Sudah hampir genap 7 tahun saya menjadi seorang ibu dan saya ingin berkongsi pendapat dan pengalaman saya mengenai topik ini.
Kita sering mendengar orang memuji kekuatan ibu yang tidak terbatas disebabkan oleh kasih sayang seorang ibu untuk anaknya.
Orang ramai sering mengkaitkan watak-watak superhero wanita seperti Superwoman ataupun Wonder Woman apabila mengambarkan ibu mereka.
Tetapi di sebalik tirai kekuatan itu, ada satu lagi bahagian yang jarang dibincangkan.
Sebenarnya selepas menjadi seorang ibu, saya rasa lemah, terdedah dan kadang-kadang rasa cepat marah dan senang luka hati.
Sebelum anda membantah kenyataan ini, biar saya terangkan dengan memberikan beberapa contoh kehidupan sebenar.
Senang luka hati
Selepas saya dibuang kerja kerana hamil, saya telah menjadi suri rumah untuk hampir 6 tahun.
Kedua-dua anak perempuan saya betul-betul bertuah kerana saya dapat meluangkan masa dengan mereka dirumah.
Tetapi yang paling bertuah diantara mereka berdua adalah anak sulung saya, kerana dialah yang menerima perhatian yang tidak berbelah bagi sehingga saya melahirkan anak yang kedua.
Saya ingat lagi masa dia masih kecil dan saya tengah cuba buka lock grille pintu.
Pada masa itu dia masih kecil lagi dan suka menunggu dekat pintu kerana tidak sabar nak keluar jalan-jalan.
Saya tersilap pegang lock grille pintu rumah dan ia telah terjatuh dari tangan saya dan terkena tulang bahagian atas pipinya.
Lebam di muka bukan main..nasib tak kena mata. Anak saya menangis kesakitan tapi kuat lagi tangisan dalam hati saya apabila melihat anak sendiri terluka.
Cepat marah
Dua minggu selepas anak sulung saya masuk Tahun 1, dia telah pulang ke rumah sambil mengadu tentang seorang pembuli di kelasnya.
Ibu bapa dan guru-guru lain tetap bersabar walaupun sudah tahu budak lelaki ini telah menimbulkan banyak masalah di dalam kelas.
Tetapi apabila mengetahui budak ini telah menumbuk dan mencekik anak saya, saya rasa sangat marah, macam naik hantu pun ada! Kenapa anak saya?! Perempuan pula itu!
Ibu mana tidak marah kalau anak mereka menjadi mangsa?
Lagi-lagi luka hati
Baru setahun lalu, saya bertuah kerana dapat bekerja sebagai seorang penulis bebas dengan The Asian Parent.
Pada mulanya ia memang sangat mencabar untuk mengimbangi kerjaya, anak dan keluarga.
Kami jarang dapat bermain bersama atau berseronok kerana saya sentiasa sibuk bekerja.
Akhirnya pada suatu hari, anak sulung saya telah berkata dengan marah, “Ibu jarang menghabiskan masa dengan saya lagi! Ibu lebih sayang adik dari saya!” Wah, wah…
Mula-mula saya memang marah. Saya yang tak cukup tidur, penat bekerja dan kena urus ini itu, tetapi tidak ada seorang pun yang menghargai saya.
Setelah rasa marah reda, rasa sedih yang amat pula menyelebungi hati saya. Berkecai hati apabila teringatkan kata-kata anak sulung saya.
“Maafkanlah ibu. Ibu terpaksa kerana perlu mencari duit. Lagipun adik kamu masih kecil dan menyusu lagi,” bisik hatiku.
Sepatah pun tidak keluar dari mulut, kerana saya tahu anak saya tidak akan faham.
Baca juga:
8 Perkara Yang Selalu Dikatakan Kepada Ibu Bekerja Yang Membuatkan Mereka Rasa Dihakimi
Saya bukan seorang ibu yang sempurna
Ya, saya bukan ibu yang sempurna walaupun dari luar saya nampak tenang sahaja.
Mungkin anda pernah nampak wanita yang yakin dan anggun dengan kasut tumit tinggi 4 inci, beg Chanel, makeup dan pakaian yang lawa, sambil mendukung anak pergi shopping di pusat membeli-belah.
Tetapi adakah itu realiti? Tahukah anda betapa susahnya untuk melakukan semua itu bersendirian?
Ya, saya pernah bandingkan diri sendiri yang selekeh, tanpa solekan dan berselipar jepun ketika keluar, dengan ibu-ibu lain yang cantik dan anggun.
Saya tahu, pasti ada yang heboh memberi komen, tetapi saya cukup bersyukur kalau saya berjaya keluar membeli keperluan rumah bersama dengan kedua-dua anak saya dan selamat balik ke rumah tanpa apa-apa drama.
Adakah saya akan rasa sakit hati dengan komen-komen itu? Sudah pasti. Saya kan manusia juga?
Seorang ibu tidak perlu rasa kuat setiap masa
Ini hanyalah sesetengah perkara yang berlaku kepada ibu-ibu, yang boleh menyebabkan mereka rasa lemah dan terdedah.
Ia adalah penting untuk memahami mengapa ini boleh berlaku dan sedar bahawa seorang ibu tidak perlu kuat setiap masa.
Rasa sedih dan sakit hati pasti akan berulang banyak kali. Apabila anak cedera, dibuli, mahupun rasa kecewa.
Pasti hati seorang ibu yang rasa sakit melihat anaknya mengharungi semua ini. Memang benarlah pengalaman menjadi seorang ibu bagaikan pedang bermata dua.
Kadangkala anda akan rasa lemah, tidak terdaya untuk melakukan apa-apa dan sangat beremosi, tetapi sambil anda menitiskan air mata, anda sebenarnya seorang pejuang.
Anda akan menjadi ibu yang lebih kuat. Anda akan mengatasi segalanya walaupun tidak cukup tidur, patah hati dan rasa lemah.
Perlahan-lahan anda akan menjadi lebih kuat, dan setelah bertahun-tahun mengharungi cabaran hidup, suatu hari nanti anda akan ingat kembali saat sukar anda menjadi seorang ibu.
Anda akan mengingatinya dengan penuh rasa bangga!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!