Menjaga kebersihan adalah salah satu peraturan utama bagi manusia dalam kehidupan. Oleh demikian, anda dan pasangan perlu bekerjasama dalam memastikan tubuh badan dibersihkan terlebih dahulu sebelum bersama.
Jika perkara mudah ini gagal dilakukan, anda berisiko mendapat jangkitan kuman penyakit.
Memandangkan seluruh negara di dunia sedang diserang virus penyakit misteri, Coronavirus, adalah lebih baik anda meningkatkan amalan menjaga kebersihan ketika berada di luar rumah atau ingin memulakan hubungan intim.
Amalan menjaga kebersihan sebelum seks
Tidak dinafikan fitrah setiap manusia akan mudah berasa terangsang apabila bersama dengan pasangan. Meskipun angka pesakit yang positif Covid-19 semakin meningkat saban hari, ia tidak bermakna anda dan suami perlu ‘berpuasa’ dari melakukan hubungan seks.
Anda perlu menyedari bahawa aktiviti seksual antara suami isteri menjadi titik yang menjadi punca berlakunya penyebaran pelbagai jangkitan kuman penyakit.
Namun, hal yang perlu ditekankan adalah amalan kebersihan sebelum dan selepas anda memulakan aksi. Jika baru sahaja pulang dari kerja, elakkan dari terus berpelukan dengan suami. Sebaiknya amalkan tips menjaga kebersihan ini dengan:
#1. Mandi terlebih dahulu
Dalam mengekang penularan wabak Covid-19 yang membimbangkan masyarakat seluruh dunia, anda perlu kerap basuh tubuh badan menggunakan air bersih.
Hal ini kerana menurut pakar kesihatan, Coronavirus terkenal dengan sifatnya yang takut air. Jadi anda perlu melindungi diri dengan kerap mandi, jaga pemakanan dan mengehadkan pergerakan.
Menurut Doktor Kesihatan Profesional (MBBS), Dr Noordin Darus, dia turut menggesa orang ramai supaya tidak panik kerana tindakan ini akan mempengaruhi dan menurunkan sistem imuniti badan.
“Apa yang menyebabkan anda mudah terkena jangkitan sesuatu virus atau penyakit adalah bergantung kepada imuniti tubuh. Langkah pencegahan yang paling mudah adalah anda perlu sentiasa meningkatkan amalan menjaga kebersihan diri,” ujarnya
#2. Menggosok gigi
Elakkan dari mandi tanpa menggosok gigi kerana perbuatan ini akan mengumpul pelbagai bakteria dalam mulut.
Ia sekaligus membuatkan anda memiliki bau mulut yang kurang menyenangkan dan boleh mengurangkan tarikan pasangan untuk melakukan hubungan seks.
Dalam hal ini, anda disarankan untuk menggosok gigi selepas makan dan malam sebelum tidur. Berus selama 2-3 minit. Jika diabaikan, sisa makanan akan masuk di bahagian celah gigi dan berisiko mengalami kerosakan gigi.
Amalan memberus gigi sehingga bersih dan secara teratur membantu membersihkan sisa makanan dan plak gigi. Ini dapat mencegah kerosakan gigi (karies gigi), penyakit gusi (penyakit periodontal) dan nafas berbau (halitosis).
#3. Basuh dengan air bersih
Untuk para isteri, anda perlu membersihkan bahagian vagina dengan air bersih. Elakkan menggunakan sabun atau cairan pembersih wanita kerana ia boleh mempengaruhi nilai pH dan boleh menyebabkan kekeringan.
Langkah penjagaan kebersihan ini perlu dilakukan sebelum atau selepas melakukan hubungan seks agar diri anda terhindar dari sebarang penyebaran kuman penyakit.
Jangan lupa untuk menggunakan tuala kering yang bersih untuk mengeringkan bahagian sensitif ini.
Selain itu jika anda mendapati seluar dalam mengalami kebasahan kerana pengeluaran cecair vagina, peluh atau terkena air ketika membuang air kecil, pastikan anda menggantikannya dengan yang baharu.
Bahagian alat kelamin ini akan ‘terperap’ begitu lama dapat mengumpulkan bakteria sehingga mendatangkan bau vagina. Hal ini menyebabkan suami hilang selera untuk bersama anda, malah mungkin dia boleh pura-pura tidur!
#4. Cuci tangan dan kuku
Suami atau isteri perlu sentiasa mencuci tangan atau kuku sebelum dan selepas anda melakukan hubungan persetubuhan.
Elakkan menyimpan kuku panjang kerana ia boleh menggalakkan perpindahan kuman kepada bahagian alat sulit. Bukan itu sahaja, ia mungkin boleh mengakibatkan kecederaan kepada pasangan ketika anda begitu ghairah melakukan aksi menyeronokkan bersama pasangan.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), menjaga kebersihan tangan satu langkah paling penting dan mudah yang boleh anda ambil untuk mengelakkan jangkitan penyakit dan penyebaran kuman.
Tangan antara anggota yang banyak organisma halus sama ada bakteria, virus atau alga. Dalam sehari, ratusan permukaan yang anda sentuh dan pelbagai organisma halus termasuk bakteria dan virus yang menjadi punca penyakit.
Tangan juga ejen pengangkutan paling cekap memindahkan bakteria dan virus kerana apabila menyentuh muka terutama mata, hidung atau mulut, organisma halus ini terus sampai ke pintu masuk bahagian badan.
#5. Mencukur bulu kemaluan
Hal yang penting bagi mengelakkan wabak Coronavirus adalah dengan merapikan bulu di sekitar alat sulit anda dan pasangan.
Tidak perlu untuk mencukurnya sehingga habis, cukuplah sekadar anda merapikannya agar tidak terlalu lebat dan menjadi sarang kepada pelbagai bakteria.
Merapikan bulu pada zakar dan vagina amat penting kerana apabila anda berada di bawah cuaca yang panas serta lembab, ia akan mengeluarkan peluh dan sekaligus meningkatkan kuman pada bahagian sensitif ini.
#6. Memastikan alat kelamin bersih dan kering
Kulit di bahagian kelamin lelaki tidak terlalu berbeza dari kulit bahagian badan yang lain. Sekiranya anda berenang, mandi atau berpeluh, pastikan anda membersihkan celah kankang ini dengan baik.
Di samping itu, suami juga perlu membersihkan zakar sebelum melakukan seks untuk memastikan aktiviti seks yang selamat kerana aktiviti ini adalah sumber terbesar penyebaran jangkitan.
#7. Gunakan air suam
Bagi para suami, anda perlu menarik bahagian kulup zakar ke belakang dan basuh bahagian ini menggunakan air suam.
Jangan lupa untuk membasuh juga kulit bahagian bawah buah zakar kerana bakteria, sel kulit mati dan perpeluhan kerap berlaku. Seterusnya, keringkan sepenuhnya menggunakan tuala bersih.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga: