Kehadiran cahaya mata menjadi penyeri hubungan suami isteri. Namun tidak semua kisah berakhir dengan bahagia, ada yang diuji isteri dan anak meninggal ketika bersalin.
Mahu ataupun tidak, inilah hakikat sebuah perpisahan di dunia. Mana-mana suami terpaksa menelan kepahitan untuk menerima kehilangan orang tersayang pada hari yang sama.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Ibu dan anak alami komplikasi ketika kandungan berusia 32 minggu, terputus bekalan oksigen
- Suami sebak ucap selamat tinggal buat kedua puterinya
- Suami meredhai pemergian isteri yang meninggal ketika bersalin
Ibu dan anak alami komplikasi ketika kandungan berusia 32 minggu, terputus bekalan oksigen
Seorang pengguna Facebook iaitu Dzul Hisham menerusi satu hantaran berkongsi khabar duka apabila isteri dan bayi perempuannya telah dijemput Ilahi.
Menjengah di profil milik Dzul, pada 12 Julai lalu, dia telah memuat naik satu hantaran di akaun Facebook meminta orang ramai mendoakan keselamatan isteri dan kandungannya.
Dan pada jam 11:35 am pada hari yang sama pula, dia memuat naik status di mana bayi perempuan yang juga anak keduanya itu tidak dapat diselamatkan kerana terputus bekalan oksigen daripada ibunya.
“Anak kedua kami tidak dapat diselamatkan kerana terputus bekalan oksigen dari ibunya. Kandungan 32 weeks (7 bulan) sepatutnya dah boleh survive. Tapi Allah lebih menyayanginya melebihi kasih sayang kami.
“Baby tunggu abi dan ibu di syurga okay. Baby doakan abi dan ibu juga ke Syurga. Baby pergi dulu main-main dengan tok aboh, toknyang dan tokwer dulu.
Bapa saudara baby pun ada tu, pok ngoh zulhilmi ada. Abi kena jaga ibu dan abang umar dulu. Isteri saya sekarang selamat dimasukkan di ICU hospital Kuala Krai. Mohon doa yang baik-baik dari semua,” tulisnya.
Suami sebak ucap selamat tinggal buat kedua puterinya
Walau bagaimanapun, Allah SWT lebih menyayangi si ibu dan anak. Mereka berdua telah dijemput Ilahi. Berita sedih itu dimaklumkan sendiri oleh si suami menerusi hantaran di Facebook.
“Telah kembali ke rahmatullah isteri dan anak perempuan kesayangan saya. Sayangnya saya pada mereka, sayang lagi Allah pada mereka.
Semoga roh isteri dan anak perempuan saya direhatkan di illiyin bersama orang-orang yang beriman, soleh dan solehah. Saya maafkan semua kesalahannya dan redha atas pemergian anak dan isteri. Syurga buat mereka. Saya yakin dengan janji Allah SWT.
Suami meredhai pemergian isteri yang meninggal ketika bersalin
“Sabda Rasulullah SAW: Dalam hadits yang lain, dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W bersabda, “Jika seorang wanita melaksanakan solat lima waktu, melaksanakan puasa di bulan Ramadan (dengan sempurna), menjaga kemaluannya/kehormatannya (yakni menutup aurat menepati Syara’), dan mentaati Suaminya, maka ia akan masuk syurga dari pintu mana saja ia kehendaki.” (HR Ibnu Hibban dalam Sohihnya).”
Mengakhiri hantaran hiba itu, dia turut menyatakan dia bukanlah seorang manusia yang baik, dia hanya dia menumpang dan berpaut kepada anak dan isteri untuk turut sama ke Syurga Allah SWT.
“Semoga anak syurga kami menunggu kami di pintu syurga kelak. Sayang berehatlah dulu, jaga anak perempuan kita. Nanti Abi datang dengan Umar,” tulisnya.
Perancangan Allah adalah lebih baik, sebak tidak terkata. Namun apakan daya, Tuhan lebih menyayangi mereka. Takziah diucapkan kepada keluarga arwah.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Waspada Jangkitan Kuman GBS Ketika Hamil, Ia Penyebab Keguguran & Risiko Stillbirth
Baca juga: Ibu Diminta Waspada 4 Jenis Penyakit Kanak-Kanak Ini, Amat Membahayakan Si Manja!
Baca juga: Hati-Hati Menjemur Bayi Dalam Keadaan Telanjang Boleh Meningkatkan Risiko Kanser Kulit