Sebut saja nasi daging utara memang tidak asing lagi bagi orang di daerah sana, biasanya menu ini hanya akan muncul pada hari keramaian seperti hari raya atau kenduri kahwin.
Tak perlu lauk yang banyak, cukup dipadankan dengan air asam padu yang memang sangat menyelerakan malah nasi daging utara sangat mudah untuk disediakan.
Bagi anda yang kesuntukan masa kerana perlu menyiapkan pelbagai hidangan lain boleh menyediakannya sebagai menu utama untuk hari raya esok. Bagaimanapun seeloknya daging direbus awal agar masa memasak dapat disingkatkan.
Nasi daging terkenal di utara semenanjung
Kelazatan menu ini terletak pada air asam dan cara penyediaannya manakala daging direbus dengan sedikit garam sehingga daging lembut manakala nasi yang wangi beraroma minyak sapi mampu meningkatkan selera.
Perkongsian Nasi Daging Utara oleh pengguna Facebook Norzy Yusuff di laman Masak Apa Hari Ni (MAHN) boleh dijadikan panduan bagi anda yang mungkin ingin menyediakan hidangan ini sebagai menu hari raya atau rumah terbuka nanti.
Bahan utama :
- Daging direbus empuk dan ketepikan
- Rendam beras Basmathi 3 pot selamat 30 minit
Bahan tumisan :
- 2 sudu minyak sapi dan 2 sudu minyak masak
- 2 biji bawang besar (dimayang halus)
- 6 ulas bawang puith (dimayang halus)
- 3 inci halia (dimayang halus)
- 4 rempah sekawan (kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga)
- 2 sudu rempah kurma
- 2 helai daun pandan
- 2 biji tomato
- 3/4 tin susu cair
- 3/4 sudu penuh garam
- Sedikit perasa
- Air rebusan daging
- Daun ketumbar
Cara penyediaan :
1.Tumiskan rempah empat, bahan bertanda* yang telah dimayang.
2. Kemudian masukkan daun pandan dan rempah kurma. Pastikan garing.
3. Masuk air rebusan sebanyak 4 1/2 pot yang sama digunakan untuk menyukat beras bersama susu cair.
4. Didihkan sebentar kemudian masukkan garam, serbuk perasa dan tomato.
5. Toskan beras basmati dan masukkan ke periuk nasi.
6. Kemudian masukkan tumisan dan daging yang sudah direbus empuk.
7. Akhir sekali apabila nasi sudah masak, masukkan daun ketumbar. Nasi akan menjadi gebu dan wangi.
Tips :
- Nasi jangan dikacau ketika sedang dimasak untuk mengelakkan beras patah
- Resipi ini nasi yang terhasil sedikit lembut, jika mahu nasi berderai boleh kurangkan 1/2 cawan air rebusan daging
*Resipi air asam kerisik bawang
Bahan-bahan :
- 2 biji bawang besar
- 2 biji tomato
- 10 biji cilipadi
- 1 mangkuk air asam jawa
- 3 sudu kerisik
- Belacan bakar
- Garam
- Gula
- Bahan perasa
Cara penyediaan :
1. Gaulkan kesemua bahan air asam.
2. Biarkan seketika supaya semua bahan air asam sebati.
Selamat mencuba!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga : Sambal Goreng Jawa Mudah Sahaja Nak Masak, Hidang Di Pagi Raya Pasti Jadi Rebutan
Baca juga : Menu Wajib Disediakan Semasa Hari Raya, Mana Satu Kegemaran Anda?
Baca juga : Senarai Menu Open House Yang Mudah & Sedap, Jadi Kesukaan Keluarga Serta Tetamu