Nasihat Ustaz mana yang benar-benar menyuntik keinsafan kepada anda? Kalau tanya pada saya, jawapannya adalah Ustaz Ebit Lew, kerana setiap butir bicaranya benar-benar menusuk ke kalbu.
Ini kerana menjadi seorang yang dilahirkan sebagai wanita adalah tidak mudah kerana dalam perjalanan anda dalam hidup itu, kalian akan temui pelbagai cabaran, onak dan duri.
Bermula sebagai bayi baru lahir, kemudian anda menginjak ke usia kanak-kanak yang dapat berlari riang dan gembira. Kemudian, anda menjadi seorang anak gadis yang diajar tutur dan tertibnya.
Selepas itu, ayah tercinta akan berikan tugas yang digalas bertahun-tahun kepada seseorang yang mungkin anda baru kenal atau beberapa tahun kenali iaitu insan yang bergelar suami.
Belum habis setakat itu, selepas selamat bergelar suami kepada seseorang yang dicintai anda naik pangkat lagi dengan bergelar seorang ibu.
Ya, kesemua ini adalah fasa yang bakal ditempuhi oleh wanita dan pada saat inilah pengorbanan anda sangat besar tidak kira yang bekerjaya ataupun suri rumahtangga sepenuh masa.
Nasihat Ustaz Ebit Lew pada suami isteri
Memang penat menjadi seorang ibu dan isteri pada masa yang sama, meskipun anda laluinya dengan penuh gelak dan ketawa.
Namun, ada ketikanya anda mungkin juga bosan dan kecewa. Tapi, kalau suami tolong sikit-sikit rasa bagaikan mahu lompat ke bintang. Bersyukur bagai tak terkata.
Oleh itu, mari kita dengar perkongsian dari Ustaz Ebit Lew ini.
Pada suatu hari, seorang suami datang berjumpa saya dalam keadaan yang sangat marah pada isteri kerana anak baru dua orang tapi rumah tidak terurus dan diri sendiri pun tak pandai jaga.
Menurutnya kepada saya, rumah dalam keadaan yang sangat bersepah, isteri dan anak-anak pun macam tidak terurus.
Lelaki tersebut memang pantang kalau nampak benda bersepah depan mata. Dia nekad tidak mahu balik selagi isterinya tak berubah.
Kemudian, saya kata kepadanya saya pernah melihat seorang ibu di hospital melakukan fisioterapi kerana tangan dan bahunya sakit serta mengalami masalah mendukung anak dalam waktu yang sangat lama.
Bahkan, ia membuatkan kita terkesan dan termenung memikirkan pengorbanan seorang wanita dan ibu. Ya Allah.
Isteri lahirkan anak separuh nyawa
Kemudian saya kata kepadanya, cuba kita ingat semasa isteri melahirkan anak kita yang hampir separuh nyawanya hilang. Selepas itu, mereka terus menyusukan anak kita.
Tak cukup dengan itu, dia dukung anak kita sedangkan dirinya baru melepasi kesakitan paling dasyat dalam dunia. Dulu 9 bulan usung anak dalam perut ke sana ke mari. Tidur, makan mereka semuanya tidak sempurna. Bahkan, nak bangun, duduk, pusing kepala, pinggang semua rasa tak selesa dan sakit.
Kemudian lahirlah anak ditunggu-tunggi itu lantas menyusukannya sehingga dua tahun. Sebelum itu kena bangun setiap dua jam sekali dan ambil masa 30 minit paling kurang. Inilah pengorbanan ibu, namun mereka ikhlas demi Allah dan suami kekuatannya.
Jadi, ringankanlah tugas isteri ini. Tersengguk mereka penuhi segala kemahuan anak. Masa bila mereka tidur? Masa bila mereka berehat?
Terus terang saya katakan, saya sendiri tiada kesabaran dan ketabahan seperti itu. Itulah sifat mulia wanita yang Allah SWT dihadiahkan kepada mereka.
Nasihat ustaz kepada suami, tolong bantu isteri anda
Sebab itu, suami wajib mudahkan segala urusan mereka bersama-sama kerana ini adalah keluarga kita. Ini juga diajar dalam Islam.
Kemudian sayangilah mereka. Jika mereka jaga solat, jaga aurat dan kita reda maka syurgalah tempat mereka.
Hidup ini bukan apa yang kita suka dan tidak, tapi apa yang Allah mahu dari kita. Suami, bertolak ansurlah dengan isteri anda. Bangunkan mereka dengan agama. Itulah cinta sejati.
Saya katakan ini kerana ingat ibu saya. Saya ingat isteri saya. Saya ingat Rasulullah SAW yang amat kasihi isteri dan keluarganya.
Selepas saya ucapkan ini, abang tadi menangis. Katanya mula tersedar dan mungkin dia stres.
Justeru, tahniah kepada semua lelaki yang mengasihi isteri kalian. Hormati, membantu dan pimpin tangan mereka sampai masuk syurga.
Tahniah juga kepada wanita kerana berkorban dengan rasa cinta Allah.
Semoga bermanfaat.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Nona
Sumber gambar: Google
Baca juga
20 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Perkahwinan & Alam Rumah Tangga