Mudah sangatkah kau melahirkan aku ibu? Hingga sanggup dibuang begitu saja? Pantai Pengkalan Maras, Batu Rakit, Kuala Nerus semalam gempar dengan penemuan mayat bayi masih bertali pusat terapung di pantai berkenaan.
Apalah dosanya hingga sanggup dia diperlakukan begitu. Mayat yang disahkan bayi lelaki itu ditemui orang awam yang memancing di pantai berkenaan.
Lebih memilukan, bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam!
Mayat bayi masih bertali pusat, baru dilahirkan beberapa jam
Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik pihaknya percaya bayi itu baru dilahirkan tetapi siasatan lanjut masih dijalankan.
Jika pasangan ingin bertanggungjawab sekalipun, ada beberapa perkara yang boleh mempengaruhi seperti sokongan dan penerimaan keluarga, pandangan orang sekeliling, kebajikan anak, prosedur hospital dan banyak lagi.
Buat anda yang tersepit dengan tindakan lalu dan kini mengandungkan janin yang tidak berdosa. Jangan berdiam diri dan memakan hati. Ambillah tindakan sebaik mungkin untuk masa depan dan nyawa anda dan anak.
Panduan untuk ibu hamil anak luar nikah
- Jangan gugurkan. Itu pasti perkara pertama yang bermain di fikirankan? Bayi tidak berdosa itu hanya ada anda saja tempat bergantung harap.
- Paling penting, beritahu kepada ‘si bapa’ supaya dia tahu yang dia perlu bertanggungjawab!
- Jika masih mempunyai ibu bapa maklumkan kepada mereka kerana mereka berhak tahu. Mengenai penerimaan atau takut dimarahi, cuba dulu! Kadang kala orang lebih tua lebih rasional pemikirannya.
- Lebih adil, beritahu kepada ibu dan ayah ‘si bapa’. Anak yang tidak berdosa itu darah daging mereka juga!
- Jangan lupa buat buku merah di klinik kesihatan berdekatan. Ia dokumen penting untuk anda dan bayi.
- Jika ibu bapa menolak, teman lelaki tidak mahu bertanggungjawab dan anda benar-benar buntu. Dapatkan bantuan di rumah perlindungan yang sememangnya membuka tangan menerima anda.
- Jika anda rasa tidak mampu dan tetap mahu ‘membuangnya’. ‘Buang’ ditempat yang sepatutnya, ada baby hatch disediakan untuk kes seperti anda. Guna khidmat baby hatch untuk meninggalkan bayi dengan betul (dan tidak mengundang bahaya pada si kecil itu). Jangan risau, tiada tindakan akan diambil pada anda jika menggunakan khidmat baby hatch ini.
Panduan untuk ibu bapa yang mempunyai anak hamil anak luar nikah
- Terima mereka seadanya walaupun anda terlalu marah dan kecewa! Anda patut bersyukur mereka cari anda. Ini bermakna mereka percaya kepada anda.
- Ketepikan perasaan malu dan terima ia sebagai ujian yang anda sekeluarga perlu lalui. Tiada gunanya terlalu melayan perasaan tetapi tiada penyelesaian.
- Masa depan anak anda masih cerah jika anda membantu mereka dengan penyelesaian yang sepatutnya.
- Pekakkan telinga dengan cakap-cakap sekeliling, jika anda tidak membantu anak, siapa lagi mahu bantu?
- Adakan perbincangan dengan anak, dia mungkin ada pendapatnya.
- Jika ‘si bapa’ ingin bertanggungjawab, restuilah. Mungkin itu jalan terbaik supaya anak yang dikandung ada masa depan cerah.
Panduan kepada masyarakat menghadapai situasi hamil anak luar nikah
- Jangan cepat sangat menghukum. Siapalah kita untuk menghukum mereka, sebagai masyarakat yang berilmu dan beragama sepatutnya membimbing dan menasihati mereka.
- Memang apa yang mereka lakukan salah di sisi agama tapi adakah memarahi mereka perkara yang wajar?Tekanan yang diberi boleh memberikan kesan negatif dan menganggu emosi si ibu mengandung.
- Tekanan boleh membawa kepada isu bunuh diri, bunuh anak yang dilahir dan paling biasa mereka buang bayi yang tidak bersalah itu.
- Jika langsung tidak boleh menerima, lebih baik diam. Jangan mengeruhkan keadaan.