Sejak kebelakangan ini, agak kerap ibu-ibu meluahkan perasaan sebaik sahaja mengetahui diri termengandung lagi. Ada kes sudah merancang, tetapi terbabas juga dan lebih teruk ada yang nekad untuk gugurkan kandungan. Justeru, kami kongsikan sebuah kisah benar bagi memberi motivasi ibu hamil agar tidak berasa tertekan.
Apabila melihat sahaja anak yang masih bayi, seolah-olah bagai semalam anda baru sahaja masuk ke bilik bersalin. Rasa sakit dan badan baru sahaja dalam proses pemulihan, kini perlu bersedia menyambut ahli baharu dalam keluarga.
Motivasi ibu hamil yang mengandung dalam keadaan tidak bersedia
Seperti kisah benar yang dikongsikan oleh pengguna Facebook (nama dirahsiakan), selepas bersalin anak ketiga, dia merancang seperti biasa. Jenis kaedah apa tidak dinyatakan kerana setiap perancang akan akan risiko dan tahap keberkesanannya.
Disebabkan merancang, itulah terlalu yakin tidak akan mengandung. Tapi kuasa Allah siapa yang tahu walaupun sudah pakai perlindungan apa sekali pun, kalau Allah berkehendak, Kun Fayakun.
Pada mulanya, tidak datang bulan saya anggap biasa sebab hormon selepas bersalin sememangnya berubah. Pengalaman anak-anak sebelum ini juga seperti itu dan saya hanya biarkan sahaja.
Cumanya setiap bulan saya akan timbang berat, pelik sebab bertambah naik. Selera makan pun meningkat, suami syak saya mengandung. Tapi saya menafikannya. Selepas berbincang dan buat UPT, naik double line. Tapi rasa tidak percaya, mustahil lah mengandung kan?
Perut kelihatan buncit, mula terfikir untuk gugurkan kandungan
Selepas test pertama, saya hanya biarkan sahaja perkara itu berlalu sehinggalah selepas 3 bulan period tidak datang. Lalui kehidupan seperti biasa, sehinggalah suatu hari ditegur oleh rakan sekerja. Kenapa perut buncit lain macam. Ya, perut buncit dan memang rasa lain.
Pakai bengkung pun tidak surut perut tu dan selalu rasa sebu. Buat sekali lagi UPT, double line naik lebih terang dan terus bagitahu suami, betul lah kali tu dan tidak rosak lagi.
Selepas tahu mengandung, memang rasa down habis. Kemurungan kami suami isteri satu hari, rasa nak buang anak ni pun ya. Tapi istighfar cepat-cepat, Na’udzubillah, kenapa aku menolak rezeki Allah.
Kemudian macam-macam otak fikir, mampukah aku urus anak ini dengan adil. Suami masa tu fikirkan pasal rezeki dan saya positifkan balik fikiran dia.
Bab rezeki anak tu tak payah fikir, akan ada bahagian dia nanti. Cuma fikirkan kesiankan dia, takut tak mampu nak urus anak kecil yang rapat, maklumlah umur setahun masih perlukan perhatian dan kasih sayang.
Selepas istighfar dan renung sejenak, saya dan suami kembali positif. Yakin dengan perancangan Allah dan serah segalanya pada Dia. Selepas tu baru lah pergi ke klinik swasta, scan dulu nak tengok berapa bulan. Rupanya dah nak masuk 5 bulan dah, sihat sempurna dijaga Allah.
Bila pergi klinik kesihatan untuk buka buku pink, kena bebel jugalah tapi saya senyap je. Sebab nurse tidak faham situasi kita, saya hanya diam dan tidak menjawab apa yang dia bebelkan.
Segala urusan telah dipermudahkan
Bila nak bersalin ni, segala yang saya risau masa mengandung tu, Allah dah tunjukkan. Dia jadikan anak ketiga saya sangat memahami walaupun usianya baru setahun. Mudah disuruh, tidak meragam dan cemburu dengan adik.
Walaupun kecil, nampak dia memang bersedia menjadi kakak. Si adik pula tidak banyak ragam, seolah-olah memahami keadaan ibu dan ayah. Ya, Allah bantu. Rezeki, ada sahaja yang masuk walaupun suami bekerja sendiri.
Jadi ambil pengajarannya, jangan risau kalau termengandung lagi walaupun sudah merancang. Motivasi ibu hamil adalah anda kena yakin sepenuhnya pada perancangan Allah, Dia lebih tahu apa yang terbaik buat kita dan tidak akan beri sesuatu sekiranya tidak mampu.
Sumber: Hamil Dalam 3 Bulan
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: ”Kecewa Dapat Tahu Hamil No.2, Tapi Dialah Paling Mudah Sampai Bersalin Di Rumah”