Kes orang hilang di Malaysia bukanlah sesuatu yang baru, malah ada beberapa kes yang masih belum diselesaikan sehingga hari ini. Baru-baru ini, negara kita sekali lagi dikejutkan dengan kehilangan seorang remaja warganegara Ireland yang datang ke Malaysia bersama keluarganya untuk bercuti.
Kehilangan Nora Anne yang berusia 15 tahun walau bagaimanapun berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui tidak bernyawa, 2.5km dari resort yang didiami keluarganya.
Orang Hilang: Mayat Yang Ditemui Disahkan Nora Anne
Tubuh seorang wanita berkulit putih yang ditemui 10 hari selepas kehilangan gadis tersebut telah disahkan sebagai remaja Franco-Irish Nora Anne Quoirin, yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos.
Mayat yang ditemui tersebut telah melalui proses pengecaman oleh Meabh dan Sebastien, ibu bapa kepada Nora Anne.
Mayat Nora ditemui oleh sekumpulan pejalan kaki sukarela yang telah menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian. Namun, tidak diketahui sama ada terdapat sebarang kecederaan pada badan, dan perlu menunggu keputusan bedah siasat.
Walau bagaimanapun, kes tersebut masih tidak diklasifikasi sebagai kes pembunuhan, dan masih dianggap kes orang hilang.
Percutian Keluarga Yang Bertukar Tragik
Pada pagi 4 Ogos, keluarga Nora Anne mendapati dia hilang dari biliknya di resort The Dusun pada jam 8 pagi.
Tambah menyedihkan, mereka sekeluarga merancang untuk bercuti selama dua minggu di Malaysia dan telah mendaftar masuk di The Dusun Rainforest Resort berhampiran Seremban sehari sebelum kehilangan gadis itu.
Nora, yang mempunyai ketidakupayaan pembelajaran dan perkembangan, merupakan anak sulung dari tiga adik-beradik, ditemui hilang dari bilik yang dia tidur pada keesokan harinya, dan tingkap biliknya didapati terbuka.
Kronologi Kehilangan Nora Anne Quoirin
Berikut kronologi kehilangan remaja perempuan warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, di sebuah resort di Seremban, Negeri Sembilan:
3 Ogos 2019
- Nora Anne Quoirin, 15, remaja Ireland tiba di Resort The Dusun Pantai Hill, Seremban, Negeri Sembilan bersama keluarganya untuk bercuti.
4 Ogos 2019
- Remaja perempuan yang mempunyai masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tiada di bilik penginapannya pukul 8 pagi.
- Polis menerima maklumat kehilangan mangsa daripada pemilik resort selepas dimaklumkan oleh seorang ahli keluarga remaja itu.
- Polis melakukan misi pencarian membabitkan bomba dan anggota polis dari Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.
5 Ogos 2019
- Pihak berkuasa termasuk polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) mengawal ketat kawasan Resort The Dusun Pantai Hill, lokasi Nora Anne dilapor hilang.
- Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne.
- Operasi SAR melalui udara dibuat di kawasan Gunung Berembun serta meliputi pesisiran Sungai Berembun.
- Platun Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras turut dikerah dalam operasi SAR remaja perempuan itu.
6 Ogos 2019
- Operasi SAR masuk hari ketiga, diteruskan dengan kekuatan 159 anggota dari pelbagai agensi keselamatan bagi membantu dalam kes orang hilang kali ini.
7 Ogos 2019
- Polis telah merakam 20 keterangan saksi termasuk ahli keluarga bagi membantu siasatan kes kehilangan Nora Anne.
- Operasi SAR masuk hari keempat, diteruskan dengan kekuatan 206 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.
8 Ogos 2019
- Operasi SAR masuk hari kelima, diteruskan dengan kekuatan 247 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.
- Operasi SAR mengesan Nora Anne diketuai Unit Senoi Praaq Polis Diraja Malaysia (PDRM).
- Khidmat helikopter Pasukan Gerakan Am PDRM digunakan dengan tambahan teknologi yang lebih canggih bagi mengesan Nora Anne.
- Rakaman suara ibu Nora Anne memanggil remaja itu dengan panggilan manja dimainkan melalui pembesar suara sepanjang SAR.
9 Ogos 2019
- Operasi SAR masuk hari keenam, diperkuatkan dengan kehadiran pasukan elit PDRM iaitu Komando VAT 69 dengan kekuatan dua pegawai dan 21 anggota.
- Sembilan dron diguna dalam operasi SAR kesan Nora Anne.
- Penduduk di sekitar pekan Pantai, Negeri Sembilan mengadakan solat hajat di Masjid Kariah Pantai selepas menunaikan solat Jumaat bagi memohon dipermudahkan operasi SAR kesan Nora Anne.
10 Ogos 2019
- Operasi SAR masuk hari ketujuh, skala pencarian Nora Anne dikecilkan dari 6 kilometer (km) radius kepada 4 km radius dari lokasi kejadian.
- Masyarakat Orang Asli sedia membantu mencari Nora Anne menggunakan kaedah tradisional berdasarkan kepercayaan mereka.
11 Ogos 2019
- Operasi SAR masuk hari kelapan, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata polis membuka talian hotline khas 0111-2285058 bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan Nora Anne.
- Operasi SAR Nora Anne mendapat bantuan daripada kumpulan pendaki sukarelawan.
12 Ogos 2019
- Operasi SAR masuk hari kesembilan, diteruskan dengan kekuatan 348 anggota dari pelbagai agensi keselamatan.
- Keluarga Nora Anne tawar ganjaran RM50,000 kepada mana-mana pihak yang dapat salur maklumat bantu kesan Nora Anne.
- Pasukan polis Ireland, England, Perancis berada di negara itu membantu PDRM menyiasat kes kehilangan Nora Anne.
- Sekumpulan lima pengamal perubatan Islam daripada Rawatan Tradisional Sulafusoleh menawarkan diri membantu operasi SAR kesan Nora Anne Quoirin.
- Pengamal media dipelawa untuk menyertai operasi SAR kesan Nora Anne buat pertama kalinya.
13 Ogos 2019
- Operasi SAR masuk hari kesepuluh, polis menemui mayat dipercayai seorang wanita berkulit putih yang ditemui pada 1.57 tengah hari, kira-kira 2.5 kilometer dari resort The Dusun, Pantai
- (8.55 malam): Polis sahkan mayat yang ditemui adalah Nora Anne selepas ahli keluarga remaja itu membuat pengecaman.
Sejurus ditemui dan anggota forensik membuat siasatan di lokasi penemuan, mayat remaja itu diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat dan proses formaliti untuk menentukan punca kematian.
Semoga keluarga mangsa mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus ke Facebook page kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Bernama
Baca juga:
https://my.theasianparent.comkes-culik-budak