Apabila menyentuh tentang musim sejuk, pasti anda akan membayangkan suasana salji turun dari langit dan seronok dapat bermain mencipta orang salji.
Namun, keadaan ini sebenarnya menjadi sebuah mimpi ngeri buat seluruh pelarian Syria yang berjuang meneruskan kehidupan mereka.
Dilanda musim sejuk
Konflik peperangan yang masih berpanjangan telah memaksa mereka berdepan dengan masalah penindasan dan kemiskinan sehingga bertahun lamanya.
Menyedari hal ini, kumpulan NGO dari Malaysia telah melancarkan pelbagai cara untuk mengutip dana bagi memberikan kehangatan kepada ahli saudara di Syria yang berhadapan dengan musim sejuk dalam serba kekurangan.
Cuaca musim sejuk yang melampau boleh mencecah sehingga -1 darjah celsius begitu memberikan bahaya kepada mereka sehingga boleh menyebabkan kematian terutama kepada bayi dan kanak-kanak.
Memetik laporan agensi berita Aljazeera, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, sekurang-kurangnya 29 kanak-kanak dan bayi baru lahir maut akibat cuaca sejuk melampau dan hipotermia di timur laut Syria pada bulan Januari lalu.
Bantuan yang akan diberikan meliputi barangan bukan makanan seperti jaket/baju sejuk, stoking, kasut, selimut, tilam, kayu api, arang, kanvas dan plastik penebat haba.
Kematian menyayat hati
Menurut perkongsian akaun Facebook Serantau Muslim, kumpulan mereka telah menerima beberapa keping gambar menunjukkan keadaan pelarian Syria yang dihantar bersama dengan emotikon menangis.
”Pada mulanya, saya pelik juga. Kenapa gambar berkenaan dihantar sekali dengan emotikon menangis bagai. Sekali pandang, macam tiada apa dalam gambar ni kerana mereka kelihatan sedang tidur sahaja,” katanya.
Namun, sangkaannya meleset kerana gambar seorang ayah bersama dua anaknya tersebut bukanlah sedang tidur, tetapi telah meninggal dunia!
”Setelah membaca setiap penerangan dari partner yang berada di sana, Masyallah, sebenarnya mereka telah menemui ajal ketika sedang nyenyak tidur.”
Lemas dalam asap tebal
Mengapa kejadian ini boleh terjadi? Ia sebenarnya disebabkan oleh kepulan asap yang keluar dari tempat pemanas api.
”Bayangkan sahaja anak kecil itu batuk-batuk dan sukar mendapatkan oksigen kerana musim sejuk yang melanda begitu teruk. Lagi disedut asap pemanas api, mereka akan makin lemas,” ujarnya
Hal yang paling menyedihkan adalah asap dari pemanas api berkenaan hanya berlegar-legar di dalam khemah sahaja dan tidak keluar.
Kesannya, mereka yang berada di dalam khemah berkenaan akan menjadi pengsan, lemah pernafasan dan meninggal dunia akibat tidak cukup oksigen.
”Perkara inilah yang saya cukup takut ia berlaku sewaktu ke Syria baru-baru ini. Masa di sana, kami sempat masuk beberapa buah khemah untuk menyantuni golongan pelarian.” ujarnya.
Tambahnya, dia berasa tidak sedap hati apabila melihat keadaan di dalam khemah mereka kerana ia tidak sama seperti khemah dalam trip bantuan sebelum ini.
Tiada sistem pengudaraan yang baik
”Khemah yang saya masuk pada kali ini seperti dalam keadaan bahaya kerana ia tidak memiliki sistem aliran udara yang baik bagi pengguna.”
”Saya ada menyuarakan kerisauan ini kepada partner di sana kerana begitu banyak pemanas api kecil yang cukup bahaya kepada mereka yang berada di dalam ruang berkenaan,” katanya.
Kongsinya lagi, ia memiliki bentuk seperti anda merebus air pada zaman dahulu menggunakan kayu api dan saiznya seperti periuk nasi.
Bayangkan sendiri asapnya berkepul-kepul dan terperangkap dalam khemah.
Katanya lagi, keluarga ini adalah pelarian baru yang tiba pada bulan Januari lepas dan hanya meneruskan kehidaupan dalam keadaan yang serba-serbi kekurangan.
”Serangan baru-baru ini telah berlaku di wilayah Idlib, Syria telah menghalau keluar ratusan ribu pelarian baru untuk tiba di sempadan negara,”
Hulurkan bantuan, ringankan beban
Mereka datang sehelai sepinggang, baju sejuk diperoleh melalui bantuan yang diterima. Justeru sudah semestinya mereka tidak sempat untuk memikirkan sistem pengudaraan dalam khemah.
Memperoleh tempat berteduh sahaja sudah cukup memadai bagi mereka meneruskan kehidupan. Setiap hari pastinya cukup mencabar kerana suhu yang terlalu sejuk mencapai takat beku.
Katanya, kedatangan pelarian baru dengan jumlah yang cukup besar telah membuatkan mereka menemui jalan buntu untuk menghulurkan bantuan.
Misi bantuan kemanusiaan ini berhadapan dengan halangan apabila gelombang pelarian yang baru tiba dari Idlib adalah lebih kurang 250 000 orang.
”Kami jadi buntu. Duit yang sedia ada sudah habis dibelikan selimut, jaket, diesel, makanan dan khemah. Heater punya peruntukan tidak banyak. Ada kami belikan, cuma kuantitinya sedikit sahaja,” kongsinya.
”Tapi, bila keadaan menjadi teruk seperti ini, saya tidak sanggup untuk melihat mereka mati kerana kesejukan. Jadi saya dan kumpulan Serantau Muslim nekad untuk mendapatkan sumbangan orang ramai agar nyawa dapat diselamatkan,”
”Saya percaya, ramai yang nak rebut pahala infaq yang dijamin akan digandakan rezeki oleh Allah. Apatah lagi infaq untuk selamatkan nyawa manusia, inshaAllah lagilah berganda2 ganjaran!
Sumber: Serantau Muslim
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.comalahan-pada-sejuk