Bayi Yang Kerap Menangis Boleh Buat Ibu Stres, Ini 7 Cara Berkesan Bagi Mengatasinya!
Mengatasi bayi menangis boleh menjadi perkara yang mencabar buat ibu ayah baru. Namun ada beberapa teknik perlu anda kuasai bagi berdepan situasi ini
Kehadiran cahaya mata membawa penyeri dalam rumah tangga. Bagi ibu ayah baru, adalah normal untuk anda berasa sedikit kekok dalam mengurus si kecil terutamanya apabila perlu mengatasi bayi menangis dengan berkesan.
Disebabkan oleh tidak mampu bercakap, bayi yang masih kecil akan kerap menangis untuk memberitahu kepada orang sekeliling tentang keinginannya terhadap sesuatu atau keadaan yang dirasai. Justeru ibu ayah tidak perlu panik dan tenangkan diri ketika berdepan situasi ini.
Mengatasi bayi menangis- ketahui puncanya dahulu
Bayi yang menangis biasanya bersebab dan lebih mudah untuk menanganinya jika punca diketahui. Sebelum melihat kepada beberapa cara menenangkan bayi, mari kita lihat beberapa faktor penyumbang kepada bayi menangis:
#1. Mengatasi bayi menangis berpunca dari rasa lapar
Terutama bagi bayi yang kurang daripada 6 bulan. Saiz perut yang kecil menyebabkan mereka menyusu sedikit tetapi kerap. Mereka harus menyusu sekurang-kurangnya sekali setiap 4-6 jam.
#2. Lampin yang basah
Periksa lampin sekiranya mereka menangis. Lampin bayi yang basah atau kotor dan tidak ditukar segera akan menyebabkan kegatalan dan bayi akan berasa tidak selesa.
#3. Suhu bilik
Suhu yang agak panas atau agak sejuk boleh menyebabkan bayi rimas, berpeluh atau kesejukan. Pastikan udara bergerak dalam biliknya dengan menggunakan kipas yang berpusing pada kelajuan sederhana.
#4. Inginkan bermanja
bayi sebenarnya sensitif dan rasa asing terutama ketika masih baru dilahirkan. Mereka ingin berasa selamat sepertimana dalam kandungan. Dakap dan sentuhlah bayi anda selalu.
#5. Moody
Jangan sangka bayi yang kecil tidak mempunyai perasaan atau mood. Ia bergantung kepada mood di sekitarnya. Jadi, jika mood anda kurang baik mungkin bayi juga terkesan dan meragam.
#6. Penat atau bosan
jika bayi anda telah mula bermain, tangisan mungkin memberi tanda yang si comel penat atau bosan dengan mainannya dan perlukan perhatian anda. Lebih lagi jika dibiarkan bermain sendirian.
#7. Kolik
Terutama dalam usia dua minggu hingga 4 bulan, otot usus boleh mengecut menyebabkan rasa senak dan memulas selepas menyusu akibat susu yang tidak dapat dihadamkan. Ia menghasilkan gas dan menyebabkan kembung perut.
Otot usus mengecut semaksima mungkin supaya gas dapat dikeluarkan melalui ceret beret, muntah atau kentut. Cuba lakukan senaman mengayuh basikal pada kaki bayi, mengurut dan mengusap lembut bahu serta kaki bayi yang meniarap atau perut dengan baby oil.
#8. Demam
suhu badan yang meningkat menyebabkan bayi rasa tidak selesa. Demam pada bayi dianggap satu masalah yang serius dan harus dibawa berjumpa doktor segera. Ibubapa bijak jika mempunyai termometer ringkas bagi mengukur suhu badan bayi.
Cara mengatasi bayi menangis dengan mudah dan berkesan
• Dakap dan ayun – bayi akan terasa tenang jika didakap erat dan diayun-ayun perlahan. Gerakan mengayun perlahan seperti ini sebenarnya menyamai gerakan ketika dalam rahim ibu. Boleh juga jika anda bawa bayi berjalan dalam stroller untuk ayunan berbeza.
• Bunyi bising – tidak seperti tanggapan umum tentang suasana senyap dan sunyi, bayi sebenarnya lebih tenang jika mendengar bunyi mekanikal yang konsisten atau white noise. Cubalah dengan memasang vakum, pengering rambut atau kipas.
• Membendung – memakai bedung mampu memberi ketenangan kepada bayi. Berada dalam ruang yang sempit dalam bendung sama seperti ketika dirinya dalam rahim ibu pada bulan-bulan akhir kehamilan. Dengan ini, bayi akan merasa selesa dan selamat.
• Dukung dan usap – cuba dukung bayi anda di bahu dengan kepalanya melekap pada pipi anda dan usap belakangnya. Ini membantu menenangkan belakang dan perut bayi.
• Tukar posisi – jika bayi anda dibiarkan sendirian berbaring pada tilamnya, cubalah untuk menukar posisi daripada terlentang kepada sisi atau meniarap. Bayi mungkin rasa bosan dibiarkan dalam posisi yang sama, terutama jika dia belum pandai bergerak.
• Menghisap sesuatu – ini adalah satu aktiviti yang biasa dan menenangkan bagi bayi. Susukannya jika dia ingin menyusu atau biarkan dia menghisap jari yang bersih atau puting susu.
• Memandikan dengan air suam- Air suam dapat memberikan kesan menenangkan dan menjadi salah satu cara mengatasi bayi menangis.
Sebenarnya, yang paling penting dalam hal ini ialah emosi ibu. Jangan panik apabila bayi menangis berterusan. Minta bantuan jika mula rasa tertekan dan ambillah masa untuk menenangkan diri.
Kredit foto: Google Images
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bayi Menangis Keluar Air Mata & Tanpa Air Mata Apa Bezanya? Ini Penjelasan
Baca juga: Sekali-Sekala Anak Perlu Diberi Peluang Menangis Agar Lebih Bijak Menguruskan Emosi
Baca juga: Si Manja Kerap Menangis Tanda Bayi Kembung Perut, Ibu Ini Cara Untuk Mengatasinya!