Kebiasaanya, apabila usia bayi sudah menginjak ke enam bulan, kebanyakan ibu bapa akan mula mengasingkan anak ke tempat tidur khas buat si manja. Namun begitu, ibu bapa akan kemudiannya dilanda satu masalah apabila anak kesayangan mula menangis dalam katil bayi sebaik sahaja mereka ditempatkan di satu katil yang berasingan tanpa ibu bapa.
Mengapa hal ini berlaku?
1# Anak menangis dalam katil bayi kerana ada perasaan separation anxiety @ keresahan perpisahan
Apabila anak anda mula menangis apabila ditinggalkan di katilnya, anak anda mungkin sebenarnya mengalami separation anxiety atau keresahan perpisahan. Apa itu keresahan perpisahan?
Separation anxiety atau keresahan perpisahan adalah rasa kebimbangan apabila kita perlu berpisah dengan individu yang rapat dengan kita. Perkara ini boleh berlaku kepada anak kita juga. Lebih-lebih lagi jika ibu bapa baru saja ingin belajar menempatkan anak di buaian atau tempat tidur khas yang berasingan kepada si anak.
Masalah ini biasanya berlaku kepada bayi yang berusia 8 hingga ke 12 bulan. Ia juga boleh berlaku kepada bayi lebih awal atau lebih lambat daripada usia berikut.
Baca juga: Bayi Kerap Terjaga & Menangis Waktu Malam Sebab Tilam Tak Selesa?
2# Anak menangis dalam katil bayi kerana dia tidak biasa ditinggalkan
Selain daripada keresahan perpisahan, anak anda juga menangis dalam katil bayi mereka kerana dia masih tidak biasa ditinggalkan dan mungkin tempat tidur baharunya kelihatan sangat asing dan menakutkan baginya.
Apabila anak anda mula menangis, sudah pastilah anda sebagai ibu bapanya akan menjadi paling gusar. Hal ini demikian kerana, ada anak yang menangis sehingga muka menjadi merah dan suara juga bertukar serak. Kasihan, bukan?
Jadi, sudah pastilah kita perlu mengambil tindakan-tindakan yang bersesuaian untuk mengatasi perkara sebegini.
Bagaimana ibu bapa boleh mengatasinya
Apabila anak yang tidak pernah biasa ditinggalkan di tempat yang berasingan dengan ibu bapanya, mudah untuk dia mendapat keresahan perpisahan. Apabila hal ini terjadi, bayi akan menangis berterusan sebaik sahaja dia ditinggalkan di katilnya. Sebagai ibu bapa, apa yang harus anda lakukan?
1# Jika anak menangis dalam katil bayi, pujuk dan beri kata-kata semangat atau galakan
Pertama sekali, sudah pasti akan ada ibu bapa yang berasa kasihan dan ingin mengambil anak tidur bersama. Namun, kuatkan diri anda dan jangan berbuat sedemikian. Sebaliknya, pujuk anak anda dan usap perlahan belakang badannya sambil memberikan kata-kata semangat seperti, “Jangan risau, ibu tak tinggal adik.” atau “Shhh, jangan menangis. Kan ayah tengah teman ni.” Kata-kata lembut sebegitu sedikit sebanyak dapat menenangkan si anak.
2# Berikan mainan kesukaannya
Selain itu, anda boleh meninggalkan mainan kesukaan anak anda bersama-samanya di katil bayinya. Cara ini akan dapat membuatkan anak anda merasakan yang dia tidak berseorangan di dalam katilnya. Malah, anak anda juga akan tidak menangis berpanjangan lagi apabila anda meninggalkannya di katil bayi mereka.
Baca juga: Mainan Bijak Untuk Setiap Umur
3# Jangan selalu mendukung dan membawa anak ke bilik anda untuk hentikan tangisan
Ya, apabila anak menangis tanpa henti apabila ditinggalkan untuk tidur bersendirian di katil bayinya, sudah tentulah anda sebagai ibu bapa akan berasa risau dan runsing. Apabila anak menangis dan minta didukung keluar dari katilnya, sudah pasti anda juga tidak akan teragak-agak untuk terus menghulurkan tangan bagi mendukungnya. Namun begitu, anda juga tidak sepatutnya berbuat sedemikian! Apabila anda mula berbuat demikian, anak anda akan berterusan menangis kerana dia tahu anda akan mendukungnya pergi ke bilik anda.
Jadi, anak anda seterusnya tidak ditinggalkan bersendirian di katil bayinya. Bijak juga taktik si kecil ini, bukan?
4# Jangan tinggalkan anak ketika dia masih segar
Apabila anda masih baru mencuba untuk menempatkan anak di katilnya, cuba untuk tidak terus meninggalkannya sebegitu sahaja ketika si anak masih berjaga. Hal ini akan menyebabkan anak anda semakin galak menangis dan merengek.
Anda boleh menunggu dan menidurkan anak anda sehingga dia betul-betul terlena. Apabila sudah pasti akan hal itu, barulah anda bergerak meninggalkannya perlahan-lahan.
5# Banyakkan Bersabar
Apabila anda berdepan dengan situasi anak yang asyik merengek dan menangis sebab tidak mahu ditinggalkan, anda janganlah terlalu menunjukkan yang anda sebenarnya tengah tertekan atau sedang marah. Anak anda boleh membaca riak anda dan itu akan memburukkan lagi keadaan! Cubalah untuk bertenang supaya anda dapat mengawal situasi dengan terkawal. Apabila anda dalam keadaan yang tenang dan terkawal, justeru anak anda akan menjadi okey juga.
Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, diharap agar para ibu bapa yang baru merangka ingin megasingkan anak di katilnya dapat menimba sedikit sebanyak informasi yang telah dinyatakan.
Semoga sukses dan jangan anda pula yang menangis, ya?
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Healthline, Baby Center , Mom Loves Best
Baca juga: 5 Langkah Mudah Untuk Menukar Tempat Tidur Anak Dari Crib Ke Katil Bayi