Memilih untuk mengikat peranakan atau terpaksa mengikat peranakan kadang kala perlu dihadapi wanita kerana keadaan itu mungkin perlu dalam keadaan tertentu. Tetapi adakah benar jika melalui prosedur itu wanita akan kurang nafsu seksual?
Sejauh manakah kebenaran bahawa nafsu seksual wanita akan berkurang jika peranakannya diikat?
Gerun pula mendengarnya apabila peranakan diikat hilang nafsu seksual untuk bersama suami. Sejauh manakah kebenarannya dan apakah asas kepada kenyataan itu?
Nafsu seksual berkurang selepas ikat peranakan?
Dalam artikel yang dikongsikan hellodoktor, ia menjelaskan mengikat peranakan tidak akan menganggu keinginan nafsu seksual wanita malah ia sepatutnya membuatkan mereka lebih relaks kerana tidak perlu takut untuk hamil selepas melakukan seks.
Ikat peranakan atau istilah perubatannya tubal ligation (TBL) juga dikenali sebagai tubal tied dan tubal sterilization adalah merupakan sejenis kawalan kelahiran kekal.
Ia biasanya dibuat bagi mengawal kelahiran kekal sama ada disebabkan ibu ada masalah tertentu atau dia sudah melalui lebih daripada beberapa pembedahan. Prosedur ini hanya dilakukan atas nasihat doktor sahaja.
Semasa prosedur ini dijalankan, tiub fallopio akan dipotong, diikat atau disekat untuk mencegah kehamilan secara kekal.
Tubal ligation adalah istilah umum bagi prosedur ikat rahim. Jika anda ingin mengikat sebelah ovari, ia dikenali sebagai unilateral tubal ligation.
Manakala bilateral tubal ligation bermaksud prosedur mengikat kedua-dua belah ovari. Proses ikat peranakan ini akan menghalang telur bergerak daripada ovari melalui saluran fallopian.
Ia juga menyekat sperma daripada meneruskan perjalanan menuju tiub fallopio untuk sampai ke telur. Umumnya, prosedur ini tidak mempengaruhi kitaran haid anda.
Bukan suka-suka boleh ikat peranakan
Prosedur ini boleh dilakukan pada bila-bila masa, termasuk setelah melahirkan anak atau dalam kombinasi dengan pembedahan perut yang lain, seperti C-section.
Dalam kebanyakan kes ikat rahim, ia amat berkesan sehingga 99 peratus dan semua wanita boleh menjalani prosedur ini.
Walau bagaimanapun, kaedah tubal ligation hanya disarankan untuk dipertimbangkan oleh wanita yang tidak berkeinginan untuk hamil lagi, atau sama sekali tidak mahukan anak.
Ini kerana setelah seorang wanita melalui proses mengikat rahim ini, adalah sangat sukar untuk membalikkan prosesnya. Sekiranya pembalikan dilakukan, ia memerlukan pembedahan besar dan tidak selalunya berkesan.
Anda lebih menikmati seks selepas ikat peranakan
Ada yang mempercayai bahawa prosedur ini akan menyebabkan wanita hilang keinginan seks atau kehilangan kemampuan seksual mereka.
Hakikatnya ia adalah mitos semata-mata. Ini kerana seorang wanita yang menjalani prosedur mengikat rahim tetap akan kelihatan dan berasa sama seperti sebelumnya. Tiada yang berbeza.
Tidak berlaku penurunan dalam dorongan atau keinginan seksual pada wanita yang memilih untuk melakukan kaedah ikat peranakan ini.
Anda boleh melakukan hubungan seks seperti sebelumnya. Malah, anda mungkin akan menikmati seks kerana tidak perlu berasa risau tentang kehamilan.
Kelebihan ikat peranakan
Sekiranya anda sedang mempertimbangkan untuk mengikat peranakan, anda perlu bersedia dan memahami kelebihan serta kekurangannya.
#1. Kekal
Ia bersifat kekal tanpa perlu melakukannya setiap tahun. Pastinya kaedah ikat rahim ini satu kelebihan sekiranya anda sudah memutuskan untuk tidak mahu kembali hamil lagi.
#2. Berkesan
Wanita yang memilih untuk melakukan ikat peranakan ini dijanjikan tahap keberkesanan yang tinggi. Ini kerana hanya sekitar satu daripada 200 wanita kembali hamil selepas menjalani prosedur ini. Angka itu adalah kurang daripada satu peratus.
#3. Tidak jejaskan hormon
Kaedah ini tidak akan mengubah kitaran haid atau menyebabkan anda menopaus. Malahan, ia tidak mempunyai sebarang kesan sampingan seperti pil kawalan kelahiran. Contohnya, keinginan seksual, perubahan mood, kenaikan berat badan, atau sakit kepala.
Prosedur ikat rahim juga tidak mendatangkan kesan sampingan seperti kaedah IUD – kekejangan, tempoh haid yang lebih berat atau tompokan darah.
#4. Tiada kerisauan
Anda tidak perlu bimbang tentang sebarang perkara seperti memasukkan diafragma, mengambil pil, menggunakan kondom atau menghitung hari ovulasi di kalendar.
Pastinya ia akan membuatkan hari anda lebih tenang dan membolehkan anda berasa bahagia semasa hubungan intim.
#5. Kurang risiko kanser ovari
Antara kelebihan kaedah tubal ligation adalah ia boleh mengurangkan risiko untuk anda menghidap barah ovari.
Saintis tidak pasti mengapa ia berlaku, tetapi berdasarkan penyelidikan menunjukkan bahawa mengikat rahim dapat menurunkan kemungkinan mengalami penyakit ini.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber; hellodoktor
Baca juga:
5 Cara Bersetubuh Agar Cepat Hamil, Ayuh Cuba!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!