Ramai pasangan suami isteri yang mengimpikan zuriat setelah selamat menjalani kehidupan dalam hubungan yang halal, tetapi pernahkah mereka terfikir untuk mengambil anak angkat?
Walaupun terdapat beberapa pasangan yang masih belum bersedia atau sudah nekad untuk tidak mempunyai cahaya mata, kebanyakan pasangan menjadikan kewujudan seorang zuriat itu sesuatu yang perlu dalam kehidupan alam perkahwinan.
Mizz Nina & Noh Salleh mengambil anak angkat selepas setahun lebih bersedia
Kewujudan seorang cahaya mata dalam kehidupan bukanlah hanya boleh diperoleh melalui hubungan seks sahaja. Malah, terdapat banyak cara yang boleh digunakan untuk memastikan si suami dan si isteri boleh menimang cahaya mata baik dari kaedah IVF (in vitro fertilisation) atau dengan kaedah mengambil anak angkat.
Pada hari Jumaat lepas, bertarikh 4 Mac 2022, bekas selebriti terkenal Shazrina Azman atau lebih dikenali sebagai Mizz Nina telah mengumumkan bahawa beliau dan suami tercinta, penyanyi terkenal kumpulan Hujan, Noh Salleh telah berjaya menimang cahaya mata melalui kaedah pengangkatan.
Pasangan bahagia ini telah diijab kabulkan pada 1 Julai 2011, dan telah mencuba untuk membina keluarga setelah bertahun-tahun.
Menurut Mizz Nina pada siaran Instagramnya Jumaat lepas,
“Dengan perjalanan yang terlalu panjang untuk tiba ke tahap ini, dengan berkali-kali cubaan dengan IUI, IVFselama bertahun-tahun, Allah telah menganugerahkan bayi ini melalui cara lain, dan itu semua sudah pasti.”
Walaupun begitu, bukan mudah untuk Mizz Nina mencapai keputusan untuk mengambil anak angkat.
“Saya masih ingat saya mengambil masa lebih setahun untuk membuka diri dan bersedia untuk usaha ini.”
Mizz Nina dan Noh Salleh telah membuat keputusan menamakan si comel mereka dengan nama Musa. Menurut Mizz Nina, Musa telah berada di dalam jagaan mereka selama 3 bulan dan mereka telah menikmati segala asam garam menjadi sepasang ibu bapa.
Kami di TheAsianParent Malaysia hanya ingin mengucapkan tahniah kepada pasangan bahagia ini dengan keputusan mulia mereka untuk memilih menimang cahaya mata dengan kaedah mengambil anak angkat. Kami juga berharap agar Musa akan membesar menjadi seorang anak yang soleh pada ibu bapanya!
Apakah proses mengambil anak angkat di Malaysia?
Masih ramai pasangan suami isteri yang tidak mempunyai cahaya mata, dan kami faham bahawa ianya tidak semudah itu untuk membina sebuah keluarga. Kami juga faham bahawa topik tentang penimangan anak mungkin adalah suatu isu sensitif bagi sesetengah pihak.
Walaupun begitu, perkongsian kami hari ini diharapkan dapat diterima dengan hati yang terbuka.
Bagi pasangan yang mempunyai niat untuk mengambil anak angkat, anda perlulah tahu proses pengambilan anak angkat di Malaysia terlebih dahulu supaya anda boleh merancang dengan sempurna.
Menurut laman web rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh bakal ibu dan bapa yang ingin mengambil anak angkat.
Syarat-syarat permohonan:
- Warganegara Malaysia dan menetap di Malaysia.
- Berusia 25 hingga 60 tahun.
- Perkahwinan secara sah (5 tahun ke atas)
- Bagi Perkahwinan yang kurang dari 5 tahun dan mempunyai komplikasi kesihatan reproduktif atau kesihatan yang menyukarkan proses kehamilan atau perkahwinan yang lewat juga dipertimbangkan permohonannya.
- Peluang untuk mendapat anak tipis kerana faktor usia.
- Pemohon bujang boleh dipertimbangkan dan perbezaan umur diantara pemohon dan kanak-kanak mestilah melebihi 21 tahun. Pemohon lelaki bujang dibenarkan mengambil kanak-kanak lelaki sahaja.
- Mempunyai pendapatan yang mampu menyara kehidupan keluarga.
- Hendaklah sihat dari segi mental dan fizikal.
- Bebas dari rekod jenayah.
- Keadaan tempat tinggal yang sesuai dan selamat.
- Menganut agama yang sama dengan kanak-kanak.
Dokumen yang diperlukan untuk mengambil anak angkat
Sekiranya anda memenuhi syarat-syarat ini, terdapat pula beberapa dokumen yang perlu anda sediakan sebelum mengambil anak angkat di Malaysia.
Dokumen-dokumen yang diperlukan:
- Gambar ukuran pasport (suami/isteri)
- Surat pengesahan dari pegawai perubatan mengenai status kesihatan pemohon (suami/isteri).
- Salinan kad pengenalan (suami/isteri).
- Salinan sijil nikah/ sijil pendaftaran perkahwinan.
- Slip gaji atau pengesahan pendapatan (suami/isteri).
- Lain-lain dokumen sokongan, contah : Laporan Pakar Perubatan, surat sokongan lain dan sebagainya.
Setelah lengkap semua dokumen dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan untuk memohon, permohonan anda boleh dibuat secara atas talian di laman sesawang Sistem Permohonan Anak Pelihara atau datang sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/ Jajahan (PKMD/J) di tempat pemohon bermastautin atau tinggal.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Cara & Proses Pengambilan Anak Angkat Mengikut Undang-Undang Di Malaysia
Baca juga: 7 Artis Populor Yang Ambil Anak Angkat, Ada Yang Ambil Sejak Bujang Lagi!
Baca juga: Perjuangan dan pengorbanan seorang ibu untuk menyusu anak angkatnya