Sesetengah individu yang kurang bernasib baik dan sukar mendapatkan cahaya mata pasti pernah terfikir untuk mengambil anak angkat. Bagi anda tidak tahu, ada beberapa proses ambil anak angkat yang perlu diikuti mengikut undang-undang.
Apatah lagi mengambil anak yatim sebagai anak angkat. Sekurang-kurangnya anak yang tidak bernasib baik ini dibela dan dijaga dengan kasih sayang sepenuhnya. Akan tetapi, orang kata proses pengambilan anak angkat di Malaysia amat rumit. Mana ada!
Baca juga: Tak Lupa Jasa Keluarga Angkat, Anak Yatim Ini Hadiahkan Mereka Sebuah Banglo MEWAH
Proses ambil anak angkat mengikut undang-undang

Jom semak bagaimana proses pengambilan anak angkat di Malaysia, beserta syarat-syarat kelayakan permohonan seperti di bawah. Nescaya niat anda mungkin akan dipermudahkan.
Syarat kelayakan pengambilan anak angkat
Di bawah Seksyen 6(1) Akta 253, semua pemohon dan kanak-kanak (anak angkat) harus mematuhi beberapa syarat kelayakan, seperti:
Pemohon
- Salah seorang ibu bapa angkat (suami/isteri) atau ibu/bapa angkat (tunggal) bertaraf Warganegara atau Penduduk Tetap;
- Ibu bapa angkat atau ibu/bapa angkat (tunggal) berumur 25 tahun ke atas dan sekurang-kurangnya 18 tahun lebih tua daripada kanak-kanak;
- Pasangan suami isteri memiliki Dokumen Perkahwinan yang sah;
- Mendapat keizinan pengangkatan daripada ibu dan bapa kandung atau ibu tunggal (surat akuan berkanun)
- Sekiranya tiada keizinan ibu bapa kandung, pengangkatan masih boleh dilaksanakan melalui perintah mahkamah atau laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
- Permohonan perlu dikemukakan di JPN dalam daerah ibu dan bapa angkat bermastautin.
Kanak-kanak
- Belum pernah berkahwin;
- Berumur di bawah 18 tahun dan bermastautin di Semenanjung Malaysia.
- Telah dalam jagaan dan dipelihara pasangan suami isteri secara bersama, sebagai anaknya sendiri bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun yang berterusan sebelum pendaftaran pengangkatan dibuat.
- Kanak-kanak bertaraf warganegara atau bukan warganegara.
- Kanak-kanak memiliki dokumen pengenalan diri (Sijil Kelahiran/ Kad Pengenalan/ Passport/ Permit Masuk bagi warganegara asing/ dan visa perlu cukup tempoh dua tahun).
- Memiliki Sijil Kelahiran (jika tiada, Permohonan Daftar Lewat Kelahiran harus dibuat)
Permohonan pengambilan anak angkat di Malaysia

Terdapat dua cara untuk mengambil anak angkat di Malaysia:
- Mendapat anak terus daripada pemberian ibu bapa kandung
- Melalui permohonan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Jika anda ingin memohon pengambilan anak angkat melalui permohonan di JKM, anda boleh membuat permohonan melalui surat, faks, telefon, email atau datang sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di tempat anda bermastautin.
Akan tetapi, anda tetap perlu melalui proses pengambilan dari perintah mahkamah.
Namun, jika anda bertuah menerima anak terus daripada pemberian ibu bapa kandung, anda harus melakukan beberapa prosedur bagi memastikan status anak itu kelak sah di sisi undang-undang.
Terdapat dua cara permohonan untuk mengesahkan pengambilan anak tersebut, iaitu:
- Permohonan di mahkamah seksyen atau mahkamah tinggi dalam masa tiga bulan selepas menerima kanak-kanak untuk Notis Pengangkatan; atau
- Permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara menerusi Akta Pendaftaran Anak Angkat 1952 (Akta 253).
Jika anda memilih pilihan kedua, anda perlu:
- Mengisi surat akuan berkanun
- Mendaftarkan pengambilan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memohon Sijil Pengangkatan (selepas 2 tahun)
- Melalui prosedur pengambilan Sijil Pengangkatan

Prosedur pengambilan anak angkat dari ibu bapa kandung
Jika anda menerima kanak-kanak terbabit dari ibu bapa kandungnya, anda perlu melakukan proses ini bagi mengesahkan pengambilan:
- A) Permohonan Notis Pengangkatan
Permohonan Notis Pengangkatan boleh dibuat di mahkamah seksyen atau mahkamah tinggi.
Namun jika anda memilih untuk memohon permohonan daripada Jabatan Pendaftaran Negara, sila ikut proses di bawah:
Permohonan melalui JPN hanya boleh dibuat selepas kanak-kanak terbabit dipelihara selama dua tahun oleh ibu bapa angkat.
Oleh itu, mula-mula dapatkan Surat Akuan Berkanun (Surat Keizinan Pengangkatan) yang dikeluarkan oleh JPN. Ia perlu diisi oleh ibu bapa kandung kanak-kanak. Dalam surat akuan ini, ibu bapa kandung telah bersetuju untuk menyerahkan kanak-kanak terbabit (dengan nama dan nombor sijil lahir) kepada ibu bapa angkat.
Surat keiizinan ini melindungi hak penjagaan ibu bapa angkat. Ibu bapa kandung tidak akan menuntut balik. Ibu bapa kandung perlu menandatangani surat akuan berkanun di hadapan Tuan Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah. Ia kemudian disetem dengan setem hasil.
Simpan surat ini. Selepas dua tahun, anda perlu membuat permohonan Sijil Pengangkatan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
- C) Permohonan Sijil Pengangkatan
Fail permohonan ibu bapa angkat akan dibuka. Anda akan diminta hadir ke temuduga bersama anak angkat terbabit. Kehadiran kanak kanak adalah wajib kerana pegawai JPN akan bertanya soalan tentang tempoh dua tahun kanak kanak tinggal bersama ibu bapa angkat.
JPN juga akan menghantar surat makluman permohonan kepada JKM. JKM akan memanggil ibu bapa angkat untuk ditemuduga. Selepas semua urusan temuduga dan permohonan sijil pengangkatan selesai, JPN akan mengeluarkan Mykid yang baru buat kanak-kanak terbabit.
Sumber: Utusan Online, Jabatan Pendaftaran Negara, Permohonan Pengangkatan JPN
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Ada Anak Atau Tiada Anak Adalah Ujian Daripada Allah, Tetaplah Bersyukur Seadanya!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!