Sebagai ibu bapa, kita tidak boleh terlalu memanjakan anak. Kelak binasa mereka bila besar nanti, terutama bila mereka kerap disogokkan dengan upah, hadiah dan wang ringgit.
Kita sedia maklum, anak-anak bila ingin sesuatu, mudah saja mereka meminta “Mummy, saya mahu ini!” tanpa sempat berkata apa-apa terus ambil dan bayar. Inilah yang merugikan mereka bila menghadapi dunia nyata apabila dewasa nanti.
Hal ini menimbulkan persoalan, bagaimanakah cara untuk tidak terlalu memanjakan anak supaya mereka lebih cepat matang dan berdikari?
Ini jawapannya yang telah dikongsikan oleh seorang ahli sosiologi.
Bagaimanakah cara untuk tidak memanjakan anak?
Sesetengah ibu bapa percaya dengan memberikan elaun mingguan kepada anak-anak, ia dapat mengajar mereka tentang nilai wang ringgit.
Menurut Heather Beth Johnson, ahli sosiologi di Lehigh University, ibu bapa memberi upah kepada anak-anak untuk sesuatu perkara yang dilakukan merupakan satu hak dan sebahagian daripada tuntutan dalam keluarga.
Beliau menambah, ia terjadi di kalangan kanak-kanak golongan kaya yang selalu mengharapkan ganjaran untuk tugas yang dilakukan.
Sepatutnya, ibu bapa tersebut perlu mengajar anak mereka bantu buat kerja rumah kerana ia tempat tinggal yang harus dijaga rapi dan dibersihkan.
David Lancy, mantan Profesor Antropologi di Utah State University mengkaji tentang bagaimana jadual kerja rumah seluruh dunia diselenggarakan.
Dalam penelitiannya itu, dia mendapati kanak-kanak seluruh dunia mula membantu ibu bapa sekitar rumah pada usia 18 bulan (1 tahun 6 bulan).
Bukan setakat itu saja, sesetengah budaya sudah mempunyai anak-anak yang melakukan kerja yang sesuai dengan umur mereka kerana mahu menyumbang kepada keluarga tanpa elaun.
Namun bagi sesetengah ibu bapa lain, mereka melakukan segala-galanya untuk anak-anak dan tidak memberi peluang untuk mereka membantu.
Ini menyebabkan anak-anak merasakan “pertolongan” adalah satu beban. Perkara ini menyebabkan anak semakin malas dan tidak pernah menawarkan bantuan walaupun mereka sudah dewasa.
Memanjakan anak dengan wang ringgit menambahkan kekeliruan mereka
Beth Kobliner seorang pengarang buku kanak-kanak juga mengatakan, apabila kanak-kanak dibayar upah selepas melakukan kerja rumah, ia boleh menimbulkan kekeliruan pada mereka.
Dia menegaskan lagi, apabila seorang kanak-kanak menjalankan tugas di rumah, sekaligus mereka belajar bertanggungjawab dalam keluarga. Malah, ia mencerminkan bagaimana anak tersebut cemerlang dalam kerjaya mereka nanti.
Memberi upah pada anak-anak setelah membuang sampah, basuh pinggan atau bersihkan bilik tidur adalah sesuatu yang tidak berfaedah.
Jika ingi beri elaun tambahan sekalipun, jangan sama sekali berkaitan dengan tugas yang mereka lakukan itu.
Apakah cara untuk mengajak anak membantu buat kerja rumah?
Untuk mengajak anak membantu buat kerja rumah sememangnya tidak mudah, kerana mereka akan memberi banyak alasan atau bertanya pelbagai soalan. Jadi, anda perlu bersabar.
Apa yang boleh anda lakukan adalah luangkan masa menerangkan kenapa dan bagaimana melakukan kerja rumah yang selalu anda buat setiap hari itu kepada mereka.
Dalam pada itu, anda mungkin menemui beberapa tugas yang tidak lengkap atau kurang kemas tapi perlahan-lahan ajar sehingga mereka mahir.
Ini beberapa cara untuk ajak anak bantu buat kerja rumah
- Tugaskan anak untuk kemaskan tempat tidur dan sapu habuk pada perabot pakaian.
- Kemas kembali mainan selepas digunakan.
- Minta anak bantu cuci buah-buahan dan sayur-sayuran.
- Kemas meja makan.
- Susun makanan dengan rapi dalam peti sejuk.
- Tolong buang sampah di luar rumah.
- Ajar anak menyusun pakaian ke dalam almari.
Apapun, jangan lupa untuk puji anak selepas mereka berjaya melakukan kerja-kerja rumah ini. Ini sekaligus membantu anak itu membesar menjadi dewasa yang proaktif!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber : Artikel asal ditulis oleh Nicholas Yong dan medapat keizinan dari theAsianparent Singapore untuk diterjemahkan.
Baca juga:
Kenapa kata "tidak boleh" dan "no" sebenarnya bagus dalam mendisiplinkan anak?