Rotan anak biar berpada-pada!
Kata orang tua-tua, sayangkan anak tangan-tangankan – sebagai tanda mengajar anak supaya menjadi ‘orang’. Zaman sekarang, kata-kata tersebut seolah-olah telah diambil secara literal, lalu berlakulah kes-kes dera anak seperti yang dilaporkan baru-baru ini.
BERKAIT : Warn your kids about sexual predators
Meninggal dunia semasa dalam koma kerana dirotan
Sedang umat Islam menyambut Hari Raya awal Ogos, Malaysia dikejutkan dengan berita kes dera kanak-kanak 5 tahun yang dilaporkan dalam keadaan kritikal kerana dirotan oleh ibubapanya. Apa yang dilakukan sehingga ibu bapa ini rotan anak sehingga maut?
Malangnya beliau telah meninggal dunia pada 25 Ogos, setelah berada dalam koma selama 11 hari.
Melihat kepada keadaan tubuhnya, dia dipercayai telah dirotan dalam satu jangkamasa yang lama.
Merawatnya kali pertama, Dr. Mohd Safwan Adnan telah membuat laporan polis. Beliau mendapati keadaan tubuh yang amat memilukan dengan kesan luka dan kecederaan yang teruk, disyaki akibat dirotan.
Kedua-dua ibubapanya ditahan untuk beberapa hari tetapi semenjak 21 Ogos, hanya ibunya kini disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendera. Dua anak mereka yang lain kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak bagi memberikan perlindungan sementara.
Bedah siasat untuk mengenal pasti sebab kematian, akan dijalankan pada hari ini.
‘Panas baran’
Ibubapa kadangkala akan merasa marah dengan perangai anak-anak yang tidak terkawal atau sering meragam. Tetapi jika ditanya, rata-rata ibubapa tidak akan sanggup mengambil tindakan luar kawalan apatah lagi sehingga menyebabkan kecederaan akibat dirotan.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan terdapat segelintir antara kita yang tidak dapat menahan amarah dalam melayan kerenah anak-anak. Jika ini berlaku, kebiasaanya ibu atau bapa yang terlibat itu sendiri yang mempunyai masalah ‘panas baran’ atau cepat marah.
Kegagalan dalam pengurusan kemarahan ini bukan saja menjadi beban kepada keluarga tetapi juga orang lain disekitarnya – di rumah, di jalan raya mahupun di tempat kerja. Malahan ia juga menjadi antara punca kepada kes-kes jenayah lain di seluruh dunia.
BERKAIT: Ibu ditahan kerana membunuh anaknya
Perasaan marah
Menurut Dr Ranjinder Singh, seorang pakar psikiatri, perasaan marah adalah sesuatu yang normal dan semulajadi, sama seperti perasaan gembira dan sedih. Namun ia adalah satu emosi yang mampu membawa kemusnahan jika gagal diuruskan dengan baik. Malahan, ia sering menjadi punca kepada kes-kes yang di bawa ke bahagian accident and emergency di mana-mana hospital.
Menurutnya lagi, mereka yang bermasalah dalam pengurusan kemarahan harus belajar mengurus dan menangani sikap panas baran mereka serta mengelakkan situasi-situasi yang boleh menaikkan amarah. Pengurusan kemarahan yang baik tentu sekali dapat mengelakkan kemusnahan fizikal dan psikologi individu tersebut.
Klik page 2 untuk info ‘Bantuan Pengurusan Kemarahan’ dan nombor telefon untuk melaporkan penderaan.
Bantuan pengurusan kemarahan
Bagi individu yang bermasalah dalam pengurusan kemarahan, kelas-kelas pengurusan kemarahan serta sesi kaunseling amat membantu. Kaunselor pengurusan kemarahan dapat membantu mengenalpasti tanda-tanda awal dan mengajar langkah-langkah yang dapat diambil untuk bertenang dan menghadapi situasi dengan cara positif.
Kelas pengurusan kemarahan tidak akan menghilangkan perasaan marah tetapi akan mengajar bagaimana untuk melepaskan kemarahan dengan cara yang lebih sihat serta membina.
Terapi pengurusan kemarahan boleh dilakukan secara individu bersama pasangan atau ahli keluarga manakala kelas pengurusan kearahan secara berkumpulan pula dapat memberi peluang kepada individu untuk bagaimana orang lain menghadapi dan menangani cabaran yang serupa dan mendengar kejayaan dan kegagalan rakan-rakan secara persendirian.
Dapatkan bantuan awal di Klinik Psikiatri dan Psikologi di mana-mana hospital. Anda juga boleh dapatkan bantuan di Klinik Psikiatri dan Psikologi di universiti-universiti seperti UiTM yang membuka kliniknya pada setiap hari Rabu 2 – 5 petang di UiTM Specialist Centre, Selayang. Maklumat lanjut boleh diperoleh di https://medicine.uitm.edu.my pada pautan ‘Clinical Service’atau hubungi 03-6126 4817 untuk temujanji.
BERKAIT : Maid gets 20 years for throwing baby
Laporkan penderaan
Bagi orang ramai yang mengesyaki berlakunya kes dera, sila laporkan kepada salah satu antara berikut:
• Talian teledera: 1 800 88 3040
• Talian Nur: 15999
• Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berhampiran
• Mana-mana ahli Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak / Pusat Aktiviti Kanak-Kanak di kawasan berlakunya penderaan
• Pusat Krisis Sehenti di mana-mana hospital kerajaan
Individu yang didapati bersalah melakukan penderaan boleh didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak (AKK) iaitu kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Rujukan:
Reman ibubapa budak mangsa dera disambung
Anger Management – Mind Matters
Pernahkah anda berhadapan dengan kes penderaan begini? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen di bawah 🙂