Bersempena Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelma, ramai di antara mereka yang muslim mempunyai niat korban raya haji. Ibadah yang dituntut dalam Islam ini antara ibadah yang ditunggu-tunggu setiap tahun.
Apa yang anda boleh baca dalam artikel ini?
- Niat korban raya haji dan cara-cara untuk melakukan korban
- Perkara yang disunatkan ketika proses penyembelihan
- Syarat pemilihan binatang untuk dijadikan korban
- Fadhilat melakukan ibadah korban
Tahukah anda bahawa ibadah korban boleh dibahagikan kepada dua iaitu korban wajib dan korban sunat?
#1. Korban wajib terjadi apabila anda bernazar.
#2. Korban sunat pula adalah sunat muakkad (korban yang dituntut).
Niat korban raya haji dan cara-cara untuk melakukan korban
Ibadah ini dikategorikan di bawah kategori sunat muakkad dan perlu dilakukan oleh mereka yang berkemampuan. Berkemampuan di sini membawa maksud seseorang yang mempunyai harta yang mampu tampung nilai binatang korban.
Waktu yang sesuai untuk melakukan ibadah korban seperti dituntut ialah setelah selesai solat hari raya dan bacaan khutbah. Ia berterusan sehingga terbenam matahari pada hari tersebut.
Bagaimana cara pula untuk lafazkan niat ibadah korban?
Jawapannya, tiada lafaz khusus yang telah ditetapkan. Cukup sekadar niat di dalam hati sahaja.
Contoh niat, ‘sahaja aku melakukan qurban sunat kerana Allah Ta’ala’.
Tetapi jika anda bernazar maka anda disyaratkan untuk berniat ketika proses sembelihan berlaku. Jika anda sembelih sendiri maka niat ketika anda menyembelih binatang korban. Jika penyembelihan diwakilkan maka anda niatkan kepada wakil ketika menyembelih.
Perkara yang disunatkan ketika proses penyembelihan
Individu yang menyembelih binatang korban terdiri daripada
– individu beragama Islam
– mereka yang berkongsi korban (lembu/unta) yang tidak lebih daripada 7 orang (setiap seorang sumbangkan 1/7 bahagian)
Ada 5 perkara disunatkan ketika proses penyembelihan berlaku.
#1. Baca ‘bismillahirrohmanirrahim’.
#2. Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
#3. Hadapkan binatang ke arah kiblat. Pastikan binatang dibaringkan di atas rusuk kirinya.
#4. Bertakbir sebelum baca bismilah dan selepasnya.
#5. Baca doa, ‘ini adalah nikmat daripada Mu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya’.
Antara ciri-ciri insan yang dituntut untuk berkorban ialah beragama Islam, sudah merdeka, sudah aqil baligh, bermukim/bermusafir dan berkemampuan.
Individu yang berkorban juga tidak dibenarkan untuk potong kuku dan rambut sehingga selesai penyembelihan korban dilakukan.
Daging korban boleh dibahagikan kepada:
– 1/3 dimakan orang yang berkorban
– 1/3 dimasak dan dibuat jamuan
– 1/3 disedekahkan secara mentah
Kecuali jika anda bernazar untuk berkorban. Maka anda perlu sedekahkan kesemua daging korban dan tidak boleh makan daging binatang korban anda.
Syarat pemilihan binatang untuk dijadikan korban
Antara syarat untuk memilih binatang korban ialah:
#1. Unta
– pastikan unta berumur 5-6 tahun.
#2. Biri-biri/kibas
– pastikan sudah berumur setahun masuk kedua.
– jika belum cukup umur, pastikan gigi hadapan sudah bersalin dan sudah melebihi 6 bulan.
#3. Lembu/kerbau/kambing
– pastikan 2-3 tahun.
Pemilihan binatang sebagai korban perlu dilakukan dengan teliti. Ini kerana binatang yang mempunyai kecacatan tidak dibolehkan menjadi binatang ibadah korban.
Antara kecacatan binatang yang tidak dibolehkan:
#1. Bunting
#2. Buta mata
#3. Tempang
#4. Tidak bertelinga/terpotong telinga walau sedikit
#5. Ekor dan lidah terpotong
#6. Binatang berkudis (daging mungkin sudah rosak)
#7. Berbadan kurus dan kurang daging
Namun ada pengecualiannya. Ada di antara kecacatan yang sah untuk disembelih seperti:
#1. Patah tanduk
#2. Tidak bertanduk
#3. Telinga berlubang tapi dagingnya masih ada
#4. Telinga terbelah
#5. Lahir tanpa ekor
#6. Lahir tanpa zakar
#7. Sebahagian gigi tertanggal
#8. Binatang yang dikebiri
Fadhilat melakukan ibadah korban
Selain itu terdapat fadhilat dijanjikan Allah untuk hambaNya yang melakukan ibadah korban ini.
Kelebihan saat melakukan ibadah korban:
#1. Mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah.
#2. Dapat menebus dosa kecil.
#3. Dapat kebajikan (hasanah) untuk setiap bulu pada badan binatang korban.
#4. Dapat sembuhkan penyakit rohani dan sosial.
#5. Dapat bentukkan peribadi qana’ah (bersyukur), belas kasihan, ikhlas, sabar dan tolong menolong.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Bolehkah Niat Korban Dan Akikah Pada Seekor Haiwan Yang Sama? Ini Jawapan Ustaz
Baca juga: Rupanya selama ini kita SALAH simpan daging korban! Patutlah daging cepat busuk!
Baca juga: Cara Unik Mengawal Makanan Yang Disuap Kepada Anak Anda Di Hari Raya