Anak 6 Bulan Sedia Untuk Makan? Guna 4 Days Rule Sebelum Memperkenalkan Makanan Pejal, Ini Sebabnya!

Ramai ahli pemakanan bayi menasihatkan ibu bapa untuk mempraktikkan amalan '4 days wait rule' ketika memperkenalkan makanan pada bayi. 4 days wait rule itu macam mana?

Dalam keterujaan ingin memberi makanan pejal pertama pada bayi anda, pasti terselit sedikit rasa risau, bukan? Apabila anda semak semua kumpulan sokongan ibu, rata-rata ramai akan sebut 4 days rule.

Tahukah anda apakah itu ‘4 days wait rule ‘dalam memperkenalkan makanan pada bayi buat kali pertama?

Apa itu ‘4 days rule’?

Foto ehsan: Organic Health

Sebenarnya “4 day wait rule” adalah cara paling mudah untuk anda mengenalpasti sekiranya anak ada alergi terhadap sesuatu makanan atau tidak.

Bukan itu saja, malah melalui cara ini, ibu bapa  dapat kenalpasti sama ada makanan tersebut boleh menyebabkan masalah pencernaan atau tidak kepada bayi anda. Contohnya sembelit, kembung atau masalah membuang air besar.

Melalui 4 days wait rule, bayi akan diberi satu jenis makanan sahaja dalam tempoh 4 hari. Dan selepas 4 hari itu, barulah makanan jenis lain pula diberikan kepada anak anda. 

Contohnya, pada hari Isnin anda memperkenalkan puri lobak merah kepada si kecil. Untuk hari Selasa, Rabu dan Khamis, menu anak anda masih lagi puri lobak merah.

Dan hanya pada hari Jumaat, barulah anda memperkenalkan makanan lain. Mudah saja, bukan?

Mengapa cara ini penting untuk memperkenalkan makanan pada bayi?

Terutamanya bagi ibu bapa yang mempunyai sejarah alergi, cara ini penting bagi membantu anda mengenalpasti sekiranya bayi anda mempunyai alergi terhadap sesuatu makanan atau tidak.

Kesan alergi seperti gatal-gatal boleh dikenalpasti di dalam tempoh 24 jam. Tetapi bagi kesan tidak serasi seperti sembelit atau kembung, ia memerlukan lebih masa.

Jadi, anda sedang memberikan masa selama 4 hari untuk melihat tindak balas tubuh badan anak terhadap makanan yang anda beri.

Sampai bila kena buat cara ini?

Kredit: iStock

Apabila anda sudah memperkenalkan semua makanan yang biasa anda masak di rumah, anda boleh memendekkan masa ‘4 days wait rule‘ ini kepada 2 atau 3 hari atau berhenti terus. 

Ramai ibu bapa yang memilih untuk meneruskan cara ini hingga anak mereka berusia 12 bulan. Tetapi ketika itu, anda sudah boleh mula mencampurkan makanan.

Contohnya, bayi anda didapati tiada alergi dengan lobak merah dan bayam. Jadi anda bolehlah mencampurkan bahan lain ke dalam gabungan makanan ini.

Sekiranya terdapat kesan alergi, ia mungkin dari bahan yang ketiga.

Walaupun cara ini dapat membantu para ibu bapa dalam memberi anak-anak makanan pejal pertama mereka, namun ramai ahli pediatrik mencadangkan anda untuk memberi pelbagai makanan di usia awal.

Tetapi bagi mereka yang mempunyai sejarah alergi, anda dinasihatkan agar mengikutkan cara ini.

Selamat mencuba ibu bapa semua!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Bila Waktu Sesuai Untuk Beri Bayi Makan Keju? Ini 3 Resepi Berasaskan Keju Yang Sangat Enak!

Baca juga: Resepi Makanan Bayi Mudah, Puri Pisang Untuk Bayi 6 Bulan Yang Lazat & Kaya Dengan Manfaat!

Baca juga:  Resepi Bubur Nasi & Pasta Berkhasiat Untuk Bayi 7 Bulan Dan Ke Atas

Penulis

Aqma