan bayi warga Indonesia serta Thailand,” jelasnya.
Gambar sekadar hiasan. Kredit: Harian Metro
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bayi Lelaki Dijumpai Dalam Kotak Di Hadapan Surau, Siap Dengan Nota & Lampin