Setiap ayah pastinya menginginkan anak-anak membesar dengan sihat dan memiliki keperibadian yang baik. Justeru ia perlulah bermula didikan seawal usia termasuklah mengajar anak menjadi seorang yang peka terhadap sekeliling serta boleh berkongsi barangan kesayangan mereka dengan orang lain.
Memandangkan sekolah diperintahkan untuk tutup sementara waktu bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19, ibu ayah hendaklah merebut peluang ini dengan mendedahkan si manja akan konsep membantu golongan susah atau belajar bermain bersama-sama dengan adik beradik.
Baca juga: Anak Clingy Memang Selalu Nak Bersama Ibu Sahaja, Hilang Kejap Mulalah Menangis!
Cara mengajar anak menjadi seorang pemurah dengan berkesan
Berdasarkan bukti saintifik, tingkah laku anak-anak mudah dibentuk ketika mereka masih kecil. Di samping itu jika awal-awal sudah diajar dengan konsep tolong-menolong, berkongsi dan peka dengan orang sekeliling, mereka akan terbiasa dengan sikap begini sehinggalah dewasa kelak.
Satu kajian mendapati bahawa kanak-kanak berasa teruja dan gembira sekiranya mereka sendiri dapat membantu orang lain berbanding menggunakannya untuk diri sendiri. Sebab itulah kalau anda perasan apabila terserempak dengan peminta sedekah, anak kecil akan segera berusaha memasukkan duit kertas ke dalam bekas yang disediakan.
Justeru di sini kami kongsikan beberapa cara mengajar anak menjadi pemurah dan suka berkongsi barang:
#1. Segala-galanya bermula dari ibu ayah
Kajian beberapa dekad yang lalu mendapati bahawa anak-anak cenderung untuk bersikap baik dan murah hati apabila ibu ayah menunjukkan teladan baik setiap masa, tidak kiralah duduk di rumah ataupun luar rumah.
Penyelidikan yang dilakukan di Indiana University oleh Mark Ottoni Wilhelm mendapati bahawa adalah sangat penting bagi ibu ayah untuk berbual-bual dengan anak tentang konsep berkongsi dan bertimbang rasa terhaadap orang lain.
Ibu ayah boleh menceritakan kelebihan bersedekah dan praktiskannya dalam kehidupan si manja setiap hari. Sebagai contoh, bawa anak-anak bersama apabila anda menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan atau sediakan duit kertas di dalam beg si manja setiap kali keluar rumah.
#2. Bantu mereka memahami tentang keperluan
Untuk mendorong anak-anak gemar membantu orang lain, hal paling utama adalah mereka hendaklah menyedari bahawa setiap pertolongan daripada mereka sebenarnya amat diperlukan.
Justeru, ibu ayah hendaklah menanamkan sifat empati dalam diri si manja di awal tahap perkembangan mereka lagi. Misalnya jika mengetahui anak jiran sebelah rumah anda masih belum makan, ibu boleh meminta tolong anak menghantar sedikit makanan kepada mereka.
Tindakan ini sekaligus mampu mewujudkan rasa kasihan terhadap nasib orang lain dan nilai bersyukur dalam diri anak-anak kerana masih boleh menjalani hidup dengan baik.
Kajian turut menunjukkan kanak-kanak yang sering kali menolong orang memerlukan berupaya melihat dunia melalui mata mereka dan mengenal pasti setiap perkara dengan mudah.
#3. Tunjukkan impak membantu orang lain
Kajian terhadap golongan dewasa mendapati bahawa mereka merasai kebahagiaan yang sebenar setelah mengamalkan sikap bermurah hati. Selain itu, diri mereka turut terdorong untuk memberi lebih lagi apabila melihat kesannya terhadap orang lain.
Ibu ayah sebenarnya boleh mengajar anak mengamalkan sikap pemurah seawal usia 5 tahun. Menurut pengalaman seorang ibu, dia mendapati anaknya kini sudah ada tabiat memilih makanan berkhasiat untuk diletakkan dalam food bank yang disediakan dalam pasaraya. Apabila melibatkan si manja mengagihkan makanan atau bersedekah kepada orang memerlukan, mereka sendiri gembira. Malah ada yang siap menadah tangan mendoakan kesejahteraan anda sekeluarga.
#4. Beri anak peluang membuat pilihan
Dalam proses membentuk keperibadian si manja, ibu ayah tidak boleh bersikap melulu sehingga memaksa mengikuti setiap perkara yang sudah diajar. Anda perlu faham kanak-kanak menerima mesej melalui pendengaran hanya sedikit sahaja, selebihnya mereka akan melakukan tindakan.
Justeru adalah lebih mudah jika anda berbincang dengan si manja perkara yang mereka mahukan. Jika sesuai, ia masih boleh dipertimbangkan mengikut situasi. Selain itu jika waktu bermain pula, ibu ayah boleh memberikan mereka pilihan untuk memilih jenis permainan digemari agar boleh sama-sama berkongsi dengan adik-adiknya
#5. Ajarkan anak bahawa berkongsi adalah sesuatu yang menyeronokkan
Menurut Dr Fadzilah Kamsah, anak-anak lebih mudah terikut semua perkara yang ibu ayah buat berbanding apa yang anda katakan. Sentiasalah menasihati si manja untuk menjadi pemurah.
Cara mudah yang boleh anda praktikkan di rumah adalah dengan menyediakan makanan di rumah dan makan bersama-sama. Ini mengajarkan anak-anak untuk bahagaia berkongsi rezeki yang sedikit dengan saling makan bersuap.
Sekiranya cara ini diamalkan setiap hari, ibu ayah akan mendapati bahawa anak-anak lebih mudah dijaga, jarang bergaduh dan tidak menjerit berebut permainan.
Sumber: Greater good
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia