Walaupun zaman semakin moden, masih ada lagi ibu ayah yang tidak mengikuti setiap nasihat kesihatan yang diberikan doktor. Ada yang lebih ikut cakap-cakap orang yang tidak bertauliah walaupun berkaitan kesihatan anak sendiri.
Apa maklumat lanjut yang akan anda baca dalam artikel ini?
- Nasihat kesihatan doktor diabaikan, ibu hentikan ubat sebab luaran bayi nampak okay
- Orang sekeliling jangan pandai-pandai beri nasihat kesihatan kalau bukan pakar
Perkongsian seorang doktor di laman Facebook membuka mata kita bahawa masih ramai lagi ibu ayah yang tidak cakna mengenai nasihat kesihatan diberikan pakar perubatan.
Apa yang mereka tahu hanya mengikut cakap orang sekeliling sedangkan kesihatan dan masa depan anak menjadi taruhan.
Nasihat kesihatan doktor diabaikan, ibu hentikan ubat sebab luaran bayi nampak okay
Menurut Dr Rashdan Mohamed dalam satu hari saja yang dialaminya ada beberapa kes mengabaikan nasihat kesihatan daripada doktor yang akhirnya memudaratkan anak.
Katanya, ada kes berkaitan pesakit hipotiroid kongenital. Pesakit itu dikesan menghidap hipotiroid kongenital sejak bayi dan diberikan preskripsi ubat pil gantian hormon tiroid.
Namun, selepas bayi berumur 1 tahun lima bulan, ibunya hentikan ubat dan tidak lagi membawanya berjumpa doktor atas alasan orang sekeliling iaitu jiran dan keluarga nampak bayi sihat dan ‘ok’.
Ada pula yang kata ‘kasihan bayi kena cucuk ambil darah dan pihak hospital buat eksperimen’. Sebab termakan kata-kata itu anaknya kini yang berumur tiga tahun mengalami lewat perkembangan dan terbantut!
Darahnya menunjukkan hipotiroid yang tidak dirawat dan tinggi. Tak pasal-pasal anak itu kini terbantut perkembangan, jadi lembam dan IQ rendah kerana tidak menerima rawatan sewajarnya.
Orang sekeliling jangan pandai-pandai beri nasihat kesihatan kalau bukan pakar
Ada ibu ayah yang mudah termakan cakap orang, namun ada juga yang keras hati demi kesihatan anak. Doktor ini mengakui, sifat ibu bapa main peranan dalam memastikan kesihatan anak terjamin.
Ikuti perkongsian doktor ini”
“Pesakit T1DM (kencing manis) saya ada orang nasihatkan ibunya, tak perlulah cucuk insulin, tak perlulah check gula. Cucuk sana sini. Kesian budak. Nasib baik mak dia “keras hati” tak dengar kata. Sebab dia tahu bahaya DKA kalau tak cucuk insulin.”
TD1M adalah kencing manis yang berlaku akibat insulin langsung tidak dibuat oleh badan anda kerana sistem imun badan anda sendiri menyerang dan merosakkan sel-sel di pankreas yang bertanggungjawab untuk membuat insulin.
Kebanyakan diagnosis didapati dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda dan pesakit memerlukan insulin setiap hari untuk terus hidup.
Katanya, mereka yang terkenal dan berkemampuan pun patuh pada nasihat kesihatan daripada pakar perubatan bertauliah. Seperti anak kepada Kate Moss, iaitu Lila Moss seorang model dan peragawan yang menghidap T1DM. Di lengannya dipakaikan Continuos Glucose Monitor (GCM) untuk memantau gula dalam darah.
Jadi tidak perlu ambil darah dan cucuk berkali-kali. Mudah saja imbas dari alat itu sudah tahu bacaan gula.
Jadi katanya alat itu sepatutnya boleh juga dipakaikan kepada bayi yang ada TD1M untuk mudah gula dipantau. Bayi baik-baik saja dan tidak sakit, namun kadang kala cakap-cakap orang seperti ‘eh, nampak bayi tak selesa’ itu yang buat ada ibu ayah tidak pakaikan.
Sedangkan ia paling mudah untuk pantau kadar gula dalam darah.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Tak Sampai 6 Bulan Lepas Caesar, Ibu Hamil Lagi, Jangan Panik! Baca Saranan Doktor ini
Baca juga: Kasihan Lihat Bayi Tersedu? Ini 6 Cara Hilangkannya Mengikut Saranan Doktor