Ramai yang tidak menyedari bahawa pengambilan pil asid folic sewaktu hamil mampu mencegah gejala pundi kencing neurogenik dalam kalangan bayi.
Malah, amalan itu mampu menghindar bayi berkenaan daripada menderita penyakit terbabit seumur hidup.
Pakar Pediatrik Urologi Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr Nadesh Sithasanan, berkata, pundi kencing neurogenik adalah berkaitan dengan kehilangan kawalan normal pada pundi kencing disebabkan saraf yang rosak.
Apakah yang dimaksudkan dengan masalah neurogenic?
Ia bermaksud pesakit pundi kencing neurogenik tidak mempunyai keupayaan membuang air kencing dengan sendiri.
“Bagi pesakit ini, saraf tidak ‘membawa’ mesej daripada otak ke otot pundi kencing lalu dia berasa mahu kencing dengan kerap atau mengeluarkan hanya sedikit air kencing ketika ke tandas.
“Pesakit juga tiba-tiba berasa ‘bocor’ air kencing tanpa disedari dan tidak berupaya menghentikannya malah mendorong mereka bagi membuang air kecil dengan sedikit atau tanpa amaran,” katanya di sini.
Keadaan itu menyebabkan pesakit tidak dapat melakukan tugas harian termasuk bersekolah atau bekerja malah mereka akan mengalami keadaan malu, tekanan atau tidak yakin.
Apakah penyebab atau punca masalah ini?
Dr Nadesh berkata, berbeza dengan pesakit gejala pundi kencing terlalu aktif, mereka tidak dapat mengawal bila atau berapa banyak kencing yang dikeluarkan.
Walaupun sehingga kini tidak dapat dipastikan dengan tepat penyebab penyakit berkenaan, namun pengambilan pil asid folic semasa hamil amat membantu mengatasinya.
Malah individu yang mengalami kecederaan akibat kemalangan hingga menjejaskan saraf tulang belakang juga boleh mengidap penyakit ini.
“Pesakit akan mengalami ketidakselesaan fizikal, kesakitan atau tekanan abdomen serta jangkitan saluran kencing.
“Jangkitan itu disebabkan oleh air kencing yang tinggal di pundi kencing terlalu lama, menyebabkan perkembangan bakteria dan ia perlu dirawat menggunakan ubat,” katanya.
Rawatan Untuk Masalah Neurogenik
Mengulas lanjut Dr Nadesh berkata, bagi merawat gejala ini, pesakit akan diperiksa dan menjalani beberapa ujian.
Keadaan bayi dalam kandungan yang mengidap penyakit itu juga boleh dikesan menerusi ujian darah dan ‘ultra sound’.
Meskipun ia tidak boleh dirawat, namun terdapat kaedah mengatasinya bagi jangka masa panjang iaitu pesakit boleh mengosongkan sendiri pundi kencing dengan menggunakan katerer.
“Katerer atau tiub fleksibel itu akan dimasukkan melalui uretra dan ke pundi kencing bagi mengalirkan air kencing menerusi tiub itu.
“Sebelum itu, pembedahan akan dilakukan bagi membentuk ruang supaya memudahkan pesakit memasukkan sendiri katerer dan membuang air kencing,” katanya lagi.
Selain itu terdapat beberapa kaedah lain seperti mengamalkan ubat dan antibiotik atau pilihan akhir iaitu menjalani pembedahan.
Dr Nadesh berkata, di Hospital Gleneagles juga sudah lama menggunakan kaedah memasukkan katerer dan ia boleh dilakukan sendiri pesakit seawal usia sekolah rendah.
Dengan kaedah itu, mereka akan ke tandas tiga atau empat jam sekali bagi membuang air kencing dan tiub itu hanya perlu dicuci semula, disimpan bagi kegunaan seterusnya,” katanya.
“Ramai pesakit kami khususnya kanak-kanak sudah dapat bersekolah dan melakukan aktiviti harian seperti kanak-kanak lain selepas menjalani kaedah ini.
Harapan
“Harapan saya ialah bidang pendidikan neuro di negara ini dapat dipertingkatkan bagi memahami lebih lanjut penyakit ini selain meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya ibu bapa,” katanya.
Sumber: Artikel ini ditulis oleh Dr. Nadesh Sithasanan, Paediatrician Surgeon & Urologist dari Gleneagles Penang Hospital
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Kesan Kanak-Kanak Terlalu Didedahkan Kepada Gadget